Thursday, September 30, 2010

PRK Galas, Gua Musang: Pertembungan antara KULI dan Tok Guru Nik Aziz

Keputusan pucuk pimpinan Nasional (BN) memilih pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya parti bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang dialu-alukan oleh parti komponen BN dan penganalsis politik.

Mereka yakin personaliti utuh anggota Parlimen Gua Musang itu akan menjadi faktor utama yang dapat membantu BN merampas semula kerusi DUN Galas, berdasarkan rekod baik dan pengaruh beliau di kawasan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berkata bagi memenangi semula sokongan kepada BN di Galas, tiga puak dalam Umno Kelantan perlu memberikan sokongan padu kepada Tengku Razaleigh.

"Mereka perlu menggunakan strategi Manik Urai, iaitu hanya ada satu pasukan," katanya semasa dihubungi.

Sivamurugan berkata walaupun Tengku Razaleigh mendapat sokongan padu daripada partinya di Gua Musang, beliau masih perlukan sokongan pemimpin Umno negeri seperti pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pengerusinya Tan Sri Annuar Musa dan timbalan pengerusi sekarang Datuk Dr Awang Adek Hussein untuk membantu beliau sebagai pengarah pilihan raya.

"Jika mereka ini tidak memberikan sokongan padu kepadanya, dengan itu agak sukar bagi Tengku Razaleigh walaupun beliau merupakan ikon di kawasan itu," katanya.

Tengku Razaleigh menjadi Adun bagi Hulu Kelantan Barat pada 1969 dan kemudiannya anggota Parlimen Hulu Kelantan sejak 1974. Hulu Kelantan kemudiannya diubah nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept.

Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memperoleh 4,399 undi, menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Selain memilih Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya, pucuk pimpinan BN juga berkata mereka akan memilih calon setempat untuk bertanding di kerusi itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, jumlah yang mengundi di kerusi ini agak tinggi, kira-kira 80 peratus ekoran kedua-dua pihak meletakkan calon setempat berwibawa. Bagaimanapun, satu-satunya masalah yang perlu ditangani BN ialah mengenai kemerosotan sokongan di kalangan bukan Melayu," kata Sivamurugan.

Hakikatnya, katanya kegagalan BN mengekalkan kerusi itu pada 2008; pertama kali mereka tewas, adalah disebabkan kemerosotan sokongan daripada pengundi Cina kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.

Menurut senarai daftar pemilih yang lepas, terdapat 10,330 pengundi di kawasan itu, 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 10.5 peratus Orang Asli dan 1.8 peratus India. Kebanyakan masyarakat Cina tinggal di pekan Gua Musang.

"Kaum Cina pasti akan terpengaruh dengan pilihan raya kecil ini. Oleh itu, strategi BN perlu menumpukan mengenai bagaimana mereka memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang, iaitu kerana faktor calon dan bukannya faktor parti," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chiang Chin berkata kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN di kawasan itu tidak boleh dipersalahkan bagi keputusan pilihan raya umum di kawasan itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan agak huru-hara. Sebab itu kita menyaksikan penurunan sokongan kaum Cina. Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil kelak, dengan jentera yang lebih tersusun dan lebih bersedia, kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.

Walaupun Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, masih merupakan pertandingan yang sukar bagi BN ekoran beberapa isu.

Seperti ditegaskan oleh Sivamurugan, isu utama ialah royalti minyak untuk Kelantan.

"PAS pasti akan memainkan isu bagaimana Tengku Razaleigh menyokong kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam tuntutan bagi royalti minyak.

"Sebab itu kenapa dalam pilihan raya kecil ini, kita bakal menyaksikan pertempuran personaliti antara Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik (Abdul) Aziz Nik Mat," katanya.

Read more...

Tuesday, September 28, 2010

Sifat sebenar Parti PKR terbongkar-insiden pemilihan menggambarkan semuanya

Kekecohan yang tercetus pada pemilihan beberapa cabang PKR pada Ahad lepas merupakan satu daripada contoh atau petanda perebutan kuasa dan jawatan dalam parti di antara kumpulan perintis "reformasi" dan mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum 2008, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat konflik di antara dua kumpulan itu semakin ketara akhir-akhir ini, khususnya apabila mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum Mac 2008, mula mensasarkan jawatan dalam parti.

"Kecuali pucuk pimpinan dapat membendungnya, tampaknya mereka bersaing untuk merebut jawatan dengan personaliti tertentu terlibat. Walaupun parti mempunyai 400,000 anggota, kalangan atas pagar mengikuti perkembangan ini dengan dekat," kata Dr Sivamurugan Pandian,penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia.

Katanya pengundi atas pagar mengikuti perkembangan itu untuk menilai tahap kematangan pemimpin parti dan mereka mungkin akan membuat penilaian dari situ sebelum mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat memantau perkembangan ini secara dekat kerana mahu tahu apa yang mereka ini rebutkan? (Adakah) untuk rakyat (amnya) atau untuk memperkukuhkan kuasa orang tertentu dalam parti," katanya.

Dr Sivamurugan berkata kedudukan dalam parti amat penting bagi sesetengah pemimpin untuk jaminan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Masalah itu sebenarnya lebih parah. Hampir separuh daripada pemilihan cabang membabitkan pertandingan antara dua kumpulan. Ini baru pemilihan peringkat pertama iaitu memilih Ketua Cabang. Apa akan berlaku apabila mereka membuat pemilihan kepimpinan peringkat kebangsaan bulan depan," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof James Chin dari Monash University berpendapat pertandingan sengit dalam pemilihan cabang PKR disebabkan hakikat mereka mahu memegang jawatan bagi menjamin pencalonan pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagaimanapun, ini bukan satu masalah kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Ini merupakan kali pertama mereka melakukannya (pemilihan parti secara langsung)," katanya.

Tetapi bagi penganalisis politik dan bekas ahli politik James Wong, apa yang berlaku semasa pemilihan cabang PKR itu akan memberikan gambaran kurang baik kepada pengundi yang bersikap berkecuali.

"Semasa tempoh berkempen, sudah terdapat petanda yang pemimpinnya terlalu terlibat dalam polemik peribadi. Ramai orang mengharapkan PKR bersikap baik, Pertandingan adalah pertandingan dan bukannya peribadi," katanya.

Wong menjelaskan sebelum pilihan raya umum lepas, wujud jangkaan tinggi bahawa pembangkang mempunyai "moral alternatif" untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan atas sebab itu pakatan PKR-DAP-PAS atau Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

"PKR selama ini memberikan tanggapan kepada rakyat yang mereka adalah "moral alternatif". Kini anda (PKR) menjadi sepertimana MIC dan MCA sebelum ini, membaling kerusi dan sebagainya," katanya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini berkata mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.

Beliau berkata laporan awal mendapati penangguhan itu disebabkan faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007. Mereka turut mendakwa bahawa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti.

Lagipun, katanya daripada 166 cabang, 159 atau 96 peratus telah selesai mengadakan mesyuarat agung dan 39 lagi cabang akan selesai bermesyuarat menjelang hujung minggu ini.

Wong berkata, walaupun pakatan pembangkang mungkin menganggap kekecohan yang berlaku pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, tetapi mereka masih perlu mengambil kira persepsi orang ramai terhadap perkara itu.

"Walaupun perkara itu kecil, ia masih tidak baik. Harapan yang ada pada rakyat kini telah tercalar. Jika mereka memandang mudah perkara itu, BN akan mendapat faedah daripadanya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.BERNAMA

Read more...

Friday, September 24, 2010

Apabila Nik Aziz Tak Bangga jadi Melayu

Melayu terkenal dengan sikap toleransi, lembut bermaruah dan patuh dalam beragama.Sejarah juga telah mengesahkan bahawa orang Melayu boleh bersatu tidak kira dalam apa jua suasana.Tidak kira suasana aman atau tegang.

Kita juga harus ingat bahawa perpaduan Melayu jugalah penyebab kegagalan Malayan Union daripada menjadi kenyataan. Malah perpaduan ini jugalah antara penyebab utama Malaysia begitu mudah diwujudkan. Apa yang penting perpaduan dan suasana aman damai hari ini adalah kerana wujudnya perpaduan Melayu..

Ada pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak bangga menjadi Melayu. Di manakah pendirian Nik Aziz sebagai orang Melayu yang turut menikmati faedah dari hak-hak yang dipertahankan oleh UMNO selama ini? Adakah beliau terlepas pandang segala kesenangan dan kemudahan yang dikecapi sekarang adalah kerana keistimewaan yang dimiliki oleh dia sebagai seorang Melayu?.

Secara peribadi saya merasakan bahawa Nik Aziz memberi kenyataan tersebut adalah kerana merasakan bahawa PAS berpolitik hanya kerana agama bukan kerana bangsa berbeza dengan UMNO yang mempertahankan bangsa agama dan negara yang secara jelas termaktub di dalam perlembagaan UMNO.

Oleh itu dia merasakan bahawa bangsa tidak menjadi satu kepentingan di dalam politik PAS malah tiada siapa boleh menafikan perkataan Islam didalam PAS itu sendiri telah mengelirukan orang Melayu, orang-orang Islam lain dan juga orang bukan Islam di Malaysia.

Semenjak kebelakangan ini, perpaduan Melayu yang menjadi kebanggaan kita hampir berkecai akibat daripada pertelingkahan oleh mereka yang tidak bertanggunjawap yang sengaja diwujudkan.

Perpecahan ini telah berlarutan agak panjang dan saya melihat usaha meleraikan ketegangan ini seolah-olah tidak ada titik pertemuannya.

Dimanakah hilangnya ciri keMelayuan yang kita banggakan sehinggakan sukar untuk kita berunding, bertolak ansur dalam usaha menyatukan kembali perpaduan yang telah lama kita pertahankan.

Usaha untuk menyatukan perpaduan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya memerlukan kesungguhan politik dan kesabaran yang tinggi.

Kita juga harus membuang jauh perasaan prasangka buruk dan persefahaman adalah ciri penting yang perlu di beri perhatian.

Perpecahan Melayu akan mewujudkan banyak masalah antaranya kelemahan politik dan ekonomi. Ini akan menjadikan orang Melayu kembali dijajah seperti dahulu.

Perpecahan ini juga pasti akan menjejaskan perpaduan dikalangan orang-orang Islam kerana Melayu itu semuanya Islam.

Ini adalah satu persoalan bangsa.Setiap daripada kita harus mencari jawapan. Kita sendiri yang menentukan adakah sejarah lepas sesuai ataupun tidak diperjuangkan pada zaman sekarang.

Sejarah yang dipaparkan hanya memberi pengajaran kepada kita.Terpulang kepada kita adakah kita benar-benar mahu mempertahankan hak kita sebagai kaum pribumi yang semakin terhakis. Fikir-fikirkan!!

Read more...

Tuesday, September 21, 2010

PRU-13 akan kita saksikan Nazri, KJ, Saifudin Abdullah, Zaid Hamidi, Nur Jazlan, Tengkun Adnan akan tanding kawasan minoriti melayu

Atas sifat pengakuan mereka, bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan kemudian keturunan melayu, maka mereka akan mencipta sejarah pada PRU-13 akan datang apabila mereka-mereka ini akan bertanding di kawasan-kawasan minoriti melayu, misalnya bukit bintang, Kuala Lumpur, PJ Utara, Bakri-Johor atau Ipoh Barat, Perak.

Mereka mentafsikarkan gagasan 1Malaysia seperti demikian, kerana itu, mereka sangat benci kepada Perkasa.

Secara konsisten, mereka ini mendakwa bahawa Perkasa akan merugikan Umno dan BN.

Pada PRU-13 akan datang Tengku Adnan Mansor tidak akan bertanding di Parlimen Putrajaya, sebaliknya bertanding di Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan. Sementara KJ pula akan meninggalkan Parlimen Rembau dan sebaliknya akan bertanding di parlimen Seremban.

Manakala Nazri Aziz akan bertanding di Ipoh Barat atau Ipoh Timur, Perak.

Mereka berkeyakinan akan menang pada semua kerusi yang mereka tandingi, kerana pengundi telah matang dan akan mengundi calon-calon yang berpendirian Malaysian First dan kemudian keturunan.

Read more...

Monday, September 20, 2010

Perkasa minta PM pecat Tengku Adnan

Susulan ‘perang kenyataan’ berhubung isu kontroversi Umno dan BN perlu menjauhkan diri daripada Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan orang Melayu itu kini mahu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipecat daripada jawatan setiausaha agung Umno dan BN.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa Presidennya Datuk Ibrahim Ali sudah tentu telah memecat beliau jika membuat kenyataan yang menjatuhkan imej badan berusia dua tahun itu.

“Saya setiausaha agung agung Perkasa kalau buat kenyataan menyusahkan Perkasa, sudah tentu Presiden saya Datuk Ibrahim Ali akan pecat saya serta-merta.

“Tak tahulah Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) kalau dia masih nak simpan setiausaha agung macam ini,” kata Syed Hassan berpendapat kenyataan Tengku Adnan bahawa BN memutuskan untuk menjauhkan Perkasa bukan kecil telah menjejakan imej perikatan itu dan juga Umno.

“Ini bukan hal kecil boleh dimaafkan pada saya.

“Membabitkan kredibliti Umno, memalukan. mudah nafikan kenyataan yang telah dibuat,” kata Syed Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Tengku Adnan menafikan rakan-rakannya dari BN pernah mengambil keputusan awal bulan ini untuk menjauhkan diri daripada Perkasa atas alasan pertubuhan bukan kerajaan itu menghakis sokongan mereka.

Penafian beliau itu muncul sehari selepas kenyataan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, kelmarin bahawa Umno tidak mahu mencetuskan konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan meskipun pemimpin-pemimpin Umno termasuk beliau menolak Perkasa

Lebih seminggu lalu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN dilaporkan bahawa rakan-rakannya dalam BN telah bersetuju bahawa menjauhkan perikatan itu daripada Perkasa adalah langkah terbaik untuk mengatasi sokongan bukan Melayu kepada BN yang didakwa semakin merosot.

Sokongan itu antara lain merosot kerana bukan Melayu melihat Umno menjalin kerjasama dengan Perkasa.

Tengku Adnan pernah menafikan Umno ada kerjasama dengan Perkasa ataupun menyokong perjuangan Perkasa.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider sebelum ini beliau juga memberitahu bahawa Umno tidak akan menyokong Perkasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Tengku Adnan menekankan bahawa BN tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.

Jelas Tengku Adnan, beliau hanya memberitahu bahawa tindakan Perkasa sejak kebelakangan ini memperlekehkan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mensabotaj soal keharmonian kaum di kalagan komponen perikatan itu.

Tengku Adnan juga menekankan tentang apa yang dikatakan oleh Najib sambil berkata, Umno dan BN tidak harus menjauhkan diri daripada mana-mana NGO tetapi sewajarnya membimbing mereka dengan dasar-dasar BN.

Read more...

Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia ke-47

Ketika mana Tun Fuad Stephen mengistiharkan pembentukan Malaysia pada 16-9-63. Tun Mustapha adalah Gabnor Pertama (duduk bersama Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak)

HARI Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama Hari Kemerdekaan ke-6. Namun, tarikh perisytiharan pembentukan Malaysia tertangguh disebabkan oleh beberapa isu antaranya bantahan Indonesia dan Filipina.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak. Selepas segala isu berjaya diselesaikan, perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia dan tuntutan Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Mulai 2010, kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia adalah cuti am di semua negeri di Malaysia.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengemukakan satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.

Cadangan ini secara amnya diterima penduduk Malaya dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Filipina yang membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihan raya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962.

Satu suruhanjaya kerjasama Inggeris-Malaya yang diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada 1962 dan melaporkan kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia.

Bagaimanapun, tentangan yang berterusan dari Filipina dan Indonesia menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

Read more...

Wednesday, September 8, 2010

UMNO tidak sokong Ibrahim Ali di parlimen Pasir Mas:Adnan Mansor

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan partinya tidak akan menyokong Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan pertubuhan bukan kerajaan pimpinan Ibrahim - Perkasa.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

Kemudian beliau mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat Bebas.

Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005 tetapi hanya memperoleh 415 undi dan hilang wang deposit.

Pengkalan Pasir adalah kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Pasir Mas.

Selepas memutuskan hubungan dengan PAS, Ibrahim menubuhkan Perkasa atas matlamat mahu mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertubuhan itu yang kini mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara menggesa pentadbiran Najib mempertahankan dasar ekonomi pro-Melayu dan Bumiputera meskipun kerajaan mahu meliberalisasikan ekonomi negara.

Dua minggu lalu Ibrahim mencabar agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan konsep 1 Malaysia dan mengemukakan satu resolusi berkaitan Perkara 153 Perlembagaan kerana gagasan itu bukan bererti kesamarataan hak.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Tengku Adnan mengingatkan pemimpin-pemimpin Perkasa bahawa BN perlu memenuhi keperluan dan kehendak semua kaum dan tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana kaum jika mahu terus mentadbir negara ini.

Ketika ditanya nasihat kepada Ibrahim dan Perkasa, Tengku Adnan dengan nada penuh harapan berkata:

“Tolong perlahan sikit.”

“Apa saja yang anda lakukan, tolong fikir dengan baik. Apakah hasilnya? Apa yang anda mahukan untuk Malaysia? Anda mahukan perang saudara?” tanya Tengku Adnan yang sudah menjangkakan reaksi balas ahli Perkasa.

“Saya tahu bahawa apabila saya mengatakan begini, ahli Perkasa akan serang saya,” katanya lagi.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP