Thursday, March 31, 2011

Guru mengandung hubungan dengan pelajarnya

SEORANG guru wanita sebuah sekolah di Forth Worth, Amerika Syarikat, meletakkan jawatan selepas didakwa menjalin hubungan seks dengan pelajarnya, yang berusia 16 tahun. Akibat perbuatan itu, guru terbabit, Jennifer Riojas, 25, yang turut mengandungkan anak pelajarnya itu ditahan di sebuah penjara sementara menunggu diikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM62,310).

Di Malaysia pula, baru-baru ini, kisah guru wanita ‘mengusik’ pelajar lelaki didedahkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Guru wanita itu dilaporkan ‘mengusik’ pelajar lelaki sekolah menengah yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik.

Ia memperlihatkan semuanya boleh berlaku. Sebelum ini, biasa kita dengar guru lelaki melakukan pelbagai salah laku, mengambil kesempatan ke atas murid, terutama perempuan seperti ‘mengusik’, mencabul kehormatan atau merogol ketika di sekolah atau tuisyen. 

Jarang sekali kita dengar, guru perempuan tidak bermoral seperti itu tetapi hakikatnya, perkara itu berlaku sekali gus menambah calar pada kerjaya mulia ini. 

Guru, ibarat ibu bapa kedua, yang diharap membimbing anak menjadi insan berwibawa, berwawasan dan cemerlang dalam pencapaian akademik dan kehidupan masa depan, melencong daripada tugas hakikinya itu. Walaupun kes salah laku guru ini terpencil, ia satu perkara yang tidak dapat diterima akal dan membimbangkan ibu bapa. 

Suhu kemarahan ibu bapa pasti meninggi, apabila guru yang sepatutnya menjadi contoh dan diamanahkan mendidik di sekolah mempunyai sifat keji melakukan kesalahan dari segi seksual. Ibaratkan pagar, pagar makan padi, itu gambaran paling sesuai buat golongan sebegini. 

Guru wanita selalunya lebih memiliki keperibadian terpuji, malah kerjaya itu dilihat sesuai dengan keterampilan mereka. Tidak hairanlah majoriti daripada kira-kira 390,000 guru di seluruh negara adalah wanita. 

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, mencela tindakan guru wanita itu, lantas mendesak semua guru tidak kira lelaki atau wanita teguh menegakkan prinsip utama profesyen mereka. 

Guru, tegasnya, perlu sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme, proaktif, berprestasi, berperadaban, menambah baik serta sabar dalam melaksanakan tugasnya. 

“Guru adalah contoh kepada pelajar. Mereka bukan saja mampu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar semata-mata, tetapi pada masa sama, juga mampu menyeimbangkan akhlak dan sahsiah pelajar. Oleh itu, guru sendiri perlulah beretika supaya kredibiliti terus terpelihara serta dihormati,” katanya. 

Justeru, beliau mendapati, bagi kes guru yang terpesong daripada peranan utamanya, mereka itu perlu dikenakan tindakan tegas. 

Pada zaman globalisasi ini, peranan guru lebih mencabar dan mereka bijak mengatasi tekanan. Mungkin juga ada guru yang gagal mengawal tekanan dan bebanan tugas sebagai pendidik, mereka cuba melonggarkan minda dengan melakukan perbuatan kurang bermoral. 

“Saya tidak terperanjat jika ada guru wanita yang sudah tidak segan silu ‘mengusik’ pelajar. Nisbah guru wanita lebih ramai daripada lelaki. Ibu bapa pula terlalu menaruh harapan kepada guru untuk memberikan yang terbaik untuk anak. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang tidak meningkat, skop kerja semakin banyak, termasuk melakukan tugas pentadbiran selain mengajar, menjadikan mereka tertekan. 

“Jadi, tidak mustahil ada guru yang lepaskan tekanan dengan cara ini. Bagi guru wanita yang berperangai sebegitu, mereka perlu cepat muhasabah diri. Jangan nanti kerana kes terpencil ini, imej guru akan tercabar dan tercalar,” katanya. 

Lantaran, beliau mengharapkan Kementerian Pelajaran sentiasa ada penambahbaikkan untuk meningkatkan jati diri, memantapkan disiplin guru yang boleh dilakukan seperti menerusi bengkel dan seminar. 

PIBG umpamanya, kata beliau, menganjurkan bengkel Tangani Tekanan dan Kesihatan Mental Dari Perspektif Guru dan Ibu bapa serta Seminar Jati Diri.

Read more...

Sunday, March 13, 2011

Buku Jingga Bankrapkan Negara- Analiisis Berfakta: Rahman Dahlan

Buku Jingga Bankrapkan Negara - Analisis Berfakta

Saya amat teruja apabila mendapat tahu bahawa Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan dasar-dasar utama ekonomi dan kerajaan mereka jika dapat menawan Putrajaya. Saya gembira kerana PR akhirnya sedar bahawa untuk memenangi hati rakyat dan untuk menjadi kerajaan Persekutuan, mereka tidak boleh lagi menggunakan pendekatan retorik semata-mata. Akhirnya mereka harus akur kepada tuntutan “two-party-system” iaitu mempersembahkan dasar-dasar alternatif yang berbeza dengan  parti pemerintah.

Agaknya atas kesedaran ini, maka lahirlah Buku Jingga yang diilhamkan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato Seri Abdul Hadi Awang. Kini sekurang-kurangnya rakyat dapat menilai antara keberkesanan Buku Jingga dan Model Ekonomi Baru ilham Perdana Menteri YAB Dato Sri Najib Tun Razak.

Saya sebenarnya mengharapkan satu buku yang sarat dengan hujah-hujah ekonomi yang berdasarkan fakta yang nyata. Harapan saya ternyata meleset apabila membaca 3 mukasurat yang pertama sahaja, saya agak terkejut kerana PR masih lagi menggunakan berbagai-bagai label dan ungkapan-ungkapan retorik untuk mencemuh BN. Antaranya: selamatkan Malaysia, noda hak rakyat, rasuah, salahguna kuasa, bolot, tidak peduli, mengekang, tidak berjiwa rakyat, krisis parah, perkauman, durjana, pudar, ketinggalan, meraba-raba, bongkak, pentingkan sendiri, mundur, merudum, penderitaan, ketirisan, songsang, hambar, menunggang, lemah, kemelut, malap, gelap, ketakutan dan kabur.

Sebagai penyokong BN, saya hampir saja membuang Buku Jingga kedalam tong sampah kerana kecewa dengan retorik politik berlebihan yang tidak kena pada tempatnya.

Saya faham tentang politik. Setiap parti akan cuba sedaya upaya untuk mendapat pulangan politik terhadap apa saja yang mereka lakukan. Itu tidak salah kerana itulah lumrah politik. Tetapi dalam hal ini PR sepatutnya belajar daripada BN. Contohnya dalam dokumen Model Ekonomi Baru yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan, tidak ada satu ayat pun yang memperlekehkan pembangkang. Semuanya ditulis dengan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa Model Ekonomi Baru adalah milik semua rakyat Malaysia, tidak kira apa pegangan politik mereka. BN menyedari bahawa untuk Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan berjaya, semua rakyat Malaysia termasuk yang menyokong BN dan PR perlu menerimanya. Sebab itu, adalah penting untuk PR menyedari bahawa untuk berjaya, Buku Jingga juga perlu memenangi majoriti hati rakyat termasuk penyokong BN dan mereka yang di atas pagar.

Satu perkara lagi yang saya dapat bezakan antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan ialah cara ianya dirancang. Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan dirancang oleh BN setelah mendapat pandangan dan cadangan daripada rakyat melalui beberapa siri interaksi dan perhubungan dengan mereka. Antara lainnya ialah:

·      190,152 respon daripada orang awam melalui SMS
·      20,000 pengunjung bengkel-bengkel awam (public workshop)
·      24,719 respon daripada kajian on-line (on-line polls)
·      900 ahli makmal yang terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pakar-pakar industri dan NGO
·      6,213 respon dari orang awam secara bertulis
·      dan 26,000 pengunjung Hari Terbuka (open days) PEMANDU mengenai Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.

Setelah mendengar dan mengambil kira respon dan pandangan orang awam, barulah kerajaan BN membuat “endorsement” terhadap Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan . Buku Jingga pula, sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk mendapatkan pandangan umum sebelum ianya digubal. Mungkin sebab itulah rakyat kurang merasai potensi Buku Jingga ini.

Selain itu, satu lagi perbezaan ketara antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan BN ialah pendekatan masing-masing dalam usaha memacu ekonomi negara. BN meletakkan sektor swasta sebagai “driver” kepada ekonomi negara (Private sector driven -  contohnya 92% daripada pelaburan dan perbelanjaan Model Ekonom Baru akan datang daripada sektor swasta) manakala Buku Jingga pula meletakkan kerajaan sebagai driver ekonomi dengan menuntut kerajaan PR untuk berbelanja besar (big government spending!).

Apapun, saya teruskan tulisan ini dengan analisa saya terhadap Buku Jingga. Saya ucapkan terimakasih kepada MOF, EPU dan PEMANDU yang  telah banyak memberi pandangan dan input kepada saya.

Buku Jingga boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah 10 janji yang akan diimplementasikan dalam masa 100 hari PKR menjadi kerajaan persekutuan dan kategori kedua ialah 39 janji dibawah tajuk “Dasar Bersama” atau “Common Policy”.  Saya akan memberi keutamaan dan menjawab janji-janji berkenaan ekonomi dahulu kerana ianya mempunyai kesan dan implikasi yang besar kepada ekonomi negara. Janji-janji tiada kaitan dengan ekonomi secara langsung akan saya jawab pada posting yang akan datang dalam blog ini.

Buku Jingga menjanjikan beberapa perkara utama yang melibatkan kewangan negara.

Antara lain:

·      Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
·      pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
·      menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
·      meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
·      penghapusan subsidi RM19 billion kepada IPP (Independent Power Producer – Penjana Tenaga Bebas)
·      menaikan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Trengganu dan Kelantan kepada 20%


(1) Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
 – Kos kepada kerajaan RM50 billion

Dasar PR ini mengarahkan kerajaan membuat tawaran pembelian saham-saham 19 syarikat konsesi lebuhraya yang dipegang oleh pelabur swasta. Kos pengambilan 19 lebuhraya melibatkan kos tidak kurang dari RM50 billion. Angka RM50 billion adalah tawaran terbaik buat masa ini kepada pemegang saham swasta oleh sebuah syarikat bernama Asas Serbi Sdn Bhd. Besar kemungkinan pemegang saham swasta tidak akan menerima tawaran kerajaan yang lebih rendah dari RM50 billion.

(2) Meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
– Kos kepada kerajaan minima RM93.9 billion setahun

Untuk memastikan setiap isirumah mendapat RM4,000 dalam masa lima tahun, pendapatan isirumah mesti berkembang pada kadar 21.7%. Ini adalah satu perkara yang susah direalisasikan buat masa ini. Kalau kita ambil contoh ekonomi yang paling pesat membangun di dunia untuk dibuat perbandingan iaitu ekonomi negara China, pendapatan isirumah mereka hanya berkembang pada tahap lebih kurang 10% sahaja setahun (sumber: National Bureau of Statistics China). Di Thailand dengan ekonomi yang memberangsangkan, kadar ini hanya 6.3% (sumber: National Statistical Office Thailand).

Jika PR gagal mengembangkan pendapatan isirumah pada kadar 21.7% (dan ini mungkin berlaku), PR terpaksa menokok sejumlah wang untuk memastikan janji mereka ditunaikan. Berapakah yang perlu PR belanjakan?

Peratusan isirumah yang berpendapatan RM4,000 kebawah ialah 67.1% (atau 3.8 juta isirumah). Untuk memastikan pendapatan isirumah mencapai RM4,000, secara puratanya PR terpaksa menokok wang tunai sebanyak RM2,045 sebulan setiap isirumah. Ini bermakna untuk setahun jumlah yang akan dibelanjakan oleh kerajaan PR ialah RM93 billion (untuk 3 tahun jumlah itu menjangkau RM279 billion. Untuk 5 tahun jumlahnya ialah RM465 billion).

(3) Pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
– Kos kepada kerajaan RM2.4 billion

Jumlah guru di Malaysia lebih kurang 400,000 orang. Penambahan gaji RM500 seorang akan memakan kos sebanyak RM2.4 billion setahun (RM500 X 400,000 orang X 12 bulan).
Saya berpendapat besar kemungkinan PR tidak akan dapat menolak desakan kakitangan kerajaan yang lain untuk mendapat kenaikan gaji yang sama. Kalau ini berlaku maka kos akan meinngkat kepada RM7.2 billion setahun (RM500 x 1,200,000 orang kakitangan kerajaan X 12 bulan)


(4)  Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
– Kos kepada kerajaan RM1.2 billion

Mengikut anggaran syarikat Wireless@KL, untuk membangunkan prasarana dan perkhidmatan Wi-Fi percuma di Kuala Lumpur (luas 244km persegi) sahaja akan memakan belanja RM64 juta (Capex RM50juta, Opex RM14juta). Kalau dikembangkan ke kawasan bandar dan separa bandar di Kangar, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Petaling Jaya, Melaka, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, kos yang dianggarkan ialah RM1.2 billion.

(5) Menaikkan bayaran royalti kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20% - Kos kepada kerajaan RM12.5 billion (jika andaian Petronas mengekalkan tahap “retained profits”nya.

Dengan 5 perkara ekonomi diatas sahaja, bajet kerajaan PR akan mengalami defisit yang teruk dan hutang kerajaan PR akan melonjak naik.

Oleh kerana Buku Jingga tidak mempunyai maklumat tentang defisit bajet (peratusan dari KDNK), saya terpaksa menggunakan unjuran peratusan defisit yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam bajet 2011. Jumlah defisit ini bolehlah dikira sebagai “starting point” untuk bajet kerajaan PR jika mereka memerintah Putrajaya.

Defisit bajet untuk setahun pertama ialah:

·      Defisit 2011 ialah RM39 billion (5.4% dari KDNK), tambah
·      Kos penghapusan tol RM50 billion (6.92% dari KDNK), tambah
·      Kos menokok tambah pendapatan isirumah RM93.9 billion (12.99%) dari KDNK), tambah
·      Kos naik gaji guru RM2.4 billion (0.33% dari KDNK) tambah
·      Kos Wi-FI percuma RM1.2 billion (0.17% dari KDNK) tambah
·      Kos tambahan 20% royalti minyak RM12.5 billion (1.73% dari KDNK)

Keseluruhannya defisit bajet PR pada tahun pertama ialah RM199 billion atau 27.54% dari KDNK.

Dengan defisit sebesar itu, kerajaan PR akan berhutang untuk menampung defisit bajet tersebut. Hutang kerajaan PR dianggarkan melonjak kepada RM617.1 billion atau 85.4% dari KDNK. Ini senario tahun pertama PR menjadi kerajaan persekutuan.

Untuk tahun kedua, oleh kerana beberapa perbelanjaan seperti pengambilalihan lebuhraya dan pembinaan prasarana Wi-Fi adalah merupakan perbelanjaan sekali sahaja (one-off), defisit bajet kerajaan PR untuk tahun kedua dijangka turun kepada RM139.3 billion (18% dari KDNK).

Oleh kerana tahun kedua bajet masih lagi defisit, sekali lagi kerajaan PR  terpaksa menambah hutang mereka kepada RM783.5 billion (101.3% dari KDNK) untuk menampung defisit bajet untuk tahun kedua.

Maka untuk tahun kedua pemerintahan PR, defisit bajet negara akan melebihi 10% dari KDNK dan hutang kerajaan PR akan melampui 100% dari KDNK. Dengan itu Malaysia akan secara rasminya diistiharkan BANKRAP kerana hutangnya melebihi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)!

Nota:

(1) Anggaran ini hanya mengambil senario dimana kos pengambilan 19 lebuhraya negara ini ialah RM50 billion. Ada pakar ekonomi yang menjangkakan kos pengambilan ini boleh mencecah RM100 billion.

(2) Anggaran ini juga hanya mengambil senario di mana hanya gaji guru yang diberi tambahan RM500 sebulan. Jika semua kakitangan perkhidmatan awam yang berjumkah 1.2 juta mendesak kerajaan PR untuk memberi mereka jumlah yang sama, tambahan kos ialah RM7.2 billion dan bukannya RM2.4 billion setahun.

Dari Mana PR bercadang menambah pendapatannya?

Saya difahamkan bahawa PR merancang untuk menggunakan “penjimatan” RM19 billion yang dipotong dari subsidi kepada Penaja Kuasa Bebas (IPP) untuk menampung dasar-dasar yang saya sebut diatas (sebenarnya fakta Buku Jingga ini adalah salah. RM19 billion bukanlah semuanya subsidi untuk IPP sahaja).

Jawapan saya ialah penjimatan itu tidak akan dirasai oleh rakyat kerana besar kemungkinan IPP akan memindahkan kos mereka kepada pengguna elektrik dalam bentuk bil elektrik yang tinggi. Kita perlu ingat bahawa sebahagian daripada subsidi RM19 billion itu adalah untuk mengurangkan kos IPP agar kos sebenar elektrik tidak tinggi.

Begitu juga dengan kenyataan Buku Jingga bahawa mereka akan memastikan ketirisan tidak berlaku. Mereka mendakwa mereka boleh menjimatkan ketirisan sebanyak RM28 billion.

Untuk makluman, jumlah RM28 billion tidak ada dalam lapuran Ketua Audit negara. Saya sendiri telah bertanya kepada Tan Sri Amrin Buang, Ketua Audit Negara dan beliau mengesahkan tidak pernah mengatakan ada ketirisan RM28 billion.

Mungkin pakar-pakar ekonomi PR akan mengatakan bahawa ketirisan banyak berlaku seperti dalam PKFZ, Perwaja dan lain-lain lagi. Saya tidak menyangkal fakta itu. Tetapi sebagai pakar ekonomi, sudah tentu mereka tahu bahawa adalah kurang sesuai untuk membuat  unjuran pendapatan negara bersandarkan kepada penjimatan yang disebabkan oleh usaha membenteras salahguna kuasa, rasuah atau pembaziran. Jumlah dari pembenterasan salahguna kuasa, rasuah dan pembaziran sepatutnya diklasifikasikan sebagai “bonus” dan bukannya pendapatan. Ini kerana penjimatan dari salahguna kuasa, pembaziran atau rasuah bukanlah satu jumlah yang boleh dianggarkan dengan tepat dan tidak dapat pula dipastikan bila boleh direalisasikan.

Saya  menghargai usaha PR yang akan cuba untuk membanteras gejala-gejala jenayah ini tetapi  saya tidak dapat bersetuju untuk memasukkan “penjimatan” ini sebagai satu pendapatan negara yang boleh dianggarkan dengan tepat dan seterusnya dibelanjakan. Ini sudah tentu akan membawa kepada masalah besar jika unjuran pendapatan negara, yang disandarkan kepada sesuatu yang susah dikesan dan agak lama untuk diselesaikan (sebagai contoh PKFZ dan Perwaja,) tidak dapat direalisasikan dalam tahun bajet itu dibuat.

Dari analisis di atas, jelas menunjukkan bahawa Buku Jingga adalah satu percubaan yang baik namun jika kerajaan PR melaksanakan janji-janji mereka, ekonomi Malaysia tentunya akan bankrap dalam masa dua tahun pemerintahannya. Kesimpulannya, bagi saya Buku Jingga adalah satu buku yang “over simplistic”, tidak realistik dan tidak berpijak pada bumi yang nyata. Tambahan pulak banyak janji-janji sebelum ini tidak dimasukkan kedalam janji 100 hari itu…. Apa sudah jadi dengan janji jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk kuota orang Sabah dan Sarawak?

Nota akhir: Saya akan menulis  janji-janji PR yang tiada kaitan dengan prestasi ekonomi negara secara langsung dalam posting saya yang akan datang. Ini termasuk isu institusi kenegaraan seperti ISA, SPRM dan SPR, Felda, janji kepada Sabah dan Sarawak dan lain-lain.

Salam DARD

Read more...

Monday, March 7, 2011

Parlimen bermula hari ini: Sidang dijangka panas

Selepas berlaku kekecohan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat Disember lalu, yang menyaksikan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung kehadiran mereka, maka sesi Dewan Rakyat kali ini mungkin hangat.

Pertelingkahan antara ahli parlimen BN dan pembangkang mengenai beberapa isu, dijangka berterusan selepas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan mesyuarat sesi keempat Parlimen ke-12  hari ini.

Dengan pilihan raya umum menjelang tiba, Dewan Rakyat adalah satu forum di mana Pakatan menggunakan, malahan tanpa empat ahli parlimen yang digantung selama enam bulan itu - Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang), Azmin Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Satu isu yang akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat sebulan ini ialah keputusan kerajaan membeli enam buah Kapal Tempur Pesisir dengan harga RM6 bilion, di mana pembangkang mendakwa harganya terlalu tinggi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk menjawab sepenuhnya dakwaan itu, di mana penganalisis pertahanan berkata ia menunjukkan kejahilan mengenai jenis kapal laut yang berlainan dan peningkatan kos untuk membinanya.

Isu lain yang akan dibangkitkan oleh pembangkang ialah pengagihan ekuiti bumiputera, dengan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendesak agar mengumumkan penerima-penerima saham yang diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion pada tahun lalu.

Saifuddin, ahli Parlimen PKR Machang berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban pengagihan skim itu.

Novel Interlok untuk pelajar tingkatan lima adalah satu lagi isu yang dijangka hangat pada sesi ini sungguhpun kerajaan telah mengatakan bahawa bahagian-bahagian yang dianggap oleh masyarakat India sensitif akan dipinda.

Dua rang undang-undang utama akan dibentangkan, satu untuk menyelaras dan menentukan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta dan satu lagi untuk memperluaskan "penerbitan" untuk memasukkan kandungan multimedia.

Pembangkang kini berjumlah 76 di Dewan Rakyat selepas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas.

Gobalakrishnan memberikan tamparan hebat kepada penasihat PKR, Anwar, sebelum beliau meninggalkan parti itu.

Dengan empat anggota digantung, pembangkang akan hanya mempunyai 72 pada sesi Dewan Rakyat ini.

Tetapi jumlah berkurangan itu tidak akan melenyapkan suara-suara mereka - memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.- Bernama

Read more...

Wednesday, March 2, 2011

PRK Merlimau dan Kerdau: Lesunya kempen Pakatan Rakyat

MUNGKIN tumpuan jentera Pakatan beralih pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam waktu terdekat,atas sebab itu gabungan tiga parti itu kelihatan tidak bermaya selepas siri pilihan raya kecil mula menghitung sumbernya ketika berhadapan dengan saingan di Kerdau dan Merlimau sekarang.

Perikatan ini nampak keberatan untuk menghabiskan sumber mereka dalam pilihan raya kecil serentak di Kerdau dan Merlimau, sebaliknya mahu memantapkan tapak pada pilihan raya negeri Sarawak, sekali gus memaksimumkan momentum menjelang pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan dalam tahun ini.

“Pilihan raya negeri Sarawak dan umum tidak lama lagi dan kami perlu menyediakan kami untuk pilihan raya yang lebih besar,” akui ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

PAS yang meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi itu, mewakili Pakatan Rakyat, dilihat merasai kekangan kewangan dan juga elemen kepenatan di kalangan pemimpin dan jenteranya sendiri.

Ramai pemimpin kanan mereka tidak muncul di kedua-dua kerusi itu sejak kempen rasmi bermula Sabtu lalu.

Di Kerdau, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik kira-kira 400 orang pada ceramah yang diadakan pada hari penamaan calon manakala seorang lagi ahli jawatankuasa kerja pusat parti itu, Mohamed Sabu hanya menawan kira-kira satu per sepuluh daripada jumlah tersebut.

Lebih mengejutkan bagi Pakatan Rakyat, pada kedua-dua ceramah itu, yang hadir hanyalah mereka daripada kalangan ahli parti dan pekerja-pekerja jentera parti.

Pemimpin kanan Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul pada satu ceramah di Merlimau malam tadi.

Ketua DAP Pahang Leong Ngah Ngah dibenarkan untuk pergi ke Chiang Mai, Thailand dan tidak mengetuai partinya di Kerdau.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata Pakatan Rakyat kelihatan “terjejas dari segi moral” selepas siri kekalahan dalam pilihan raya kecil dan lebih bersedia untuk menghimpunkan sumber mereka daripada bertarung habis-habisan di kerusi yang sudah pun dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional, yang mencapai kejayaan selesa perikatan itu pada pilihan raya umum 2008.

“Mereka sudah pun meletakkan satu mata di Sarawak dan mereka akan membawa impak lebih besar jika memantapkan keduudkan mereka di Sarawak daripada menang satu atau dua pilihan raya kecil,” kata beliau sambil menambah, Pakatan Rakyat bertanding di Kerdau dan Merlimau kerana mahu meneruskan semangat mereka sebagai parti politik.

Pemimpin-pemimpin PAS kelihatan mula memberi pertimbangan untuk “memilih pertarungan yang sewajarnya” tetapi Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berpandangan, jika mereka menjauhkan diri, keadaan akan semakin buruk meskipun 16 pilihan raya kecil telah mengecilkan ‘sumber mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memberikan tumpuan ke atas kedua-dua pilihan raya kecil itu dengan melawat Kerdau dan Merlimau sejak Sabtu lalu.

Seperti lazimnya BN menghimpunkan jenteranya di kedua-dua kawasan itu dalam usaha mengekalkannya kubu kuat mereka.

Berbanding pilihan raya kecil sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri turun awal dengan menjanjikan ganjaran kepada peneroka-peneroka Felda.

Misalnya, Najib mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada Ahad lalu. Projek berkenaan ialah menaik taraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Perdana Menteri menegaskan bahawa kesemua projek berkenaan bukan untuk memancing undi, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

Malah beliau mengumumkan yag pengurusan Felda akan memberikan pertimbangan khas kepada 7,800 peneroka yang melibatkan 28 Felda di seluruh negara berhubung “bayaran CESS” dan bayaran balik tanaman semula dari getah kepada kelapa sawit.

PAS juga menurunkan artis Bob Lokman, yang menyertai parti itu baru-baru ini, tetapi kelihatan tidak berjaya dalam menarik pengundi-pengundi muda ke ceramahnya.

Selain Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Anwar merupakan pemimpin tertinggi pertama Pakatan Rakyat mengadakan kunjungan ke Melaka tetapi tidak disertai pemimpin kanan lain sama ada Hadi ataupun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari mengakui bahawa pihaknya perlu menyusun semula strategi dengan memfokus pendekatan kunjungan dari rumah ke rumah dalam usaha mendapatkan sokongan.

BN telah menang di empat daripada lima pilihan raya kecil, sekali gus ada pihak melihat Najib selaku Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya kecil tergempar meskipun mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP