Tuesday, December 28, 2010

Semakin ramai berani mengaku terlibat seks songsang

Budaya seks songsang merupakan satu ancaman kepada negara dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkannya daripada terus berkembang menjadi penyakit kronik kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kegiatan itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada negara malah turut memberi kesan negatif kepada pembangunan sosial masyarakat.

Katanya, semakin ramai yang berani membuat pengakuan terlibat dengan kegiatan seks songsang itu secara terbuka seperti menerusi dalam talian dan ia merupakan perkembangan yang sangat tidak sihat.

''Setakat maklumat yang kami peroleh sehingga kini, golongan yang terjebak dengan kegiatan seks songsang semakin bertambah luas sehinggakan ada di kalangan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) juga terjebak dengan kegiatan tidak bermoral ini.

''Oleh itu, Jakim telah mengarahkan agar setiap jabatan agama Islam negeri membuat pemantauan dan pemeriksaan awal bagi mencegah penularan budaya tidak sihat itu di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun yang membuat pengakuan seorang gay menerusi salah satu video kontroversi bertajuk It Gets Better In Malaysia: Memberi harapan untuk lesbian, gay, biseksual dan transeksual.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut pula berkata, badan-badan kerajaan serta bukan kerajaan perlulah bekerjasama menangani masalah tersebut kerana masalah tidak akan selesai sekiranya semua tanggungjawab memantau dan menanganinya diserahkan kepada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam semata-mata.

Katanya, kerjasama itu perlu dalam usaha membendung masalah yang menjadi wabak dalam masyarakat pada masa kini.

''Hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ini. Jika untuk jangka masa pendek, mungkin ia membantu tetapi bagi jangka panjang ia tidak memberikan impak besar dalam menyedarkan kumpulan itu supaya menghentikan kegiatan terkutuk tersebut.

''Justeru itu saya berharap semua pihak termasuklah badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan dapat mengambil tindakan serta inisiatif tersendiri bagi mengatasi masalah ini seperti mengadakan program kesedaran. Jangan tunggu keluar berita di akhbar sahaja baru mahu bertindak kerana ia sudah terlewat,'' jelasnya.

Noh menambah, masyarakat terutamanya golongan beragama Islam perlu ingat bahawa pernah wujud kaum pada zaman Nabi Lut dahulu yang mengamalkan kegiatan songsang itu dan akhirnya menerima balasan ditelan oleh bumi.

''Kita jangan fikir perkara seumpama itu tidak boleh berlaku pada masa ini. Justeru saya menyeru kepada golongan terlibat supaya segera bertaubat manakala masyarakat sekeliling membantu menyedarkan mereka dan jangan mengambil sikap lepas tangan terutamanya golongan ibu bapa,'' katanya.

Read more...

Sunday, December 26, 2010

Belumpun undang-undang Murtad dilaksanakan di Sabah: Komen negatif sudah kedengaran

Ketua Biskop Katolik Tan Sri Murphy Pakiam khuatir penguatkuasaan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan akan mencetuskan kebimbangan kerana sudah pasti akan membawa kepada tindakan tegas pihak berkuasa agama.

Sebaliknya menurut Pakiam, pihak berkuasa sewajarnya menerima mesej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar rakyat pelbagai kaum menjadikan kesederhanaan dan semangat inklusif sebagai pendekatan.

“Ia (undang-undang murtad) akan mencetuskan kebimbangan dan sesuatu yang malang perkara ini (undang-undang baru ini) datang begitu sahaja,” kata beliau.

“Kerajaan (pusat) mesti membuat pendirian dan tidak menutup (isu ini) dan berdiam diri,” tambah beliau.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) mengumumkan akan menguatkuasakan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan sebaik sahaja pusat pemulihan akidahnya di Kinarut siap pertengahan 2011.

Pengarahnya Datuk Amri A. Suratman berkata, pada masa ini jabatan itu lebih menekankan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah berbanding mengambil tindakan undang-undang.

Kata beliau, pelaksanaan undang-undang ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik untuk lima tahun akan datang. Isu saudara baru kembali ke agama asal sering menjadi bahan perbincangan pada perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan pada perhimpunan baru-baru ini Usia Bahagian Ranau mendedahkan ratusan saudara baru di daerah itu kembali murtad.

Usia mendakwa antara punca saudara baru kembali ke agama asal ialah kerana mereka terabai dan tidak mendapat bimbingan sewajarnya tentang Islam.

Majoriti masyarakat Kristian negara ini adalah kalangan rakyat Sabah dan Sarawak manakala Islam adalah agama rasmi persekutuan, yang dianuti 60 peratus daripada 27 juta penduduk. Undang-undang Islam melarang Muslim keluar agama mereka dan mereka yang murtad boleh dikenakan hukuman mandatori.

Sistem perundangan Islam dan undang-undang persekutuan telah mewujudkan kontroversi dalam soal kebebasan beragama di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan apabila seseorang yang beragama Islam cuba menganut agama lain.

Antara kes-kes terbabit ialah Lina Joy (Azalina Jailani), Revathi Massosai dan Nyonya Tahir (Wong Ah Kiu). Mereka yang hendak keluar agama Islam perlu mendapat perisytiharan mahkamah.

Keputusan menguatkuasakan undang-undang murtad dikhuatiri akan merengangkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Pada April lalu, Kabinet mewujudkan panel antara agama di sebalik siri serangan ke atas rumah ibadat - masjid dan gereja, yang berpunca daripada keputusan mahkamah membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah “Allah”.

Najib juga menjanjikan sokongan penuh pentadbiran dan kewangan kepada badan itu.

Baru-baru ini beberapa tokoh agama dan ahli akademik berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga berkata fahaman pluralisme agama bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Datuk Nik Mustapha Nik Hassan juga memberikan pandangan bahawa Islam menolak fahaman pluralisme agama yang mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar.

Katanya, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam.

Read more...

Tuesday, December 21, 2010

DAP guna strategi PAP-Singapura:Zulkifli Noordin

Masyarakat Islam di Malaysia perlu menolak DAP walaupun parti itu menggunakan pendekatan Islamik kerana jelas ia serupa dengan strategi PAP ketika parti utama Singapura itu mahu mendapatkan kuasa.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, umat Islam harus sedar dengan 'silap mata' DAP itu kerana matlamatnya hanya mahukan sokongan penduduk Islam bagi membolehkan parti tersebut berkuasa.

Beliau meminta penduduk Islam melihat apa yang berlaku di Singapura, bagaimana umat Islam di negara tersebut dipinggirkan selepas menjadi alat kepada bekas Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew dan parti PAP untuk memperoleh kuasa.

"Semasa merancang strategi untuk berkuasa, Kuan Yew dan PAP menjadi terlalu Melayu. Masuk masjid turun masjid menjadi lumrah. Setelah berkuasa, umat Islam, kaum Melayu tiada dalam kamus Kuan Yew mahupun PAP.

"Melayu yang menjadi alat mereka mendapat kuasa akhirnya diterajang dan dengan politik yang licik akhirnya Singapura hilang daripada rumpun Melayu,'' katanya dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Beliau mengulas pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia pada Ahad, yang antara lain menyentuh mengenai nasib masyarakat Melayu Islam di Singapura yang semakin terpinggir selepas Kuan Yew dan PAP berkuasa.

Menurut Awang, keadaan itu berlaku selepas orang Melayu menjadi alat kepada Kuan Yew dan PAP mendapatkan kuasa pada awal pemerintahan mereka.

Kini menurut Awang, DAP menggunakan strategi yang sama seperti PAP bagi menarik seramai mungkin Melayu menjadi ahli dan penyokongnya.

Mengulas lanjut mengenai Singapura, Zulkifli berkata, sejarah Sang Nila Utama kemudian dipadamkan dengan kisah Stamford Raffles manakala nama Singa Pura (Bandar Singa) dari sejarah penemuan singa oleh Sang Nila Utama bertukar menjadi Singapore.

Ekoran apa yang berlaku di Singapura, beliau berkata, tidak hairan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sanggup turun naik masjid serta surau semata-mata mahu memikat hati orang Melayu.

"Siap isytihar diri sebagai Khalifah Guan Eng lagi. Maka bertakbirlah Melayu terpukau dengan silap mata DAP. Sampai nama tuhan pun dijual tidak apa sebab Kit Siang dan anak lelakinya itu saudara kita sekarang, kata pak janggut,'' tulisnya lagi.

Sehubungan itu beliau berharap umat Islam dan umat Melayu di negara ini merenung kembali sejarah yang berlaku di Singapura.

"Sejarah itu cermin suatu bangsa. Kalau bangsa itu memilih untuk membutakan mata kepada sejarahnya, maka itulah permulaan untuk berakhirnya bangsa itu. Janganlah ulangi kesilapan dahulu,'' katanya lagi.

Read more...

Sunday, December 19, 2010

Kempen 1 juta tandatangan Pakatan-kerja sia-sia

TIADA kerja lain, Naib Presiden PKR yang baru Nurul Izzah- Anak kepada Anwar Ibrahim hanya mampu mengeluarkan idea KEMPEN tandatangan.

Kononnya tandatangan itu perlu untuk diserahkan kepada SPB Agong, agar permintaan 6 perkara yang menurut mereka tidak wujud di negara ini.

Tuntutan mereka itu adalah:

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.

2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.

3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.

4. menjamin integriti pilihanraya umum.

5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

6. Mewujudkan kebebasan akhbar.

Dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas hari ini, Pakatan berkata ia akan melancarkan kempen tersebut pada 1 Januari sehingga akhir Februari tahun depan untuk mengumpul tandatangan tersebut.

Read more...

Saturday, December 11, 2010

Aksi ganas YB PAS

Gambar yang di laporkan bahawa seorang adun PAS selama Lima penggal di Kelantan yang Berzina dengan seorang Ustazah. Malah di laporkan juga bahawa Adun berkenaan sendiri yang merakam perbuataan Zina tersebut bagi simpanan Koleksi beliau.

Pendedahan akan isu ini juga akan di lakukan pada hari Isnin jam 3.30 petang oleh kumpulan Facebookers Nadi Rakyat dia dalam wall masing masing. Sama sama kita nantikan pendedahan Hujung tahun yang di yakini akan meletopkan setiap ruang politik Malaysia ini.

Read more...

Tuesday, December 7, 2010

Berjaya kah Pakatan galas People's Power?

Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,

“Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, BN semakin rakus membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95, diesel, harga gas asli cecair (LPG) dan harga gula.

Yang peliknya, kata beliau, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia, umpamanya, terus menikmati subsidi gas.

Konvensyen kali kedua itu akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dan dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan.

Mereka termasuk pimpinan utama Pakatan seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penasihat DAP, Lim Kit Siang; presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, serta beberapa perwakilan asing.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan terus menerima asakan dan tohmahan Umno dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersamanya.

Katanya, ini kerana rakyat tahu bahawa kerajaan negeri Pakatan sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, berakauntabiliti dan telus.

“Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain sepertimana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), ” tambahnya.

Read more...

Saturday, November 20, 2010

Siapa keluar PKR -Keluar saja lah: Dr Syed Husin Ali

Sperti biasa Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali tidak risau dengan sekiranya terdapat anggota parti itu bercadang untuk keluar parti dan menyertai parti baru yang dicadangkan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Tokoh PKR itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pembersihan dalam parti itu yang ditubuhkan sejak 10 tahun yang lalu.

"Bagi saya mudah sahaja. Siapa yang nak keluar... keluarlah. Ini bagi saya (satu) proses pembersihan dalam parti.

"Saya selalu katakan, bila sampah sarap berlalu, sungai akan menjadi jernih... Saya tidak risau dan ramai pemimpin tidak risau," katanya.

Menurutnya, situasi tersebut bukan dialami oleh PKR sahaja, malah sebelum ini PAS dan DAP turut mengalami situasi yang sama suatu ketika dahulu.

"Ini bukan pengalaman PKR (sahaja). Parti yang tua, yang kelihatan lebih kuat, sudah mengalami (perkara ini). (Dalam) PAS sendiri apabila presidennya sendiri (Datuk) Asri (Muda tinggalkan parti)," katanya senator itu.

Syed Husin mengulas mengenai kenyataan Zaid yang juga pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dalam sidang media pagi semalam yang tidak menolak kemungkinan ramai anggota PKR akan menyertainya keluar parti.

Dalam sidang media di kediamannya, Zaid memilih 16 Disember depan sebagai tarikh beliau meninggalkan parti itu setelah menghantar surat peletakkan jawatannya semalam.

Beliau juga memutuskan untuk menubuhkan parti baru dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas mengenai keputusan Zaid tersebut, Dr Syed Husin yang juga bekas tahanan ISA berkata, ia merupakan hak Zaid untuk berbuat demikian.

"Rakyat yang akan menentukan sama ada parti itu mempunyai masa depan (atau tidak). Tapi dia konsisten bahawa dia mahu bertanding dan masuk ke dalam parlimen. Terserah (kepada) rakyat (untuk menetukannnya)," katanya.

Ditanya sama ada PKR dan Pakatan Rakyat mahu berkejasama dengan parti baru itu, Dr Syed Husin berkata parti itu akan melihat perkembangannya terlebih dahulu.

Dr Syed Husin yang turut mempersoalkan sikap Zaid "yang tidak tetap pendirian" dan "sekejap berubah-ubah".

"Perkara kecil sahaja, (contohnya) sekejap nak ada sidang akhbar, sekejap tak nak. Sekejap nak adakan balik.

"Sekejap nak bertanding presiden, sekejap nak bertanding timbalan. Sekejap kata nak berundur sekira seorang itu mengambil bahagian. Bila orang itu mengambil bahagian, dia tak mahu berundur.

"Jadi perkara seperti ini menimbulkan banyak tanda tanya. Kebenaran apa?" katanya ketika mengulas kenyataan Zaid yang mahu menubuhkan parti baru "berteraskan kebenaran".

Read more...

Tuesday, November 16, 2010

Pas yakin ganti UMNO

PKR menolak dakwaan bahawa parti itu membebankan PAS dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya menyifatkan Umno sebagai “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” apabila terus-menerus mengajak parti Islam itu agar bersamanya dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, tindakan Umno itu jelas menunjukkan mereka terdesak kerana sudah mula kehilangan kepercayaan rakyat, yang kini lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.

“PAS sudah tutup kerjasama dengan Umno, tapi Umno secara terang masih lagi ajak PAS untuk menyertai BN.

“Umno macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. PAS sudah lama menutup kerjasama perpaduan antara Umno dan PAS.

“Ini jelas menunjukkan betapa terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan PAS. Lagipun kepimpinan PAS telah bersepakat untuk tutup isu kerjasama perpaduan dengan Umno,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.

Malah, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerjasama antara semua parti komponen Pakatan Rakyat begitu kuat kerana masing-masing berpegang pada prinsip yang sama.

“PAS dah tolak, Umno masih lagi nak minang PAS, jadi saya minta supaya Umno tidak lagi mengajak PAS untuk menyertai BN.

“Sekarang terbukti PAS lebih baik bersama Pakatan Rakyat, kerjasama PAS, PKR dan DAP berpegang kepada prinsip.

“Kerjasama yang berterusan ini kuat dan kita akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkannya,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat itu bersama BN daripada terus berganding dengan PKR dan DAP.

“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ahmad Maslan.

Semasa merasmikan program : Pas ganti Umno-Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

“Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

"Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga,” kata beliau.

Saifuddin juga menyokong tindakan PAS yang menggunakan strategi “PAS Sedia Ganti Umno” kerana berpendapat parti Islam itu layak untuk bersaing seterusnya menggantikan Umno sebagai sebuah parti Melayu.

“Ini adalah strategi terbaru yang digunakan PAS, sebagai sebuah parti Melayu dan Islam PAS boleh menggantikan Umno yang juga parti memperjuangkan orang Melayu.

“Justeru saya melihat dalam landskap politik sekarang, PAS boleh menggantikan Umno,” katanya.

Read more...

Wednesday, November 10, 2010

Anwar perlu akur kepimpinannya lemah: Zaid Ibrahim

DATUK Zaid Ibrahim mengadakan sidang akhbar di rumahnya semalam bagi menjelaskan mengenai tindakannya menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya dalam parti. Berikut adalah sedutan sidang akhbar itu:

ZAID: Soal pemilihan kita telah timbulkan, bukan baru. Jadi, tak betul Anwar kata saya timbulkan sebab kalah di Sabah. Saya timbulkan ini sebelum saya nak bertanding.

Saya telah tulis surat dan minta penjelasan tertentu. Kita memerlukan pemilihan yang bersih kerana bukan hanya saya sahaja bertanding, ratusan calon yang bertanding.

Ini bukan agenda peribadi, jadi saya timbulkan ini sebelum buat keputusan. Kemudian timbulkan lagi semasa hari pertama pemilihan, pada masa itu saya mendahului.

Saya cakap jangan salah guna sistem, jangan buat penipuan. Tentang bukti, kalau dia tidak dapat bukti itu dalam tempoh dua bulan ini.

Semua orang tahu, dia sudah hilang sentuhan dengan parti, jadi saya rasa, kita telah banyak kemukakan bukti ini.

Undi lebih daripada ahli yang hadir. Orang tak hadir pun tandatangan dia ada. Ada kenyataan, yang datang mengundi bukan ahli tapi guna kad orang lain. Ada video orang tawarkan duit di Alor Gajah.

Saya mahu katakan begini, masalah yang kita hadapi sekarang dalam pemilihan PKR adalah manifestasi kelemahan Anwar itu sendiri.

Kita perlu terima hakikat dan ini bukan masa untuk nafi dan berdolak-dalik.

Jika anda nak membetulkan negara ini kita mesti jujur. Saya minta maaf, masalah ini saya terpaksa dedahkan kepada masyarakat.

Semua ini mendedahkan kita lemah, hakikatnya ialah cuma 6,000 ahli sahaja yang keluar mengundi, kita gagal. Saya mahu ubah kerana saya fikir PKR mampu bertindak lebih baik.

Kita tidak boleh ada pemimpin yang lemah yang hanya sentiasa menyalahkan pihak lain. 16 September, kita salahkan BN (Barisan Nasional)... hilang negeri Perak, kita salahkan BN... MP (ahli Parlimen) tinggalkan parti, kita salahkan BN.

Sudah sampai masa kita akui yang kita ini lemah, kerana kita membawa beban yang besar iaitu kepercayaan rakyat. Untuk PKR menjadi lebih baik, perlu ada kepimpinan baru, itu tidak semestinya saya. Ia akan memberi kekuatan baru, fokus baru. Sekurang-kurangnya siapa yang sanggup terima kelemahan ini dan mengatasinya.

Bukan kita tidak hargai sumbangan Anwar, kita hargai semua, tapi masa sudah berubah dan masalah sekarang juga berbeza.

Saya cadang jika PKR mahu terus maju, Anwar dan Azmin (Ali) mesti keluar kerana mereka adalah punca kepada segala masalah.

Saya mungkin tidak mendapat sokongan. Mungkin juga saya akan mendapat sokongan dan mungkin juga akan ada dakwaan saya buat semua ini untuk kepentingan diri sendiri.

Tapi kita tengoklah. Tetapi saya juga telah ke bawah dan ingin melihat kejayaan parti pembangkang yang kuat, nak tengok pakatan pembangkang yang kuat dan kerajaan akan jadi lebih bertanggungjawab.

Itu polisi saya, saya tak buat ini untuk menunjuk. Ada orang kata, jika saya tak dapat jawatan ini saya tarik diri. Bukan, saya ada visi untuk politik negara ini menjadi lebih baik.

Saya lakukan ini semua dengan nilai kebertanggungjawaban dan kejujuran. Saya tidak kritik parti kerana tidak dapat apa yang dikejar. PKR perlukan penyelesaian radikal bagi mengatasi segala masalah yang timbul hari ini. Harap apa yang saya katakan ini dapat difahami.

SOALAN: Kalau parti tangguhkan pemilihan, nak berpatah balik?

ZAID: Tidak. Masalah parti lebih dalam daripada semua itu. Jadi, Azmin patut disingkirkan. Anda tidak boleh, kerana kantoi di cabang ini, buat pemilihan sekali lagi. Kantoi di Kubang Pasu, buat lagi. Kantoi di Libaran, buat pemilihan semula.

Saya tidak nampak pendekatan itu berkesan. Sesiapa yang menyalahgunakan sistem mesti disingkirkan.

Adakah Anwar sudah tidak relevan dengan PKR dan politik tanah air?

ZAID: Saya fikir Anwar terlalu banyak isu peribadi. Selesaikanlah isu peribadi dulu. Azmin banyak masalah juga, jadi kedua-duanya perlu berundur dan biarkan PKR dipimpin dengan cara yang berbeza.

Sedia untuk berjumpa dengan Anwar?

ZAID: Boleh. Tapi saya akan cakap benda yang sama seperti yang saya kata hari ini.

Masalah bukti yang Anwar minta, boleh tunjukkan kepada media?

ZAID: Saya tunjuk dekat media, buat apa? Saya tunjuk dekat Bersih lah. Saya yakin Anwar tahu semuanya. Tak perlu tunjuk bukti, ahli pun tahu, semua orang tahu, calon pun tahu. Apa nak buktikan? Tapi kalau nak buktikan, saya akan buktikan kepada pihak yang bebas. Nak buktikan dekat dia buat apa?

Selain video, apa bukti lain yang Datuk ada?

ZAID: Laporan-laporan yang kita terima itulah bukti. Kita bukan polis nak pergi siasat, cuma yang kita ada laporan daripada ahli. Serah kepada mereka. Kalau tak mencukupi terserahlah kepada ahli. Tapi yang tak puas hati bukan saya seorang, semua calon. Yang puas hati cuma Azmin seorang sahaja.

Takkan kita semua reka bukti-bukti. Anwar perlu terimalah banyak masalah dalam parti. Beliau kena berdepan dengan masalah itu.

Kalau Azmin disingkirkan, apa tindakan Datuk?

ZAID: Kita bergantung kepada ahli. Tindakan saya macam ini, kita perlu melakukan pembersihan dalam parti. Kita perlu orang yang baik dalam parti. Kita perlukan dasar yang kukuh.

Sejauh mana kesetiaan Datuk pada parti?

ZAID: Kesetiaan saya pada parti sentiasa ada, tidak tergugat. Cuma, ada beberapa pemimpin lemah, itu yang tidak suka pada saya. Itu sahaja.

Datuk menyesal masuk PKR dengan segala penyelewengan, duit pun sudah habis banyak?

ZAID: Tidak. Kalau saya tak masuk, mana saya tahu semua ini?

Anwar kempen untuk Azmin, macam mana?

ZAID: Itulah salah satu puncanya masalah ini. Apabila Ketua Umum sudah memihak... kempen, beritahu ketua cabang... rosaklah. Tetapi Azmin dan Anwar ini baik, terpaksalah kempen.

Ada kemungkinan Datuk akan bersama dengan Mustaffa selepas ini?

ZAID: Tidak tahu apa tindakan beliau selepas ini. Dia pun berlapik tadi.

P.S Janapala (bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR) dakwa secara terbuka Anwar bertanggungjawab atas segala penyelewengan?

ZAID: Saya tidak tahulah siapa di sebalik penipuan tetapi saya tahu ada penipuan. Mungkin Janapala ada bukti, tapi peliklah orang datang 50 orang undi 150 undi.

Datuk percaya Anwar terlibat?

ZAID: Saya tidak tahu. Saya peguam, saya perlu lihat pada bukti.

Ada kemungkinan calon lain akan mengikut jejak Datuk?

ZAID: Saya rasa begini. Mereka juga kecewa, semua calon yang bukan 'line up' Azmin kecewa. Tetapi apa yang mereka akan lakukan, saya tidak mahu buat spekulasi.

Notis rasmi?

ZAID: Tak apa, saya akan hantar surat kalau itu mereka mahu.

Isu di Libaran dan Sandakan?

ZAID: Benda-benda ajaib berlaku. Tong pengiraan undi berpindah randah, banyak yang tidak betul.

Read more...

Friday, November 5, 2010

Jangan terima politik anti kemewahan: Taib Mahmud

MIRI, 5 Nov — Rakyat Sarawak perlu menolak ahli politik yang menyemai sentimen antiorang kaya kerana ia hanya akan menghalang usaha kerajaan negeri mencapai lebih banyak kemajuan, kata Ketua Menterinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata ketika ini, terdapat sebilangan ahli politik yang cuba menyuntik idea antikemewahan serta lantang mengkritik kejayaan perusahaan di Sarawak semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Tidak ada perkara seperti ekonomi yang berkembang pesat tanpa ahli perniagaan dan usahawan,” katanya sebelum menyempurnakan upacara pecah tanah projek jalan raya empat lorong yang menghubungkan kawasan kediaman Taman Tunku dan Taman Jelita, kira-kira 12 kilometer dari sini, hari ini.

Taib berkata pembangunan yang telah dinikmati hampir 30 tahun tidak akan berlaku tanpa sokongan pemimpin korporat yang bertanggungjawab serta sanggup melabur dalam projek yang membawa pulangan lewat.

“Malah ada sebahagian daripada mereka (ahli perniagaan dan usahawan) terpaksa membayar pinjaman bagi pelaburan yang belum mendapat sebarang pulangan,” katanya.

Taib berkata ahli perniagaan dan usahawan berkenaan telah Berjaya mempelbagaikan aktiviti ekonomi Sarawak, yang sebelum ini hanya bergantung kepada sumber asli seperti minyak, gas dan balak.

Beliau berkata perusahaan besar juga telah membabitkan diri dengan industry baru seperti perladangan berskala besar dan perkhidmatan, yang membantu meningkatkan peluang pekerjaan serta perniagaan sokongan lain.

Katanya dasar kerajaan negeri Sarawak yang memberi panduan serta galakan bagi keusahawanan dalam bidang perniagaan, adalah seiring dengan langkah kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Baru Ekonomi yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menekankan lebih banyak penglibatan sektor swasta dalam ekonomi negara.

“Hasrat kerajaan negeri yang saya pimpin, seperti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, ialah untuk membangunkan dan memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat,” katanya. — Bernama

Read more...

Thursday, November 4, 2010

Anwar bukan ancaman BN: Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) bersedia bertanding menentang sesiapa pun pada pilihan raya umum akan datang dan bukan diancam dengan perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah demokrasi. Biarlah parti yang paling baik dipilih oleh rakyat membentuk kerajaan," kata Najib yang juga pengerusi BN.

Beliau berkata demikian pada rakaman temu bual program CNN, TalkAsia yang disiarkan di sini, apabila ditanya oleh hos Anna Coren sama ada bekas timbalan perdana menteri itu akan menjadi ancaman kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Najib juga membidas dakwaan bahawa perbicaraan itu bermotifkan politik untuk menafikan Anwar daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan pada tahun depan.

"Inilah apa yang beliau suka cakap, tetapi pada hakikatnya ia tidak menyokongnya. Kerajaan tidak akan mendakwa beliau jika tidak ada aduan dibuat oleh bekas pembantunya (Mohd Saiful Bukhari Azlan). Pada mulanya kita tidak mahu mendakwa beliau.

"Ini bukan satu pilihan dan kita tidak rancang untuk ini. Kebetulan ini berlaku bahawa bekas kakitangannya sendiri buat aduan jenayah terhadap beliau. Kita hanya mulakan dari situ," katanya.

Beliau berkata parti campuran yang memerintah akan menerangkan bahawa perbicaraan itu semata-mata perkara peribadi dan ia tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Sementara itu, Najib juga berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun negarawan itu kadang-kadang mengkritik kuat mengenai dasar-dasarnya.

"Dr Mahathir mempunyai minda dan pandangan yang kuat. Saya tidak harap beliau akan bersama saya dalam setiap isu. Tetapi apa yang paling penting ialah beliau menyokong kerajaan, menyokong kepimpinan saya," tambah beliau.

Read more...

Thursday, October 28, 2010

Yong Teck Lee tiada niat sertai Pakatan Rakyat yang masih kucar-kacir

SANDAKAN, 27 Okt (Bernama) -- Parti Maju Sabah (SAPP) berkata ia tidak berniat menyertai Pakatan Rakyat kerana mendakwa gabungan pembangkang itu masih kucar-kacir dan mempunyai banyak masalah dalaman pada ketika ini.

Calon parti tersebut bagi pilihan raya kecil Batu Sapi Datuk Yong Teck Lee yang juga presiden SAPP berkata, "Kita boleh cari kawan, tapi tidak semestinya mahu 'kahwin' dengan Pakatan Rakyat.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dan Pakatan Rakyat ada masalah tersendiri...Kalau 'rumah' sudah huru hara, mengapa mahukan kami menyertai anda?," katanya semasa turun berkempen menemui rakyat di Bandar Ramai Ramai, Rabu.

Yong menambah dari pandangan SAPP, walaupun kumpulan pembangkang itu mempunyai potensi menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) namun dasar-dasarnya tidak mampu memenuhi matlamat rakyat Sabah.

Selain Yong, calon BN dari Parti Bersatu Sabah, Datin Linda Tsen Thau Lin juga berdepan dengan pencabar dari Pakatan Rakyat dari PKR, Ansari Abdullah.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, suami Tsen, dalam nahas jalan raya pada 9 Okt lalu.

Hari pengundian ialah 4 Nov.

Read more...

Tuesday, October 26, 2010

Menara Warisan: Kenapa Lim Guan Eng Menentangnya?

PNB merupakan sebuah institusi pelaburan utama negara dengan pelbagai portfolio kepentingan yang meliputi saham amanah, amanah harta institusi, pengurusan harta dan pengurusan aset.

PNB bukannya sebuah badan yang menyediakan dana untuk wakil-wakil rakyat menjaga kawasan mereka. Mereka menjalankan perniagaan dan keuntungan kepada perniagaan itu digunakan untuk membayar dividen kepada pelabur-pelabur mereka seperti ASNB dan juga beberapa saham lain lagi.

Pembinaan Menara Warisan di kawasan strategik tersebut adalah salah satu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Sekiranya menara tersebut tidak diperlukan lagi satu hari nanti, ianya boleh dijual dengan harga berlipat ganda.

Jika sekarang dibina dengan kosnya RM 5 bilion, 10 tahun lagi mungkin ianya menjangkau RM 8 bilion. Tahun demi tahun nilainya akan naik. Rekod setakat ini belum pernah menunjukkan nilai hartanah di negara kita menurun. Semuanya makin menaik tahun demi tahun.

Pembinaan menara tersebut bukan lagi serampang dua mata, tetapi ianya serampang bermata-mata. Selain itu ianya boleh menjana untung kepada PNB dan seterusnya kepada rakyat melalui ASNB, ianya juga dapat menjadi mercutanda terbaru KL dan seterusnya boleh menarik pelancong datang ke negara kita.

Selain itu juga ianya dapat mengatasi masalah kekurangan tanah di KL untuk pembinaan pejabat-pejabat atau ruang niaga yang baru. Dapat juga menjadi pusat sehenti peniaga-peniaga bumiputra yang hendak berniaga di sana.

PNB juga akan memindahkan semua pejabat-pejabatnya yang berselerak di serata Lembah Klang ke satu tempat. Bangunan PNB yang ada di Jalan tun Razak sekarang sudah tidak cukup lagi untuk menampung operasinya.

PNB boleh menjual bangunan lamanya atau mereka boleh simpan sebagai aset dan sewakan kepada pihak lain. Berebut-rebut syarikat yang berminat untuk menyewa bangunan lama PNB sekiranya tawaran dibuka, kerana ianya berada di kawasan yang strategik.

Penentangan DAP dan sekutunya terhadap perkara ini bukan kerana lain, hanya kerana satu sebab sahaja iaitu kerana ianya milik bumiputra. Sekiranya bangunan tersebut dibina oleh Ah Chong, Ah Seng atau Ah Kaw mereka akan sokong 100 % dan akan memujinya.

Sejarah telah membuktikan segala yang dirancang dan dibangunkan oleh kerajaan sebelum ini sering ditentang oleh mereka. Contohnya, Jambatan Pulau Pinang, KLCC , Litar F1, KLIA dan Putrajaya.

Sekarang semua pembangunan-pembangunan ini telah mendatangkan hasil dan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara. Sekarang siang dan malam Lim Guan Eng melalak supaya pembinaan jambatan kedua P.Pinang dipercepatkan.

Rakyat tidak perlu nak terpengaruh dengan lagu-lagu yang didendangkan oleh mereka. Negara tidak akan bangkrap dengan pembinaan menara tersebut. Ianya satu bentuk pelaburan, bukannya pembaziran.

Pemegang-pemegang saham dalam PNB (ASNB) tidak perlu risau dengan perkara ini. Pembinaan menara ini tidak melibatkan duit pelabur. Simpanan anda selama ini juga dijamin oleh kerajaan. Tidak pernah lagi berlaku, pelabur tidak boleh mengeluarkan wang mereka setiap kali mereka ke kaunter pengeluaran wang.

Biarkan pembangkang terjun dengan labu-labunya. Yang pasti segala apa yang mereka tentang selama ini telah mendatangkan hasil kepada negara dan secara tidak langsung kepada rakyat.

Read more...

Monday, October 25, 2010

Menurut Pas punca kuasa melayu terhakis adalah Umno

Dewan Pemuda PAS menegaskan Umno yang selama ini membawa doktrin hanya parti utama BN itu yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu selama ini, sebenarnya merupakan “punca kuasa politik Melayu terhakis.”

Ketua Penerangan PAS pusat Suhaizan Kaiat berkata, sejarah telah membuktikan banyak usaha telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk parti Islam itu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, bukannya Umno sahaja yang memperjuangkan isu orang Melayu.

“Pemimpin-pemimpin Umno bermati-matian berhujah yang mereka sahaja pejuang Melayu sebenar.

“Mereka berkata PAS tidak sayang bangsa Melayu. Umno sahajalah yang mampu memperjuangkan isu-isu orang Melayu.

“Jika Umno tiada lagi atas muka bumi ini, maka bangsa Melayu akan turut pupus bersama pupusnya Umno,” kata beliau sambil menambah, “ini doktrin yang dipasak oleh pemimpin Umno kepada ahlinya dan rakyat Malaysia.”

Malah kata beliau, sejak akhir-akhir ini, PAS lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu tanpa melupakan nasib orang bukan Melayu.

“Jika ada mana-mana pihak khususnya Umno menyatakan bahawa PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang-orang Melayu beragama Islam, maka Dewan Pemuda PAS sanggup berdebat secara terbuka dengan mereka,” katanya.

Tegas beliau, Umno jangan hanya berani memberi persepsi salah terhadap PAS di gelanggang sendiri sahaja.

“Ayuh mari kita buktikan di medan terbuka, siapa pejuang dan siapa pula pengkhianat Melayu yang sebenar,” katanya.

Suhaizan merujuk kepada ucapan-ucapan pemimpin kanan Umno dan perwakilan yang menyertai perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2010 yang berakhir Sabtu lalu.

PAS mengikat kerjasama dengan PKR dan DAP untuk menganggotai Pakatan Rakyat dan turun gelanggang pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Kerjasama itu membawa kepada penguasaan lima kerajaan negeri selain menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Selain isu itu yang dibangkitkan oleh Perhimpunan Agung Umno, sebelum ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendakwa mengambil kira perkembangan 8 Mac 2008 orang Melayu akan kehilangan kuasa politik.

Setelah gagal dalam menjaga hak orang Melayu selama lebih lima dekad lalu, kata beliau, Umno menerusi BN cuba melakukan penjenamaan semula matlamat ekuiti 30 peratus yang telah lama gagal dicapai.

Katanya, bagi meyakinkan rakyat maka dilaungkanlah agenda yang hebat-hebat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) dan pelbagai lagi yang menyebabkan orang Melayu di Kempas, Galas dan Batu Sapi terlopong mendengarnya.

“Pemimpin Umno tidak rasa bersalah atas kegagalan sasaran ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB), sebaliknya menyalahkan ahli-ahli Umno bawahan dan rakyat marhaen yang kononnya menjual projek atas kepentingan peribadi.

“Semua hujah dalam Perhimpunan Agung Umno ini sekadar menjustifikasikan yang Umno masih tetap relevan walaupun jasadnya sudah busuk sampai ke perut dan nafasnya sudah sampai ke halkum,” kata beliau.

Dalam kenyataannya hari ini juga, Suhaizan menambah, semasa negara mahu mencapai kemerdekaan, penjajah telah memberi syarat kepada Umno yang terkandung dalam Suruhanjaya Reid bahawa jika mahu merdeka, maka parti itu mesti memberi kerakyatan tanpa syarat kepada orang-orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India.

Ini bermakna bahawa masyarakat Cina dan India yang telah dibawa oleh penjajah ke negara ini untuk bekerja diserap masuk sebagai warganegara secara automatik, kata beliau sambil menambah, PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi pada masa itu menentang keras dasar kerakyatan tanpa syarat.

“PAS bimbang bahawa kedudukan politik orang Melayu bakal terancam dan negara terdedah kepada manipulasi mereka yang tidak setia kepada negara. PAS mahu kesetiaan mereka diuji terlebih dahulu.

“Matlamat PAS adalah jelas mahu melindungi politik orang Melayu dan menjamin keselamatan negara ini.

“Malangnya Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama) berpendapat bahawa memorandum seumpama itu akan melambatkan proses kemerdekaan. Umno tidak berfikir panjang dan akhirnya menerima sahaja kehendak penjajah terhadap dasar kerakyatan tanpa syarat.

“Peliknya selepas pilihan raya 2008, Umno pula berkata politik orang Melayu sudah terhakis. Soalnya siapa yang memberi ruang politik orang Melayu terhakis?” katanya.

Mengimbas sejarah ekoran peristiwa 13 Mei 1969, kata beliau, PAS yang diundang menyertai BN dilihat bukan sahabat lagi tetapi ancaman kepadanya.

“Ada sekumpulan ahli Umno di Johor mahu keluar parti dan masuk PRM tetapi PAS telah berjaya memujuknya masuk PAS.

“Ini telah menjadi hujah kepada (bekas Perdana Menteri) Tun Hussein Onn untuk menendang PAS daripada Perikatan (BN) atas tuduhan PAS mencuri ahli-ahli Umno.

“Tanpa siasatan rapi, tanpa amaran, tanpa notis dan tanpa berfikir panjang Umno telah menendang PAS daripada Perikatan (BN).

“Begitulah mudahnya Umno melafazkan cerai terhadap PAS. Lebih malang lagi, PAS pula berdepan dengan masalah perpecahan dalaman dan akhirnya kehilangan negeri Kelantan,” katan beliau.

Jelas Suhaizan, nasib PAS umpama habis manis, sepah dibuang, tetapi “itulah pengorbanan PAS kepada perpaduan Melayu.”

“Tiba-tiba apabila Umno tersepit tahun 2008, maka Umno menuduh PAS ego tidak mahu bersama Umno.

“Apa gunanya bersama Umno kalau hanya mahu dihisap madunya sahaja,” kata beliau lagi.

Kata beliau, selain isu kerakyatan, perpaduan Melayu, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan royalti terdapat banyak lagi isu Melayu yang diperjuangkan oleh PAS.

“Antaranya isu biasiswa, tanah rizab Melayu, penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu, isu pertambahan kerusi Parlimen Melayu, kuota ke universiti dan banyak lagi.

“Walau bagaimanapun terdapat suatu isu yang lebih besar dan lebih penting yang telah diperjuangkan oleh PAS sejak dulu, kini dan selamanya iaitu isu Islam.

“Orang Melayu itu mulia kerana agama Islamnya. Islam membentuk keperibadian mulia umatnya. Oleh itu PAS konsisten dalam memperjuangkan isu akidah dan keperibadian umat Islam. PAS menjadi benteng utama umat Islam di negara ini.

Katanya, dalam menguatkuasakan hukuman murtad, kerajaan Kelantan telah meluluskan undang-undang jenayah Syariah pada 1993.

“Pada 1999, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memohon untuk membuat rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi menggubal undang-undang berkaitan murtad tetapi ditolak oleh pemimpin Umno dan BN.

“Semua itu adalah untuk menyelamatkan akidah orang-orang Melayu di negara ini. Oleh itu, tidak benar kenyataan yang mengatakan PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang Melayu, PAS tidak sayang orang Melayu, PAS tiada agenda untuk orang Melayu dan seumpamanya,” katanya.

Read more...

Saturday, October 23, 2010

Melayu Pulau Pinang akan jadi seperti Melayu Singapura

Nasib Melayu Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP harus dijadikan iktibar oleh orang Melayu di negeri lain berikutan keadaan mereka yang kini cukup kritikal.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri sekarang semakin melampau apabila membuka kawasan yang selama ini dipertahankan daripada dibangunkan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong memberi contoh satu lot tanah yang dikhaskan untuk penanaman padi sejak dahulu lagi di Sungai Burung telah dikeluarkan daripada kawasan yang digazetkan untuk tujuan itu.

“Satu kes lagi ialah sebahagian daripada kawasan di Taman Negeri juga telah dikeluarkan daripada senarai gazet berkenaan untuk dibangunkan kawasan perumahan. Ia akan membuka laluan untuk pembukaan kawasan lain dalam kategori yang sama.

“Tidak hairan jika satu hari nanti tidak akan ada lagi sawah dan kehijauan hutan di Pulau Pinang. Saya berpendapat kes ini adalah contoh penyalahgunaan kuasa dan ia mesti dihentikan,” katanya.

Beliau berucap membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Kata Muhamad Farid, kajian Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berdasarkan maklum balas daripada kesemua 13 ketua bahagian, 60 kelompok perkampungan orang Melayu meliputi 7,000 penduduk akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka sekarang ini dibina di atas tanah milik orang lain.

Menurutnya, Kerajaan Pusat perlu memandang serius perkara itu dengan menghalang kegiatan ‘membuka’ kawasan-kawasan yang dahulunya digazetkan untuk tujuan tertentu.

“Jika tidak lebih cepat masyarakat Melayu di Pulau Pinang akan diusir keluar. Ini adalah contoh kes pengusiran melalui polisi dan dasar selain daripada pengusiran secara fizikal, peminggiran secara psikologi dan pengusiran secara terang dan nyata.

“Umumnya, Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Menjaga keberadaan bangsa Melayu di Pulau Pinang bermakna mengekalkan keberadaan dan kewujudan Islam di sana. Ketiadaan Melayu bermakna tiadalah suara azan dan sunyilah masjid.

“Berkurangnya bangsa Melayu bermakna sepi masjid dan tenggelam suara azan. Tiada tanah bermakna tiada tempat tinggal. Justeru, sebagai generasi pewaris, saya ingin berpesan, jangan jadi seperti yang berlaku di Pulau Pinang,” tegasnya.

Beliau seterusnya melontarkan persoalan bahawa menjelang 2020 apakah kerajaan sanggup melihat orang Melayu di Pulau Pinang akan hanya tinggal di rumah pangsa kos rendah di kala Malaysia diisytiharkan sebagai negara maju.

“Malah, lebih teruk lagi mereka ini tidur dalam beca seperti 10 orang pengusaha beca Melayu Pulau Pinang. Mereka ini tidak mempunyai rumah dan tidur dalam beca. Kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang selamat kerana tanah milik mereka berada di luar bandar dan zon pertanian.

“Hilang tanah, hilanglah Melayu, hilang Melayu, maka akan hilanglah UMNO. Mereka ini perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti. Oleh itu, dengan penuh keinsafan, saya meminta Presiden UMNO dan semua agar cuba memahami masalah orang Melayu terutama di Pulau Pinang,” katanya.

Atas dasar itu, beliau turut mencadangkan agar Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang akan ditubuh nanti dapat diperkasa dan menjadi pemantau kepada penyertaan bumiputera di Pulau Pinang.

Read more...

Terbongkarlah: Non- Bumi Tak Ikhlas bantu kaum bumi/Melayu

Golongan bukan Melayu didakwa tidak setia dalam BN kerana mengambil kesempatan memonopoli negara ini apabila orang Melayu mulai leka, kata seorang pewakilan dalam mesyuarat agung Umno 2010.

Hasnoor Sidang Husin – wakil Melaka – berkata sekiranya permuafakatan “ayahanda-ayahanda” kita yang terdahulu dilanggar, akan wujudlah insiden seperti peristiwa 13 Mei 1969.

“Apakah kuota 30 peratus untuk bumiputera terlaksana? Pada pendapat saya, kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana golongan bukan Melayu tak bantu pencapaiaan tersebut.

“Hingga hari ini, bukan saja tak bantu, sebaliknya mempertikaikan dasar tersebut.

"Pada pendapat saja pacal yang hina, orang bukan Melayu tak ikhlas sebagai sahabat kita dalam BN,” kata Hasnoor yang juga pemimpin bahagian Bukit Katil.

Kata-kata penuh bersemangat tersebut bukan sahaja disambut tepukan dan sorakan daripada perwakilan yang hadir tetapi turut menarik perhatian pengerusi persidangan yang kemudiannya secara berseloroh memintanya menarik balik perkataan "pacal yang hina".

Ketika membahaskan usul ekonomi sebentar tadi, Hasnoor berkata, seperti "ayahadannya" yang berani mencipta DEB, "anakandanya" pula mestilah berani melaksanakannya sampai sebarang kompromi.

"Mengagihkan kek ekonomi hendaklah seperti permainan golf, bukan seperti permainan ragbi yang semuanya dalam keadaan ganas," kata Hasnoor.

Justeri, menurutnya lagi, negara ini mestilah mewujudkan ekosistem ekonomi yang bersandarkan keadilan sosial dan bukannya ditentukan oleh pasaran semata-mata.

"Betulkan ini, pasaran tak sempurna. Wujudkan padang permainan yang sama rata. Sektor swasta mesti dipatikan jadi pemacu ekonomi dan menghapuskan diskriminasi terhadap kaum bumiputera," katanya.

Sementara itu, mengulas soal pendekatan ekonomi, Hasnoor berkata, sesuatu dasar yang hendak diterapkan hendaklah tidak menekankan tentang pertumbuhan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira soal pengagihannya.

"Ingatkan, apa model pun yang hendak dilaksanankan, perancangan mestilah mengambil kira kepentingan bangsa Melayu, kerana kalau Umno tidak lagi berjuang untuk nasib Melayu, apalah ertinya kia masih berada dalam dewan keramat (PWTC) inI," katanya.

Menurut Hasnoor lagi, jangan sampai "bangsa lain mendapat daging, orang Melayu mendapat tulang".

Read more...

Thursday, October 21, 2010

Taring pemuda Umno semakin rumpang

Pergerakan Pemuda Umno gagal memainkan peranannya sebagai pembela nasib bangsa Melayu terutamanya berkaitan isu perkauman yang berlaku akhir-akhir ini.

Perwakilan Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafli berkata, menerusi perkembangan terkini, isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu yang sepatutnya dijuarai oleh Umno telahdiambil alih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Jelasnya situasi berkenaan sedikit-sebanyak memberikan gambaran kepada rakyat bahawa peranan yang dimainkan Umno kini diambil alih oleh NGO bagi membela nasib orang Melayu.

"Pemuda Umno kini tiada sentuhan pembelaan terhadap orang Melayu, perkara ini merupakan sesuatu yang kita perlu akui.

"Kelemahan kita nampaknya telah dipergunakan oleh NGO-NGO tertentu, namun hakikatnya ialah kita sendiri yang mencipta ruang kekosongan itu," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno di sini, Rabu.

Selain itu beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar Pemuda tidak cepat melatah dalam menangani isu-isuperkauman agar tidak menyentuh sensitiviti kaum di negara ini perlu dikaji semula.

Menurutnya, tekanan mengenai isu-isu perkauman tetap perlu dilakukan oleh Umno sebagai menyatakan pendirian parti berkenaan.

"Sebenarnya dalam BN (Barisan Nasional) kita ada kaedah untuk selesaikan isu perkauman.

"Pada masa yang sama kita perlu lakukan tekanan, kita kena nyatakan pendirian kita sebagai langkah pembelaan (kepada Melayu)," katanya.

Sebagai contoh tegasnya dalam isu Wee Meng Chee atau dikenali sebagai 'Namewee', seorang pemuda dari Muar, Johor sepertimana yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip video berbaur perkauman denganmerujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu, Namewee dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.

Sebelum ini, Namewee pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan menghina lagu kebangsaan dan mempersendakan kerajaan menerusi sebuah klip video pada 2007.

Mohd Razlan berkata, sehingga kini Namewee masih tidak dikenakan apa-apa tindakan walaupun tidak serik melakukan kesalahan menghina negara.

"Berbanding kes guru yang didakwa menghina dan mencetuskan isu perkauman...mereka kini telah dikenakan tindakan.

"Sebab itu saya katakan bahawa kita kena imbangi dengan apa yang dilakukan oleh NGO, kita kena tunjukkan bahawa Umno sentiasa kehadapan dalam membela nasib Melayu," katanya.

Read more...

Wednesday, October 20, 2010

Anwar akan kepunan di Batu Sapi

PKR akan kepenunan di Batu Sapi. Kawasan itu adalah kawasan BN. Persepsi pengundi Sabah tidak sama dengan persepi pengundi Semenanjung, demikian juga persepsi SIBU, tidak akan menular di Batu Sapi Sabah.

Hubungan antara kaum di Sabah, cukup mantap, tidak kiranya bumiputera mahupun bukan bumiputera.

Di Sabah sahaja akan terdapat kedai kopi campuran, di mana pemiliknya adalah cina, selain pemilik itu menjalankan pernigaannya seperti biasa, juga memberi peluang kepada peniaga bumiputera berniaga pada tempat yang sama dengan waktu yang sama.

Pengundi Batu Sapi khasnya dan Sabah amnya, tidak sanggup memberi undi kepada pembangkang. Pembangkang hanya menabur janji di mulut, tidak berkempuan melaksanakan janji-janji itu.

Lihat sahaja di Pulau Pinang, Selangor,Kedah dan Kelantan, pembangkang tidak mampu memenhui janji-janji yang ditaburkan, sebaliknya menyalahkan kerajaan BN, kerana tidak memberi peruntukkan kewangan kepada mereka.

Mana ada pertarungan, memberikan musuh senjata untuk menikam si pemberi? Bodoh lah namanya kalau memberi peruntukkan kepada pembangkang untuk melaksanakan janji-janji mereka.

Cubaan PKR di Batu Sapi adalah sia-sia, cubaan itu akan menambah jumlah majoriti BN; lain halnya jika BN berdepan SAPP, ada kemungkinan kedudukkan 50:50.

Read more...

Umno akan terus membela melayu dan bumiputera: Muhiyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan asas awal persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 malam tadi dengan sekali lagi mengalihkan ‘tembakannya’ terhadap Pakatan Rakyat di samping menegaskan asas perjuangan Umno akan terus membela orang Melayu dan Bumiputera.

Malah, Muhyiddin juga berulang kali menekankan Umno tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Seolah-olah menjawab kritikan pembangkang, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan pendirian dan komitmen beliau terhadap gagasan 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak hampir dua tahun lalu.

Mengambil kira amanat taklimat presiden semalam, Najib dijangka akan memperkukuhkan asas persiapan Umno dan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut dalam waktu terdekat.

Najib akan menyampaikan ucapan dasar Presiden esok.

Timbalan Presiden Umno memulakan ucapannya bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan” dengan berkata, “hari ini Umno telah mula berubah.”

“Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerak kerja.

“Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional,” kata beliau berucap merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Putera Umno secara serentak semalam.

“Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan,” kata beliau dilihat merujuk kepada Pakatan Rakyat, dianggotai PAS, PKR dan DAP.

Pakatan Rakyat dibentuk April 2008 sejurus selepas pilihan raya umum ke-12.

“Sebab itulah, kata beliau, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing,” kata Muhyididn.

Katanya, mereka caca marba seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

“Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa,” kata beliau tanpa menyebutkan nama mana-mana pemimpin pembangkang.

Tetapi baru-baru ini Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sasaran pemimpin Umno berhubung kenyataannya di Jakarta minggu lalu.

Muhyiddin seterusnya berkata, ada di kalangan mereka yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka.

“Takut kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru.

“Malah mereka sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain.

“Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja,” kata beliau sambil menambah, “malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan.”

Kritikan Muhyiddin itu menambah, “dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat”, yang jelas merujuk kepada PAS dan DAP.

Timbalan Pengerusi BN ini menekankan bahawa permainan politik ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan.

Muhyiddin juga mendakwa parti-parti pembangkang persekutuan ini tidak akan ke mana kerana “kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja.”

“Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain.

“Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka,” kata Muhyiddin yang juga memberitahu bahawa parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka.

“Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna.

“Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa,” kata beliau sambil mendakwa “Umno tidak begitu.”

“Umno tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. Umno tidak pernah tergelincir daripada landasannya.

“Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ia sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari Umno.

“Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari Umno dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi Umno, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni,” katanya.

Mengenai gagasan 1 Malaysia, Muhyiddin berkata, “kita menjunjung gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua wargenagara berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.”

“Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Dalam konteks ini, gagasan 1 Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan,” katanya.

Muhyiddin berkata, gagasan 1 Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni.

“Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh Presiden ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu,” katanya.

Di samping itu, Timbalan Presiden Umno ini berkata, parti dominan ini tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum menerima manfaat.

Katanya, Umno yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana Umno berlaku adil kepada semua.

“Ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah, dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang yang beriman,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Umno tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu,” katanya.

Muhyiddin berkata politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan Umno sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis,” katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain sebenarnya jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Read more...

Sunday, October 17, 2010

Anwar masuk ke PWTC setelah lebih sedekad

Wajah Serius Anwar ketika di PWTC
Anwar baru-baru ini telah hadir ke majlis Jamuan Makan Malam sempena Sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Jumaat.

Anwar melangkah masuk ke PWTC dengan keadaan terharu dan hiba, ini jelas dapat dilihat pada raut wajahnya antara sedih dan pilu, sayu dan malu.

Majlis yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Badan Kesenian Tentera Darat.

Sementara itu, Pandikar Amin dalam ucapan alu-aluannya berkata kehadiran ramai mantan anggota Parlimen dari pihak kerajaan dan juga pembangkang membawa makna besar kerana mereka merupakan tokoh yang telah menyumbang kepada kejayaan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

"Institusi Parlimen Malaysia mencapai usia 50 tahun pada September tahun lepas. Kita berbangga dengan khidmat cemerlang yang telah dimainkan oleh pemimpin-pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang terdahulu dan pastinya sejarah merakam dan mengabdikan jasa bakti mereka.


"Tetapi pada hemat saya, tidak kurang pentingnya atau lebih penting lagi adalah peranan wakil rakyat yang akan diteruskan oleh ahli-ahli yang berhormat yang berkhidmat pada masa ini," katanya.


"Marilah kita bertekad untuk terus mempertahankan institusi parlimen kita ini dengan cara yang telah terbukti kejayaannya agar ia terus memberi kesejahteraan kepada rakyat negara kita," katanya.

Pandikar Amin berkata sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang didukung selama lima dekad ini harus dikekalkan kerana telah memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat.

Beliau juga menyeru wakil rakyat agar memastikan perbezaan pandangan mereka mengenai isu tertentu diguna untuk menyuburkan demokrasi selain melaksanakantanggungjawab mereka dengan beretika.

Read more...

Thursday, October 7, 2010

Zaid sedia tarik diri jika Nurul Izzah Anwar tanding No.2 PKR

Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan bertanding kerusi timbalan presiden PKR bersedia untuk tidak turun gelanggang jika Nurul Izzah Anwar bersedia menyaingi kerusi nombor dua parti itu.

Zaid berkata, beliau merasakan Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai kemungkinan bertanding kerusi timbalan presiden kerana cukup pencalonan untuk berbuat demikian.

“Saya bersedia untuk menarik diri (daripada tawaran bertanding) dan membantu beliau dalam pertandingan ini,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Dua minggu lalu Nurul Izzah mengumumkan kesediaan bertanding jawatan naib presiden.

Read more...

Thursday, September 30, 2010

PRK Galas, Gua Musang: Pertembungan antara KULI dan Tok Guru Nik Aziz

Keputusan pucuk pimpinan Nasional (BN) memilih pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya parti bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang dialu-alukan oleh parti komponen BN dan penganalsis politik.

Mereka yakin personaliti utuh anggota Parlimen Gua Musang itu akan menjadi faktor utama yang dapat membantu BN merampas semula kerusi DUN Galas, berdasarkan rekod baik dan pengaruh beliau di kawasan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berkata bagi memenangi semula sokongan kepada BN di Galas, tiga puak dalam Umno Kelantan perlu memberikan sokongan padu kepada Tengku Razaleigh.

"Mereka perlu menggunakan strategi Manik Urai, iaitu hanya ada satu pasukan," katanya semasa dihubungi.

Sivamurugan berkata walaupun Tengku Razaleigh mendapat sokongan padu daripada partinya di Gua Musang, beliau masih perlukan sokongan pemimpin Umno negeri seperti pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pengerusinya Tan Sri Annuar Musa dan timbalan pengerusi sekarang Datuk Dr Awang Adek Hussein untuk membantu beliau sebagai pengarah pilihan raya.

"Jika mereka ini tidak memberikan sokongan padu kepadanya, dengan itu agak sukar bagi Tengku Razaleigh walaupun beliau merupakan ikon di kawasan itu," katanya.

Tengku Razaleigh menjadi Adun bagi Hulu Kelantan Barat pada 1969 dan kemudiannya anggota Parlimen Hulu Kelantan sejak 1974. Hulu Kelantan kemudiannya diubah nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept.

Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memperoleh 4,399 undi, menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Selain memilih Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya, pucuk pimpinan BN juga berkata mereka akan memilih calon setempat untuk bertanding di kerusi itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, jumlah yang mengundi di kerusi ini agak tinggi, kira-kira 80 peratus ekoran kedua-dua pihak meletakkan calon setempat berwibawa. Bagaimanapun, satu-satunya masalah yang perlu ditangani BN ialah mengenai kemerosotan sokongan di kalangan bukan Melayu," kata Sivamurugan.

Hakikatnya, katanya kegagalan BN mengekalkan kerusi itu pada 2008; pertama kali mereka tewas, adalah disebabkan kemerosotan sokongan daripada pengundi Cina kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.

Menurut senarai daftar pemilih yang lepas, terdapat 10,330 pengundi di kawasan itu, 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 10.5 peratus Orang Asli dan 1.8 peratus India. Kebanyakan masyarakat Cina tinggal di pekan Gua Musang.

"Kaum Cina pasti akan terpengaruh dengan pilihan raya kecil ini. Oleh itu, strategi BN perlu menumpukan mengenai bagaimana mereka memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang, iaitu kerana faktor calon dan bukannya faktor parti," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chiang Chin berkata kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN di kawasan itu tidak boleh dipersalahkan bagi keputusan pilihan raya umum di kawasan itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan agak huru-hara. Sebab itu kita menyaksikan penurunan sokongan kaum Cina. Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil kelak, dengan jentera yang lebih tersusun dan lebih bersedia, kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.

Walaupun Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, masih merupakan pertandingan yang sukar bagi BN ekoran beberapa isu.

Seperti ditegaskan oleh Sivamurugan, isu utama ialah royalti minyak untuk Kelantan.

"PAS pasti akan memainkan isu bagaimana Tengku Razaleigh menyokong kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam tuntutan bagi royalti minyak.

"Sebab itu kenapa dalam pilihan raya kecil ini, kita bakal menyaksikan pertempuran personaliti antara Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik (Abdul) Aziz Nik Mat," katanya.

Read more...

Tuesday, September 28, 2010

Sifat sebenar Parti PKR terbongkar-insiden pemilihan menggambarkan semuanya

Kekecohan yang tercetus pada pemilihan beberapa cabang PKR pada Ahad lepas merupakan satu daripada contoh atau petanda perebutan kuasa dan jawatan dalam parti di antara kumpulan perintis "reformasi" dan mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum 2008, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat konflik di antara dua kumpulan itu semakin ketara akhir-akhir ini, khususnya apabila mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum Mac 2008, mula mensasarkan jawatan dalam parti.

"Kecuali pucuk pimpinan dapat membendungnya, tampaknya mereka bersaing untuk merebut jawatan dengan personaliti tertentu terlibat. Walaupun parti mempunyai 400,000 anggota, kalangan atas pagar mengikuti perkembangan ini dengan dekat," kata Dr Sivamurugan Pandian,penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia.

Katanya pengundi atas pagar mengikuti perkembangan itu untuk menilai tahap kematangan pemimpin parti dan mereka mungkin akan membuat penilaian dari situ sebelum mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat memantau perkembangan ini secara dekat kerana mahu tahu apa yang mereka ini rebutkan? (Adakah) untuk rakyat (amnya) atau untuk memperkukuhkan kuasa orang tertentu dalam parti," katanya.

Dr Sivamurugan berkata kedudukan dalam parti amat penting bagi sesetengah pemimpin untuk jaminan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Masalah itu sebenarnya lebih parah. Hampir separuh daripada pemilihan cabang membabitkan pertandingan antara dua kumpulan. Ini baru pemilihan peringkat pertama iaitu memilih Ketua Cabang. Apa akan berlaku apabila mereka membuat pemilihan kepimpinan peringkat kebangsaan bulan depan," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof James Chin dari Monash University berpendapat pertandingan sengit dalam pemilihan cabang PKR disebabkan hakikat mereka mahu memegang jawatan bagi menjamin pencalonan pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagaimanapun, ini bukan satu masalah kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Ini merupakan kali pertama mereka melakukannya (pemilihan parti secara langsung)," katanya.

Tetapi bagi penganalisis politik dan bekas ahli politik James Wong, apa yang berlaku semasa pemilihan cabang PKR itu akan memberikan gambaran kurang baik kepada pengundi yang bersikap berkecuali.

"Semasa tempoh berkempen, sudah terdapat petanda yang pemimpinnya terlalu terlibat dalam polemik peribadi. Ramai orang mengharapkan PKR bersikap baik, Pertandingan adalah pertandingan dan bukannya peribadi," katanya.

Wong menjelaskan sebelum pilihan raya umum lepas, wujud jangkaan tinggi bahawa pembangkang mempunyai "moral alternatif" untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan atas sebab itu pakatan PKR-DAP-PAS atau Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

"PKR selama ini memberikan tanggapan kepada rakyat yang mereka adalah "moral alternatif". Kini anda (PKR) menjadi sepertimana MIC dan MCA sebelum ini, membaling kerusi dan sebagainya," katanya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini berkata mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.

Beliau berkata laporan awal mendapati penangguhan itu disebabkan faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007. Mereka turut mendakwa bahawa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti.

Lagipun, katanya daripada 166 cabang, 159 atau 96 peratus telah selesai mengadakan mesyuarat agung dan 39 lagi cabang akan selesai bermesyuarat menjelang hujung minggu ini.

Wong berkata, walaupun pakatan pembangkang mungkin menganggap kekecohan yang berlaku pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, tetapi mereka masih perlu mengambil kira persepsi orang ramai terhadap perkara itu.

"Walaupun perkara itu kecil, ia masih tidak baik. Harapan yang ada pada rakyat kini telah tercalar. Jika mereka memandang mudah perkara itu, BN akan mendapat faedah daripadanya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.BERNAMA

Read more...

Friday, September 24, 2010

Apabila Nik Aziz Tak Bangga jadi Melayu

Melayu terkenal dengan sikap toleransi, lembut bermaruah dan patuh dalam beragama.Sejarah juga telah mengesahkan bahawa orang Melayu boleh bersatu tidak kira dalam apa jua suasana.Tidak kira suasana aman atau tegang.

Kita juga harus ingat bahawa perpaduan Melayu jugalah penyebab kegagalan Malayan Union daripada menjadi kenyataan. Malah perpaduan ini jugalah antara penyebab utama Malaysia begitu mudah diwujudkan. Apa yang penting perpaduan dan suasana aman damai hari ini adalah kerana wujudnya perpaduan Melayu..

Ada pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak bangga menjadi Melayu. Di manakah pendirian Nik Aziz sebagai orang Melayu yang turut menikmati faedah dari hak-hak yang dipertahankan oleh UMNO selama ini? Adakah beliau terlepas pandang segala kesenangan dan kemudahan yang dikecapi sekarang adalah kerana keistimewaan yang dimiliki oleh dia sebagai seorang Melayu?.

Secara peribadi saya merasakan bahawa Nik Aziz memberi kenyataan tersebut adalah kerana merasakan bahawa PAS berpolitik hanya kerana agama bukan kerana bangsa berbeza dengan UMNO yang mempertahankan bangsa agama dan negara yang secara jelas termaktub di dalam perlembagaan UMNO.

Oleh itu dia merasakan bahawa bangsa tidak menjadi satu kepentingan di dalam politik PAS malah tiada siapa boleh menafikan perkataan Islam didalam PAS itu sendiri telah mengelirukan orang Melayu, orang-orang Islam lain dan juga orang bukan Islam di Malaysia.

Semenjak kebelakangan ini, perpaduan Melayu yang menjadi kebanggaan kita hampir berkecai akibat daripada pertelingkahan oleh mereka yang tidak bertanggunjawap yang sengaja diwujudkan.

Perpecahan ini telah berlarutan agak panjang dan saya melihat usaha meleraikan ketegangan ini seolah-olah tidak ada titik pertemuannya.

Dimanakah hilangnya ciri keMelayuan yang kita banggakan sehinggakan sukar untuk kita berunding, bertolak ansur dalam usaha menyatukan kembali perpaduan yang telah lama kita pertahankan.

Usaha untuk menyatukan perpaduan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya memerlukan kesungguhan politik dan kesabaran yang tinggi.

Kita juga harus membuang jauh perasaan prasangka buruk dan persefahaman adalah ciri penting yang perlu di beri perhatian.

Perpecahan Melayu akan mewujudkan banyak masalah antaranya kelemahan politik dan ekonomi. Ini akan menjadikan orang Melayu kembali dijajah seperti dahulu.

Perpecahan ini juga pasti akan menjejaskan perpaduan dikalangan orang-orang Islam kerana Melayu itu semuanya Islam.

Ini adalah satu persoalan bangsa.Setiap daripada kita harus mencari jawapan. Kita sendiri yang menentukan adakah sejarah lepas sesuai ataupun tidak diperjuangkan pada zaman sekarang.

Sejarah yang dipaparkan hanya memberi pengajaran kepada kita.Terpulang kepada kita adakah kita benar-benar mahu mempertahankan hak kita sebagai kaum pribumi yang semakin terhakis. Fikir-fikirkan!!

Read more...

Tuesday, September 21, 2010

PRU-13 akan kita saksikan Nazri, KJ, Saifudin Abdullah, Zaid Hamidi, Nur Jazlan, Tengkun Adnan akan tanding kawasan minoriti melayu

Atas sifat pengakuan mereka, bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan kemudian keturunan melayu, maka mereka akan mencipta sejarah pada PRU-13 akan datang apabila mereka-mereka ini akan bertanding di kawasan-kawasan minoriti melayu, misalnya bukit bintang, Kuala Lumpur, PJ Utara, Bakri-Johor atau Ipoh Barat, Perak.

Mereka mentafsikarkan gagasan 1Malaysia seperti demikian, kerana itu, mereka sangat benci kepada Perkasa.

Secara konsisten, mereka ini mendakwa bahawa Perkasa akan merugikan Umno dan BN.

Pada PRU-13 akan datang Tengku Adnan Mansor tidak akan bertanding di Parlimen Putrajaya, sebaliknya bertanding di Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan. Sementara KJ pula akan meninggalkan Parlimen Rembau dan sebaliknya akan bertanding di parlimen Seremban.

Manakala Nazri Aziz akan bertanding di Ipoh Barat atau Ipoh Timur, Perak.

Mereka berkeyakinan akan menang pada semua kerusi yang mereka tandingi, kerana pengundi telah matang dan akan mengundi calon-calon yang berpendirian Malaysian First dan kemudian keturunan.

Read more...

Monday, September 20, 2010

Perkasa minta PM pecat Tengku Adnan

Susulan ‘perang kenyataan’ berhubung isu kontroversi Umno dan BN perlu menjauhkan diri daripada Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan orang Melayu itu kini mahu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipecat daripada jawatan setiausaha agung Umno dan BN.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa Presidennya Datuk Ibrahim Ali sudah tentu telah memecat beliau jika membuat kenyataan yang menjatuhkan imej badan berusia dua tahun itu.

“Saya setiausaha agung agung Perkasa kalau buat kenyataan menyusahkan Perkasa, sudah tentu Presiden saya Datuk Ibrahim Ali akan pecat saya serta-merta.

“Tak tahulah Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) kalau dia masih nak simpan setiausaha agung macam ini,” kata Syed Hassan berpendapat kenyataan Tengku Adnan bahawa BN memutuskan untuk menjauhkan Perkasa bukan kecil telah menjejakan imej perikatan itu dan juga Umno.

“Ini bukan hal kecil boleh dimaafkan pada saya.

“Membabitkan kredibliti Umno, memalukan. mudah nafikan kenyataan yang telah dibuat,” kata Syed Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Tengku Adnan menafikan rakan-rakannya dari BN pernah mengambil keputusan awal bulan ini untuk menjauhkan diri daripada Perkasa atas alasan pertubuhan bukan kerajaan itu menghakis sokongan mereka.

Penafian beliau itu muncul sehari selepas kenyataan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, kelmarin bahawa Umno tidak mahu mencetuskan konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan meskipun pemimpin-pemimpin Umno termasuk beliau menolak Perkasa

Lebih seminggu lalu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN dilaporkan bahawa rakan-rakannya dalam BN telah bersetuju bahawa menjauhkan perikatan itu daripada Perkasa adalah langkah terbaik untuk mengatasi sokongan bukan Melayu kepada BN yang didakwa semakin merosot.

Sokongan itu antara lain merosot kerana bukan Melayu melihat Umno menjalin kerjasama dengan Perkasa.

Tengku Adnan pernah menafikan Umno ada kerjasama dengan Perkasa ataupun menyokong perjuangan Perkasa.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider sebelum ini beliau juga memberitahu bahawa Umno tidak akan menyokong Perkasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Tengku Adnan menekankan bahawa BN tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.

Jelas Tengku Adnan, beliau hanya memberitahu bahawa tindakan Perkasa sejak kebelakangan ini memperlekehkan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mensabotaj soal keharmonian kaum di kalagan komponen perikatan itu.

Tengku Adnan juga menekankan tentang apa yang dikatakan oleh Najib sambil berkata, Umno dan BN tidak harus menjauhkan diri daripada mana-mana NGO tetapi sewajarnya membimbing mereka dengan dasar-dasar BN.

Read more...

Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia ke-47

Ketika mana Tun Fuad Stephen mengistiharkan pembentukan Malaysia pada 16-9-63. Tun Mustapha adalah Gabnor Pertama (duduk bersama Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak)

HARI Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama Hari Kemerdekaan ke-6. Namun, tarikh perisytiharan pembentukan Malaysia tertangguh disebabkan oleh beberapa isu antaranya bantahan Indonesia dan Filipina.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak. Selepas segala isu berjaya diselesaikan, perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia dan tuntutan Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Mulai 2010, kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia adalah cuti am di semua negeri di Malaysia.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengemukakan satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.

Cadangan ini secara amnya diterima penduduk Malaya dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Filipina yang membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihan raya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962.

Satu suruhanjaya kerjasama Inggeris-Malaya yang diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada 1962 dan melaporkan kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia.

Bagaimanapun, tentangan yang berterusan dari Filipina dan Indonesia menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

Read more...

Wednesday, September 8, 2010

UMNO tidak sokong Ibrahim Ali di parlimen Pasir Mas:Adnan Mansor

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan partinya tidak akan menyokong Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan pertubuhan bukan kerajaan pimpinan Ibrahim - Perkasa.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

Kemudian beliau mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat Bebas.

Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005 tetapi hanya memperoleh 415 undi dan hilang wang deposit.

Pengkalan Pasir adalah kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Pasir Mas.

Selepas memutuskan hubungan dengan PAS, Ibrahim menubuhkan Perkasa atas matlamat mahu mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertubuhan itu yang kini mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara menggesa pentadbiran Najib mempertahankan dasar ekonomi pro-Melayu dan Bumiputera meskipun kerajaan mahu meliberalisasikan ekonomi negara.

Dua minggu lalu Ibrahim mencabar agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan konsep 1 Malaysia dan mengemukakan satu resolusi berkaitan Perkara 153 Perlembagaan kerana gagasan itu bukan bererti kesamarataan hak.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Tengku Adnan mengingatkan pemimpin-pemimpin Perkasa bahawa BN perlu memenuhi keperluan dan kehendak semua kaum dan tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana kaum jika mahu terus mentadbir negara ini.

Ketika ditanya nasihat kepada Ibrahim dan Perkasa, Tengku Adnan dengan nada penuh harapan berkata:

“Tolong perlahan sikit.”

“Apa saja yang anda lakukan, tolong fikir dengan baik. Apakah hasilnya? Apa yang anda mahukan untuk Malaysia? Anda mahukan perang saudara?” tanya Tengku Adnan yang sudah menjangkakan reaksi balas ahli Perkasa.

“Saya tahu bahawa apabila saya mengatakan begini, ahli Perkasa akan serang saya,” katanya lagi.

Read more...

Monday, August 23, 2010

Surau di sembah cat merah di Seremban

Sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban telah disimbah dengan cat merah awal pagi ini.

Cat merah itu disimbah pada bahagian belakang surau tersebut.

Kejadian itu disedari oleh jawatankuasa surau tersebut pagi ini dan kemudiannya membuat laporan polis.

Surau tersebut baru beberapa minggu digunakan dan belum berpagar.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga ADUN Lobak, Anthony Loke (kanan) pergi ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenainya.

Beliau ke situ bersama ADUN Temiang Ng Chin Tsai dan dan ADUN PKR Sikamat, Aminuddin Harun (kiri).

Mereka menemui satu botol arak yang mengandungi cat merah di situ.

Difahamkan, surau tersebut baru siap dibina kira-kira sebulan yang lalu.

Sementara itu, polis telah pergi ke tempat kejadian untuk menyiasat dan mengambil kenyataan daripada jawatankuasa surau berkenaan.

Read more...

Sunday, August 8, 2010

Maffuz Omar pemimpin jijik, Pas pula parti dayus: Bisik-bisik mingguan

Awang Selamat penulis pojok bisik-bisik mingguan Malaysia menyifatkan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai pemimpin yang 'angkuh dan paling menjijikkan' kerana didakwanya suka menghina orang Islam.

PAS pula didakwanya sebagai parti yang 'paling dayus' meskipun menggunakan nama Islam kerana menolak permuafakatan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP

Penulis pojok itu menulis "Pedulikan golongan seperti itu, yang suatu hari akan menangis keinsaatan kerana merekalah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan Islam," hari ini.
Awang Selamat juga hairan mengapa ramai pengimpin PAS menolak idea permuafakatan dengan Umno "kononnya kerana parti itu kurang Islam dan meletakkan banyak syarat".

"Anehnya PAS tidak menetapkan sebarang batasan kepada DAP dalam kerjasama mereka, malah asyik tunduk kepada parti tersebut yang secara terbuka menentang gagasan negara Islam.

"Pada Awang PAS menjadi parti paling dayus meskipun menggunakan nama Islam.

"Paling menjijikkan apabila ada pemimpin angkuh seperti Mahfuz Omar yang suka menghina orang Islam," tulis Awang Selamat lagi.

Sebaliknya, Awang Selamat mendakwa Umno terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berdekad-dekad lebih awal berbanding PAS yang didakwanya "yang baru setahun jagung".

"Umno konsisten memerangi ekstremisme agama dan menjadi pelindung terbaik kepada penganut agama lain," tulisnya lagi.

Read more...

Monday, August 2, 2010

Sajak Mahfuz Omar Untuk Perdana Menteri

Selamat bercuti Perdana Menteri
Mahfuz Omar

Assalammualaikum YAB Perdana Menteri;
Dengar khabar sedang bercuti;
Bercuti pula diluar negeri;
Ini adalah nukilan buat Datuk Seri.

Rakyat menghadapi inflasi yang tinggi;
FDI pula merudum lagi;
Jenayah kian menjadi-jadi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri....

UPSR + PMR tak menentu lagi;
Dikurangkan pulak rakyat punya subsidi;
Harga petrol/desil gas masak dan gula naik lagi;
RM222 juta kepada Kuala Dimensi Kerajaan kasi;
Perdana Menteri bercuti di luar negeri .....

Kasihan Mak Tijah hidup sendiri;
Bajetnya sekadar pencen arwah suami;
Barangan keperluan pula melambung tinggi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri....

Muthusamy pergi kerja setiap hari;
Dia kerja bawa teksi;
Mengeluh dia minyak sekarang kurang subsidi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....

Ong sekarang senyum sendiri;
PKFZ punya hantu sudah mali;
Ling Liong Sik punya trial sandiwara lagi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....

Joseph mengeluh sekali lagi;
Apa sudah jadi kes Project M d Sabah ni;
Pendatang haram pun dapat IC;
Kepada BN undi mereka beri;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri ....

Kasihan Kaum Penan d bumi sendiri;
Tanah serta hutan mereka sudah menjadi milik kroni;
Nak hidup macam mana mereka nanti;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri;
Bercuti bukan dengan duit sendiri;
Ambil duit rakyat dan negeri;
Inilah KPI Perdana Menteri.

Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS.

Read more...

Friday, July 23, 2010

Selagi Nik Aziz Ada kerjasama Umno-Pas tidak mungkin wujud

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas PAS dan Umno tidak boleh berunding daripada segi politik kerana kedua-dua parti itu mempunyai dasar parti yang berbeza.

"Keputusan itu bukan keputusan saya, tetapi telah diputus oleh parti (dalam muktamar PAS) di Ipoh dua tahun lepas

"Tak boleh...Umno dasar lain, PAS lain, tak boleh kerana dasar kedua-dua parti itu berlainan antara satu sama lain," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita.

Nik Aziz yang  mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasaruddin Hassan Tantawi bahawa PAS dan Umno masih mempunyai harapan untuk bekerjasama demi perpaduan Melayu.

Read more...

Wednesday, July 21, 2010

Di Kedah: Seorang Ustaz Dicekup Kerana Khalwat dengan Isteri Orang

ALOR SETAR: Seorang ustaz berusia 39 tahun dicekup berkhalwat dengan seorang wanita yang juga isteri orang di sebuah hotel murah di Taman Teja, Changlun, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Lelaki itu ditahan sepasukan anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu ketika ditemui bersekedudukan dalam sebuah bilik hotel itu kira-kira jam 1 tengah hari bersama wanita terbabit yang berusia 36 tahun.

Serbuan itu turut dibantu sepasukan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di kawasan perumahan itu selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan maksiat pasangan terbabit di hotel murah terbabit.

Difahamkan, lelaki itu sudah mempunyai isteri dan mempunyai lima anak yang masih kecil, manakala pasangannya mempunyai suami serta seorang anak.

Sumber berkata, ketika serbuan itu, pintu bilik hotel berkenaan dibuka seorang lelaki yang lengkap berpakaian dan dia terkejut apabila melihat kehadiran anggota penguatkuasa pejabat agama dan RELA serta membenarkan pemeriksaan dilakukan.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, pihak berkuasa menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap bersembunyi di bilik air dalam keadaan ketakutan.

“Ketika disoal siasat pasangan itu mengaku mereka hanya kawan biasa dan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

“Berikutan itu, pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Changlun untuk dibuat laporan tangkapan,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah, ketika disoal siasat lelaki itu enggan mengakui dia seorang ustaz, sebaliknya mendakwa bekerja sebagai petani dan jabatan agama sedang menyiasat lokasi ustaz terbabit mengajar.

Anggota penguatkuasa turut menemui ketayap yang dipercayai milik ustaz berkenaan yang disorokkan di bawah bantal dalam bilik hotel itu.

Siasatan juga mendapati mereka tinggal di kampung yang sama di Kuala Kedah.

Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat.

Read more...

Tuesday, July 20, 2010

Keikhlasan Sahaja Membezakan antara Kepimpinan Biasa dan kepimpinan Transformasi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keikhlasan adalah ciri paling utama dalam membezakan antara kepimpinan biasa dan kepimpinan transformasi.

"Jika saya diminta menggambarkan falsafah teras dalam menggariskan pendekatan saya secara menyeluruh kepada kepimpinan, maka ianya adalah keikhlasan," katanya dalam ucapan selepas menerima Anugerah Felow Kehormat Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini Isnin malam.

Najib berkata tahap keikhlasan akan mempengaruhi keberkesanan mana-mana kepimpinan.

"Tanpa keikhlasan anda tidak boleh mampu untuk membangkitkan semangat orang untuk menjangkau batasan bagi merealisasi potensi maksimum dalam diri seseorang itu," katanya.

Najib berkata beliau percaya kepimpinan berdasarkan prestasi dan kepimpinan transformasi merupakan mercu dalam semua bentuk kepimpinan.

"Saya percaya kepimpinan yang lebih bermakna adalah berdasarkan prestasi...anda mempunyai kepimpinan dan berkarisma," katanya.

Najib berkata ketika beliau menceburi arena politik, beliau diajar bahawa seni mengurus proses politik adalah lebih rumit seperti memperlihatkan sikap politik itu sendiri dalam rupa dan bentuk berterusan dan setiap bentuk itu hanya kekal seketika sahaja.

"Kini, dalam pandangan saya, pembahagian ketara antara politik dan pengurusan bukan lagi menjadi kemungkian. Sikap politik diketepikan, tujuan politik seperti pengurusan, juga untuk melaksanankan.

"Ini adalah realiti politik hari ini...bukan sahaja di Malaysia tetapi dalam setiap demokrasi yang mementingkan rakyat, pendekatan ini semakin menjadi kebenaran hakiki.

"Oleh itu, slogan 1Malaysia adalah Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kini," katanya.

Anugerah kehormat itu diberikan kepada individu terpuji atas sumbangan dan perkhidmatan mereka dalam bidang pengurusan.

Najib menjadi penerima individu ke-15 anugerah itu dalam sejarah 44 tahun penubuhan institusi itu.

Antara penerima anugerah itu sebelum ini ialah lima perdana menteri, dua timbalan perdana menteri, gabenor bank, profesor diraja dan penasihat ekonomi kepada tiga bekas perdana menteri.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Pusat Kepimpinan Transformasi dan Pengurusan Bakat MIM.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP