Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia ke-47

Ketika mana Tun Fuad Stephen mengistiharkan pembentukan Malaysia pada 16-9-63. Tun Mustapha adalah Gabnor Pertama (duduk bersama Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak)

HARI Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama Hari Kemerdekaan ke-6. Namun, tarikh perisytiharan pembentukan Malaysia tertangguh disebabkan oleh beberapa isu antaranya bantahan Indonesia dan Filipina.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak. Selepas segala isu berjaya diselesaikan, perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia dan tuntutan Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Mulai 2010, kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia adalah cuti am di semua negeri di Malaysia.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengemukakan satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.

Cadangan ini secara amnya diterima penduduk Malaya dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Filipina yang membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihan raya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962.

Satu suruhanjaya kerjasama Inggeris-Malaya yang diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada 1962 dan melaporkan kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia.

Bagaimanapun, tentangan yang berterusan dari Filipina dan Indonesia menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP