Showing posts with label Onk Ka Ting Aktif semula. Show all posts
Showing posts with label Onk Ka Ting Aktif semula. Show all posts

Wednesday, March 17, 2010

Landasan Untuk Ong Ka Ting Kembali Telah Beres

Bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting yang memutuskan untuk kembali semula mendapatkan jawatan itu yang beliau telah lepaskan, merupakan pertama kali dilakukan dalam sejarah politik Malaysia.

Malah ini bukan sesuatu yang tidak dijangkakan, keputusan beliau untuk bertanding pada pemilihan presiden 28 Mac ini, telah menimbulkan sedikit perhatian di kalangan penganalisis politik serta anggota parti.

"Belum ada orang berbuat demikian sebelum ini, adalah menarik melihat sama ada beliau akan menang atau sebaliknya. Hasrat beliau mungkin ikhlas tetapi perwakilan parti telah berpecah.

"Sesetengah perwakilan muak dengan krisis sekarang mungkin mahu beliau kembali semula tetapi sesetengah mereka dalam parti tidak mahu melihat beliau kembali semula," kata seorang penganalisis politik.

Sesetengah anggota veteran parti percaya bahawa Ka Ting masih mempunyai kelebihan sama ada untuk pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru kerana anggota parti dipercayai telah muak dengan perbalahan dalaman.

"Tidak banyak mengenai kepimpinan Ka Ting. Orang hanya bertambah muak. Sesiapa pun boleh masuk untuk mengstabilkan parti, para ahli gembira untuk meletakkan beliau," kata seorang pemimpin veteran yang enggan namanya disebut.

Pemerhati dalaman politik juga percaya bahawa sesetengah penyokong Ka Ting yang sebelum ini dikenali sebagai "Pasukan Ketiga" dalam parti yang mengandungi sesetengah anggota veteran serta mereka yang dikaitkan dengan mana-mana puak sebelum ini -- telah menyediakan landasan untuk beliau kembali semula.

"Ia tidak berlaku dengan begitu sahaja. Jika anda buat analisis dengan teliti, anda akan tahu ia dilakukan langkah demi langkah. Pertama dengan berjayanya memaksa untuk mengadakan pemilihan baru. Kemudian mengadakan kempen meminta Ka Ting kembali semula sebelum beliau mengumumkan pencalonannya," kata beliau.

Bagaimanpun, katanya, ia lebih menarik melihat bagaimana Ka Ting merapatkan pasukan yang berbeza dalam parti pada pemilihan ini kerana masih terdapat jumlah anggota parti yang besar menentang beliau dan abangnya bekas setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.

"Malah jika anda mengadakan formula tidak ada pertandingan, ia masih belum mampu menyatukan parti tersebut," kata pemerhati dalaman politik.

Tetapi bagi pemimpin akar umbi lain, bukan sama ada Ka Ting boleh menang atau sebaliknya tetapi lebih kepada berapa banyak undi yang diperoleh.

"Jika beliau tidak boleh menang dengan majoriti yang banyak, beliau mendapati sukar untuknya kembali semula, terutamanya beliau memainkan imej seorang penyelamat dan penyatu dalam parti," katanya.

Pada pemilihan parti lepas, Ka Ting adalah antara pemimpin yang menyokong Ong Tee Keat untuk bertanding bagi jawatan presiden menentang bekas naib presiden Datuk Chua Jui Meng.

Kini perhatian kepada bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana beliau dijangka mengumumkan jawatan yang akan ditandingi Jumaat ini.

Oleh kerana lebih 50 daripada 198 bahagian telah menggesa agar Ka Ting kembali kepada kepimpinan parti, hanya tunggu dan lihat sama ada Dr Chua akan menyertai pertandingan itu. Jika beliau menyertainya, dan ini adalah pertandingan tiga penjuru, yang berkemungkinan akan memecahkan parti menjadi tiga kumpulan.

Sabtu lepas, Ka Ting membayangkan bahawa beliau akan menyertai pertandingan itu apabila beliau berkata beliau tidak lari daripada tanggungjawab itu jika beliau boleh membantu parti tetapi kedua-dua Tee Keat dan Dr Chua tidak menafikan bahawa Ka Ting akan kembali semula.

Pada hakikatnya, Dr Chua juga mengkritik bekas presiden itu kerana tidak dapat berbuat apa-apa apabila parti itu dalam krisis dan mempersoalkan keperluan Ka Ting kembali semula.

Hari pencalonan untuk pemilihan itu ditetapkan pada Isnin ini.

Read more...

Monday, March 15, 2010

Di Sebalik Desakan Kepada Ong Ka Ting Bertanding Jawatan Presiden MCA

Desakan supaya bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan parti 28 Mac ini diperdebatkan dengan meluas dalam kalangan anggota parti.

Ramai yang tertanya-tanya mengenai motif di sebalik gesaan agar Ka Ting kembali aktif ke dalam politik, yang dibuat oleh penyokong tegar beliau dan beberapa pemimpin yang diketahui sebelum ini sebagai sekutu beliau.

Ada yang mengatakan ia berikutan kebimbangan sebenar mereka bahawa pemilihan itu mungkin terkeluar daripada kawalan dan pemilihan itu mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah semasa parti.

Maka, pilihan terbaik ialah untuk membawa kembali seorang pemimpin yang sebelum ini berjaya menyadupadukan parti sehingga ke suatu tahap tertentu.

Bagaimanapun, sesetengah anggota parti percaya bahawa gesaan itu disebabkan oleh permainan kuasa di sebalik tabir, termasuk komen yang datang dari luar parti selain keperluan untuk mengetengahkan seorang calon yang kuat bagi berdepan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Mereka percaya langkah sebenar penyokong Ka Ting, yang sebahagian besarnya kini berdiri teguh di belakang Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, adalah untuk menampilkan seorang calon yang kuat.

Sumber yang rapat kepada kumpulan Liow bertegas bahawa Liow tidak boleh dikorbankan untuk jawatan nombor satu manakala bekas Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dianggap sebagai "calon lebih lemah" untuk bertanding jawatan nombor satu kerana beliau pernah kalah dalam pemilihan jawatan nombor dua.

Liow dan Ka Chuan akan dilihat sebagai calon yang lebih lemah ketika berdepan Tee Keat, yang telah pun mengumumkan akan mempertahankan jawatan Presiden, selain Soi Lek, sekiranya beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden.

Daripada segi calon yang akan diketengahkan, kumpulan Liow dan Ka Chuan dikatakan kekurangan "kuasa pemusnah" untuk bertanding jawatan nombor satu. Oleh itu, pilihan terbaik yang ada ialah dengan meminta Ka Ting, adik lelaki Ka Chuan, supaya kembali aktif dan mengetuai kumpulan berkenaan.

Faktor lain ialah beberapa penyokong Liow, iaitu bekas anggota Jawatankuasa Pusat (CC) Datuk Wee Jeck Seng, Dr Hou Kok Chung, Wong Nai Chee dan Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun, dikenali sebagai penyokong kuat Ka Ting, dan mungkin tidak selesa bekerja dengan Soi Lek atau Tee Keat buat masa ini.

Begitu juga dengan beberapa penyokong bekas Timbalan Presiden Tan Sri Chan Kong Choy yang kini berdiri teguh di belakang Liow, dan juga dikatakan tidak selesa bekerja dengan Soi Lek berikutan kontroversi DVD seks serta isu berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Penyokong Soi Lek mengesyaki bahawa isu DVD seks itu sebagai usaha untuk membunuh kerjaya politik pemimpin mereka sungguhpun perkara itu telah pun dinafikan oleh pihak lain, manakala penyokong Kong Choy pula dikatakan tidak gembira dengan cara Tee Keat menangani siasatan berhubung PKFZ.

"Oleh itu, mereka tiada pilihan melainkan menggesa Ka Ting supaya kembali aktif dan memimpin mereka dalam perjuangan ini kerana mereka tidak berhasrat untuk berganding bahu bersama Soi Lek atau Tee Keat," kata bekas anggota CC yang enggan dikenali.

Sama ada keperluan sebenar bagi "menyelamatkan parti" atau menampilkan calon yang kuat, adalah terbuka untuk interpretasi.

Bagi penganalisis politik, sekiranya Ka Ting memutuskan untuk menyertai pemilihan itu, ia akan membawa satu dimensi baru kepada pemilihan MCA.

Bagaimanapun, penyokong Soi Lek dan Tee Keat masih tidak percaya bahawa Ka Ting akan kembali aktif semula memandangkan mereka berpendapat beliau tidak akan mempertaruhkan imej politik beliau yang sentiasa bersih.

"Sekiranya beliau kalah, apa yang akan terjadi? Lebih banyak aib untuk beliau. Anda juga perlu ingat bahawa jika beliau memutuskan untuk kembali aktif, susunan kumpulan dalam politik akan berubah lagi sepenuhnya," kata seorang penyokong Tee Keat.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP