Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

Projek Membodohkan Orang Melayu Oleh Hisamudin Rais

United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili orang Melayu. Dakwaan ini sebenarnya satu dongeng yang sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.

Projek pembodohan Melayu ini sebahagian daripada strategi politik United Malays National Organisation. Selama lebih 50 tahun, proses pembodohan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini, mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Pada zaman feudal dahulu, orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini.

Dakwaan ini semuanya dongeng. Semua ini sebahagian daripada projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri daripada gerombolan ini.

Manusia yang berfikir akan berupaya untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat; ada pula yang amat jelas dan dapat dilihat dengan mudah. Projek pembodohan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan - orang Cina. Kaum ini dijadikan “momok” untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang Cina. Racun membenci Cina telah memandulkan fikrah Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong Cina.

Para cukong yang mengaut harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation - kerjasama mereka ini seperti hubungan abang dengan adik.

Cuba kita kembali kepada kes bank Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang lingkup pada tahun 1980-an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul; kemudian diikuti nama George Tan. Siapakah Lorraine Osman? Dia ini tidak lain dan tidak bukan bendahari gerombolan sendiri!

Skandal bilion ringgit ini hanyalah satu contoh daripada berjuta-juta contoh lain – belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun, Perwaja, Formula 1, Piala Monsoon, KLCC – wujud kerjasama antara gerombolan dengan “orang asing” ini untuk menjarah hasil negara.

Cara kedua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Dakwaan ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan, menentang atau mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab, banyak raja telah dicampakkan dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk (Mesir), Raja Idris (Libya), Raja Bagi Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi (Iran) – semuanya dihumbankan.

Justeru, menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa “menjunjung ke bawah duli” itu ertinya “menjunjung tapak kaki”. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa “pacal” itu ertinya “anak anjing”.

“Patik pacal yang hina menyembah duli tuanku” bermakna “saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu”. Bukankah kenyataan ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri?

Kenapa orang Melayu boleh dibodohkan sebegini? Kenapa orang Mealyu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan?

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion dikatakan menentang Islam. Dakwaan ini juga projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkutpautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam wujud 1,500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988. Manusia Melayu menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malays National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini wakil tuhan di atas bumi ini. Dakwaan ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan di atas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organisation untuk menjadi wakilnya. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik pope, sami, dalai, ayatollah, paderi, rabbai untuk menjadi wakilnya.

Apa yang terjadi, para agamawan ini orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran daripada kitab-kitab suci. Semua mereka hanyalah manusia yang sama seperti makcik dan pakcik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh berfikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ertinya, ia menjadi sebahagian daripada proses pembudayaan fikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media menjadi dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu – jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu – amat ketara perbezaan kandungannya.

Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Begitu juga kaedah pembelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru, ibu bapa dalam masyarakat Cina tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu.

Mereka tidak mahu anak-anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama, makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Di sekolah aliran bukan Melayu, masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar berfikir, bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil daripada projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah; apa yang hak dan apa yang batil.

Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu. Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah, malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah.

Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh gagal melihat pembunuh, penculik, pengambil rasuah – ini semua bukan pekerjaan salah.

Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu sebagai baik dan suci kerana ia dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation.

Read more...

Saturday, November 21, 2009

Kenapa Melayu Khianat Melayu???

BUKAN perkara baru bahawa Melayu mengkhianati Melayu. Sejarah penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris dipenuhi dengan perbuatan mengkhianat orang Melayu terhadap bangsanya sendiri. Terakhir apabila orang Melayu sendiri yang menyerahkan negeri-negerinya kepada Britain untuk dijadikan Malayanunion.

Melayu bangkit dan ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Malayanunion digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Melayu bertolak ansur dengan menyerahkan kewarganegaraan kepada bukan Melayu. Sama ada ia bertolak ansur atau pengkhianatan, ia memerlukan penyelidikan mengenai sejarah negeri-negeri Melayu menjadi Malaya. Tidak lagi disebut Malay States.

Sedangkan sebelumnya dikenali sebagai Federated Malay States dan Unfederated Malay States. Apabila dicantum hanya dikenali sebagai Federation of Malaya. Hilang Malays, digantikan dengan Malayans. Dalam bahasa Melayu memang disebut Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya diterjemahkan menjadi Federation of Malayland. Atau Malay States. Apa yang muncul ialah Malaya. Tentu dunia mengiktiraf Malaya dan bukannya Tanah Melayu.

Tetapi ketika itu, bahasa kebangsaan diisytiharkan sebagai bahasa Melayu. Bagaimanapun yang berkuasa sudah bukan lagi Raja-Raja Melayu tetapi kerajaan-kerajaan di negeri-negeri dan Pusat, yang dipegang oleh Perikatan. Umno, MCA dan MIC. Dikatakannya perkongsian kuasa. Hakikatnya ia merupakan kerajaan campuran Umno, MCA dan MIC walaupun Umno dominan. Namun Britain masih berpengaruh besar ke atas Malaya.

Atas tekanan terpaksalah Umno mengalah supaya digabungkan Malaya dan Singapura. Apabila dilihat Melayu di Malaya tenggelam, maka dimasukkan sekali Sarawak, Sabah dan Brunei.( Brunei menolak). Dinamakan negara baru ini Malaysia. Jangka panjangnya, nasib orang Melayu di Malaya akan ditentukan oleh Bumiputera Sarawak dan Sabah. Bangsa Malaysia menggantikan Melayu dan paling ketara penukaran nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Tulisan Rumi adalah tulisan rasmi bahasa Malaysia. Umno dengan satu saja tanda tangan menghapuskan tulisan jawi.

Tetapi dari segi lain, Malaya dan Malaysia membolehkan kembalinya Pulau Pinang, Dinding, Melaka dan Singapura ke pangkuan penguasaan Melayu melalui Umno yang berkuasa di Kuala Lumpur. Namun begitu apabila tidak berupaya menentang Lee Kuan Yew, Umno keluarkan Singapura daripada Malaysia. Hilanglah sebuah pulau yang asalnya Melayu.

Tetapi sehingga tahun 1969, orang Melayu berasa tidak puas hati, penubuhan Malaya, kemerdekaan dan penubuhan Malaysia tidak menampakkan peningkatan kemajuan orang Melayu. Britain masih menguasai ekonomi negara. Melayu jauh ketinggalan. Akhirnya keadaan ini meledak melalui peristiwa 13 Mei.

Bagi membela golongan tertinggal khususnya Melayu diolah Dasar Ekonomi Baru (DEB). PAS sertai BN dan turut menyumbang bagi menjayakan dasar baru itu. Cara Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad berlainan tetapi mempunyai tujuan yang sama. Pada akhir dasar ini, 30 tahun kemudian, banyak hasil dicapai tetapi pada keseluruhannya, Melayu dikhianati daripada muncul sebagai kuasa ekonomi yang mempunyai masa depan.

Banyak pengkhianatan berlaku, tetapi apa yang dikatakan ketirisan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi itu adalah sebenarnya pengkhianatan yang berlaku sejak mula DEB dilaksanakan. Mungkin ia dilihat sebagai pengkhianatan orang perseorangan yang salah guna DEB bukan untuk kepentingan bangsa. Tetapi apa yang nyata, budaya yang disemai oleh Umno melalui pelaksanaan DEB merupakan suatu pengkhianatan yang memerlukan kajian dan penyelidikan objektif.

Kisah-kisah pengkhianatan ekonomi banyak diceritakan tetapi tidak didokumentasi dan disiasat yang tentunya memerlukan satu usaha besar. Pastinya sukar untuk dilakukan kerana kesan politik terhadap laporan seumpama itu. Namun laporan-laporan berkala seperti Laporan Audit menampakkan perkara-perkera sedemikian. Negara sudah menyimpang jauh daripada watak integriti yang wujud ketika penubuhan Malaya dahulu.

Kini gejala terbesar yang menunjukkan pengkhianatan itu adalah gejala politik wang dalam Umno. Kemenangan Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini hanya menunjukkan bahawa sebahagian rakyat sudah dapat menerima amalan politik wang sebagai sebahagian budaya pembangunan negara. Mereka tidak melihat ia sebagai pengkhianatan.

Sebab itu peristiwa di mana Adun-Adun melompat di Perak yang merupakan satu pengkhianatan dialu-alukan oleh kerajaan BN. Hakikat bahawa Adun itu telah mengkhianati pengundi tidak diambil kira. Berapa ramai yang kenal sangat calon yang bertanding. Kebanyakannya memilih parti dalam pilihan raya umum 2008.

Secara umumnya dalam pilihan raya 2008 itu, mengapakah rakyat lari daripada BN? Jelas majoriti bukan Melayu menolak BN. Walaupun terdapat banyak faktor tetapi apa yang nyata ialah mereka tidak mempercayai wakil-wakil rakyat BN. Dengan pemahaman bahawa wakil-wakil MCA, MIC dan Gerakan tidak dapat banyak bersuara, maka mereka menyalahkan wakil-wakil Umno.

Orang bukan Melayu menolak Umno bukan kerana parti itu membantu orang Melayu dan meminggirkan mereka. Itu adalah persepsinya. Tetapi hakikatnya mereka tidak mempercayai kepimpinan Melayu Umno. Bagi mereka banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno, baik di Pusat mahupun di negeri khususnya di Selangor adalah tidak jujur, tidak amanah dan tidak cekap.

Justeru, isunya di sini adalah pengkhianatan kepimpinan Melayu Umno kepada rakyat. Melayu adalah sebahagian daripada rakyat. Mengkhianati rakyat bermakna mengkhianati Melayu.

Tetapi jika orang bukan Melayu saja yang menolak BN, maka pihak Pakatan Rakyat tidak akan menang banyak tempat dalam pilihan raya 2008. Apa yang berlaku orang Melayu sendiri berasakan bahawa kepimpinan Umno telah mengkhianati mereka. Banyak cerita tersebar. Mungkin hanya cerita. Tetapi dengan maklumat disembunyikan dan akhbar tidak bebas, sudah tentu ia menghakiskan lagi kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Melayu Umno.

Pengkhianatan Melayu kepada melayu akan bertambah tebal lagi dengan pengenalan sistem merit. Melayu akan terus tersisih melalui sistem ini. Melayu tidak akan mampu bersaing, atas sebab melayu adalah bangsa yang tidak dididik untuk bersaing. Melayu adalah bangsa yang suka kepada kompromi. Melayu adalah bangsa yang tidak suka gaduh-gaduh dengan bangsa lain, terkecuali bangsa sendiri. Melayu akan dengki jika sesama bangsa maju, akan tetapi akan akur jika bangsa lain yang maju.

Kita saksikan betapa rendah martabatnya melayu, contoh yang boleh diambil adalah kes-kes rasuah. Apabila orang melayu dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah hanya melibatkan jumlah wang yang kecil, hanya puluhan ribu atau hanya ribuan. Akan tetapi jika melibatkan bangsa lain, jutaan atau ratusan juta. Kes terbaru yang terbongkar adalah kes PKFZ, melibatkan bukan melayu dengan jumlah wang yang hangus ratusan juta.

Read more...

Friday, October 16, 2009

Nizar-Anwar-Najib: Keterasan Melayu Itu Kunci Melayu Berjaya: Kata Tun Musa Hitam

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata biarpun orang Melayu sudah boleh diterima sebagai masyarakat terpelajar, matang dan berkebolehan dalam pelbagai profesion tetapi mereka masih lagi kekurangan daripada segi keyakinan terhadap kebolehan sendiri.

"Saya memang insaf dan sedar bahawa banyak lagi kekurangan dan masih jauh harus dijalani tetapi kalaulah mentaliti dan psikologi kita masih negatif, diiringi oleh helah 'tidak boleh', tak bolehlah kita," katanya dalam ucapan balasnya setelah menerima ijazah kehormat Doktor Kerajaan dan Politik daripada Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hari ini.

Ijazah itu dianugerahkan kepada beliau oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Canselor UiTM pada istiadat konvokesyen ke-71 universiti itu.

Musa berkata mentaliti "tidak boleh" ini jelas nampak apabila para pemikir Melayu dan para penganjur Melayu tidak habis-habis menggunakan hujah seperti "habislah Melayu," dan "apalah nak jadi kepada Melayu" apabila menghadapi isu-isu negara.

Sebagai penyelesaian pula, katanya, dicadangkan konsep "ketuanan Melayu" tetapi sejarah dunia moden membuktikan bahawa konsep "master race" atau "ketuanan ras" telah gagal apatah lagi apabila menghadapi persaingan daripada mereka yang kukuh serta tinggi tahap pengetahuan dan pintar dalam pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi.

"Pada saya, kalaulah hendak kita cari slogan bersesuaian, terminologi 'Keterasan Melayu' lebih baik dan lebih sesuai sebagai konsep asas masyarakat Malaysia yang diidamkan oleh rakyat pada masa ini," kata Musa.

Ketika mengimbas kembali satu sesi soal jawab beliau dengan seorang pelajar Universiti Malaya pada tahun 1960-an yang menggesa supaya hak istimewa orang Melayu dipastikan berkekalan dalam perlembagaan negara, Musa berkata:

"Di samping saya menegaskan bahawa perkara itu suduhpun cukup termaktub dalam perlembagaan, saya telah sengaja mencabar anak-anak Melayu kita waktu itu dengan mengatakan bahawa orang Melayu harus berasa malu kalau mereka seumur hidup mendapat kedudukan istimewa dalam apa bidang pun semata-mata kerana faktor mereka Melayu."

Katanya beliau telah menunggu sekian lama ketika bila orang Melayu dengan penuh bangga akan berkata "saya Melayu tetapi saya berjaya kerana saya berkebolehan dan berkelulusan dan tidak takut bersaing dengan sesiapapun".

"Alhamdulillah, pada hemat saya, masanya telah pun tiba," kata Musa.

Beliau juga menasihatkan graduan supaya tidak lagi menuntut sesuatu berasas kepada emosi dan sentimen tetapi haruslah berasas kepada ilmu, kelulusan, kebolehan dan pengetahuan berasas kepada keyakinan dan iman.

"Seperkara lagi, janganlah semasa di menara gading mereka mengecam kesalahan pemimpin seperti salah guna kuasa dan rasuah tetapi apabila mereka mempunyai kedudukan tinggi mereka lupa segalanya.

"Janganlah hendaknya kita sendiri menjadi jaguh korupsi dan penyalahguna kuasa dengan tidak mempunyai perasaan insaf dan takwa," katanya. BERNAMA

Read more...

Wednesday, July 29, 2009

Nasib mereka yang melayu

Wan Siti Farihan mati tidak ada inkues, tidak ada suruhanjaya bebas Diraja, kematian pelajar ini kerana suratan takdir. Beza kematian pelajar ini, bukan dalam siastan, tetapi hanya status pelajar, dan kematiannya pula terjatuh di tempat kediamannya sendiri.

Kematian Teoh Beng Hock berlainan, kerana kematiannya dikatakan terjatuh dari T14 bangunan Pejabat SPRM, dan kebetulan pula dalam siasatan SPRM. Akibat kematiannya, kerajaan menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan mencari fakta kematian Beng Hock.

Belumpun inkues bermula, apatah lagi Suruhanjaya Bebas Diraja, kerana menunggu skop kerja suruhanjaya itu, suara-suara sumbang mula kedengaran, bahawa inkues itu dan suruhanjaya itu tidak telus.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.
Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.
Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa.

Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP