Showing posts with label dr asri. Show all posts
Showing posts with label dr asri. Show all posts

Tuesday, November 17, 2009

Nizar News: Esok Dr Asri Didakwa

Jabatan agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan bahawa bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi esok atas tuduhan mengajar tanpa ditauliah.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani berkata, jabatan itu sudah bersiap sedia untuk mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Menurutnya, dokumen dan kertas pendakwaan terhadap bekas mufti Perlis itu sudah siap.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri telah ditahan Jais kerana didakwa mengajar agama di Ulu Kelang tanpa tauliah pada 1 November lalu.

Beliau akan menghadapai satu pertuduhan bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, Asri mengesahkan telah menerima notis arahan , hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 9 pagi esok/

Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan berkata beliau akan diwakili beberapa peguam, diketuai oleh Kamar Ainiah Raziff daripada tetuan Kamar Ainiah Raziff & Zashidi.

Barisan peguam lain yang akan membantunya akan diumumkan kemudian, tambahnya.

Read more...

Friday, November 6, 2009

Nizar: PGSM Mungkir: Tak Jadi Minta Maaf Pada Dr Asri

Bekas Mufti Perlis kesal dengan keputusan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), untuk terus mempertahankan kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepadanya.

Malah beliau juga kecewa kerana Presiden PGSM, Mohamad Isa Abdul Ralip memungkiri janji untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepadanya berhubung isu berkenaan. Oleh itu Mohd Asri berkata, beliau akan tetap meneruskan pendiriannya sebelum ini untuk mengheret PGSM ke mahkamah kerana mendakwa kandungan memorandum berkenaan mengandungi unsur fitnah. "Saya kini sedang menunggu nasihat guaman berhubung perkara ini.

"Barisan peguam sedang berbincang dan meneliti beberapa perkara, kita akan berusaha untuk memulakan proses ini secepat mungkin," katanya kepada mSatar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian terbaru PGSM hari ini yang enggan menarik balik tuduhan yang terkandung dalam memorandum berkenaan. Malah tiada sebarang permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tersebut dikemukakan kepada Mohd Asri.

Dalam pada itu Mohamad Isa mendakwa Mohd Asri telah memungkiri perjanjian supaya kandungan pertemuan tertutup antara mereka yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz yang diadakan di ibu negara semalam tidak didedahkan kepada media.

Bagaimanapun Mohd Asri berkata, isu berkenaan sengaja dibangkitkan oleh Mohamad Isa kerana menurutnya tidak wujud sebarang perjanjian seumpama itu dalam pertemuan semalam.

"Tidak timbul soal mungkir janji kerana tidak ada (perjanjian), sebaliknya mereka yang diminta memaklumkan kepada media. "Selain itu, yang mula bercakap kepada media ialah menteri," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Asri yang juga pensyarah universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau ada menerima beberapa panggilan daripada ahli PGSM yang menyatakan pendirian mereka terhadapnya.

"Ramai ahli-ahli PGSM menghubungi melahirkan kekesalan di atas tindakan pemimpin mereka. "Saya minta supaya rakyat dapat menilai sikap mereka ini malah saya juga sedar bukan semua peguam syarie begitu kerana hanya beberapa kerat saja," katanya.

Read more...

Thursday, November 5, 2009

Nizar News: Fahaman WAHABI Bukan Sesat: Dr Mashitah

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Terdahulu, mengenai pendermaan organ, Dr Azmi berkata sehingga Oktober tahun ini, seramai 134,000 orang telah mendaftar dan berikrar untuk menjadi penderma organ dan 19,000 orang pesakit buah pinggang dicatatkan sehingga bulan yang sama.

"Dari jumlah ini, Melayu adalah kumpulan yang terendah untuk tampil mendermakan organ. Ini adalah kerana meraka kurang pendedahan atau pemahaman mengenai pendermaan organ," katanya.

Othman dalam ucapannya pada seminar itu pula berkata agama tidak menghalang untuk menderma organ dan antara faktor penghalang seseorang Muslim untuk menderma organ adalah kerana rasa takut.

Beliau berkata walaupun pendermaan organ seperti jantung dan kornea dibolehkan dan difatwakan pada tahun 1970, namun jumlah individu Islam yang menderma amat kecil berbanding mereka yang beragama lain. BERNAMA

Read more...

Monday, November 2, 2009

Nizar: Dr Asri Akan Didakwa Pula!!!

Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.

Pengarah jabatan itu Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Mohammed Khusrin turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri.

"Tangkapan dibuat dengan dibantu polis kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama (Dr Mohd Asri).

"Kami telah dihalang oleh jemaah dan wakil rakyat kawasan, sebab itu kami dapatkan bantuan polis," katanya.

"Kami tidak buat lebih daripada sepatutnya," katanya lagi.

Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Di sidang media itu, Mohammed Khusrin juga berkata, Jais tidak menerima tekanan daripada pertubuhan Islam dalam menjalankan tindakan ke atas bekas mufti itu.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabi, pengarah Jais berkata ia tidak sesuai dikenakan terhadap Dr Mohd Asri memandangkan siasatan masih dijalankan.

Jelasnya lagi, Jais tidak boleh membuat tuduhan sembarangan ke atas Dr Mohd Asri walau bekas mufti itu menerima tuduhan mendukung ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam.

Dalam satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, sejumlah NGO Islam membantah Dr Mohd Asri dilantik sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) atas alasan beliau seorang yang tidak mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah, menolak ulama dan bersikap ekstrem.

Dr Mohd Asri bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dalam sidang medianya semalam.

Mohammed Khusrin juga berkata, Jais perlu meneliti keputusan daripada siasatan sebelum membuat pertuduhan sesuai.

Jelasnya, jabatan tersebut setakat ini hanya mendapati Dr Mohd Asri mengajar agama tanpa tauliah ketika menyampaikan kuliah agam di sebuah rumah di Taman Sri Ukay malam tadi.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

"Kami bertindak atas aduan dan memorandum penduduk Taman Sri Ukay sebelum kami bertindak menahan Dr Mohd Asri," kata Mohammed Khusrin lagi.

Read more...

Nizar News: JAIS Tak Jadi Dakwa Dr Asri

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, setakat hari ini, tidak didakwa atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seperti dirancang.

Beliau tiba di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun menjelang jam 1 tengah hari, beliau dibebaskan dengan jaminan Jais selepas menunggu pihak pendakwaan hampir empat jam di situ.

Sebelumnya, ketika bercakap kepada media di luar mahkamah, Dr Asri berkata pihak berkuasa agama itu menahannya tanpa sebab dan kini sedang memikirkan apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan.

Sementara itu ketua unit perhubungan awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani memberitahu Malaysiakini melalui telefon bahawa Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Mohd Hidayat berkata pendakwaan itu dilakukan berdasarkan aduan-aduan orang ramai terhadap lulusan pengajian hadis itu sejak beliau mula mengadakan ceramah agama di Selangor tiga tahun lalu.

"(Tindakan) ini berdasarkan aduan orang ramai yang keliru dengan ajaran-ajaran yang dibawa (Dr Mohd Asri) dan kita bimbang ini akan memecah-belahkan masyarakat," kata Mohd Hidayat.

Dr Mohd Asri diwakili dua peguam, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais.

Sewaktu mereka menyemak dengan pihak pendaftar mahkamah tersebut, tiada pertuduhan difailkan terhadap anak guam mereka itu.
Aktivis NGO terkenal Datuk Marina Mahathir turut hadir di mahkamah, selain ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib turut hadir.

Zuraida dan Saari berada di tempat kejadian sewaktu Dr Mohd Asri ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Menurut laporan Bernama tengah malam tadi, Dr Mohd Asri dilaporkan ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh polis serta pegawai Jais dan kemudian dibawa ke balai polis Hulu Kelang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk Zuraida dan Saari, lapor agensi berita itu lagi.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin Jais, Dr Mohd Asri merancang bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Jais dijangka akan mengadakan satu sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini petang ini.

Read more...

Nizar: Jais Dah Gila: Dr Asri Diserbu !!

KEADAAN TENTERAM di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.

Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu.

Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.

Dr Asri di bawa keluar dari banglo di Taman Sri Ukays "Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.

Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.

Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.

Dr Asri kelihatan tenang, sedang dibawa ke balai polis Ulu Kelang Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.

Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..." Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri. "Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.

Pihak media menanti dengan setia di luar kawasan balai polis Ulu Kelang ketika Dr Asri dibawa masuk untuk diambil keterangannya Ketika ini, tiga orang peguam terpaksa menjadi orang tengah dan berbincang dengan pihak polis dan JAIS namun pihak JAIS enggan meninggalkan premis tersebut dan berkeras ingin membuat penangkapan juga.

Suasana berterusan menjadi tegang bila beberapa pegawai JAIS dan polis mengugut untuk menggunakan kekerasan seandainya penyokong-penyokong Dr Asri berkeras tidak mahu melepaskan Mohd Asri.

Pihak polis juga telah mengarahkan pihak media dan mereka yang tidak berkenaan untuk mengosongkan rumah.

Setelah keadaan berlarutan hingga 3 jam, Mohd Asri akhirnya dibawa keluar dari biliknya dengan diiringi oleh beberapa orang polis dan pegawai JAIS untuk dibawa ke balai Polis Hulu Klang untuk diambil keterangan.

Mohd Asri terus dibawa ke balai polis menaiki sebuah van tepat jam 12 tengah malam. Hanya peguam sahaja dibenarkan memasuki kawasan balai polis sementara pihak media dan penyokong Mohd Asri terpaksa menanti dengan setia di luar kawasan balai.

Setelah hampir 1 jam, Mohd Asri dibebaskan tanpa diambil apa-apa keterangan. Namun kelibat pegawai JAIS dan van JAIS yang membawa Dr Asri ke balai polis langsung tidak kelihatan pada ketika itu.

Dr Asri kemudiannya dibawa balik ke rumah Hj Yahya untuk sebuah sidang akhbar. Mohd Asri telah diarahkan untuk menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, pada hari ini, jam 9 pagi untuk diambil keterangannya.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP