Showing posts with label hussam musa. Show all posts
Showing posts with label hussam musa. Show all posts

Wednesday, November 25, 2009

Hussam Ambil Sikap Low Profile Isu MB Kelantan

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas kedua-dua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam.

Read more...

Tuesday, November 24, 2009

Hussam Musa Jelak Politik Dalaman Pas

Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang dilihat "keletihan" dalam mengharungi politik dalaman PAS negeri itu, menjadi punca tercetusnya spekulasi beliau mahu meletak jawatan dalam parti dan kerajaan, kata seorang pemimpin PAS negeri itu.

"Sampai satu masa, dia pun letih, banyak masalah, banyak tanggungjawab yang dipegangnya. Saya dengar sudah dua tahun dulu lagi perkara ini sudah disebut," kata anggota jawatankuasa PAS negeri yang enggan dikenali.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar media arus perdana kelmarin mengenai spekulasi Husam yang juga pengerusi jawatankuasa perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan negeri mahu meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri.

Husam yang juga ADUN Salor itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai agenda untuk 'mematikan karier politiknya' yang belum berakhir sejak muktamar PAS Jun lalu, selepas beliau tewas dalam pertandingan kerusi timbalan presiden.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, anggota jawatankuasa PAS Kelantan itu berkata, desas-desus Husam 'sudah keletihan' akibat politik parti, sudah lama kedengaran tetapi ia telah dinasihatkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya 'bertahan'.."Tok Guru (Nik Aziz) kata, kalau hendak kata letih, dia lagi letih, dia lagi banyak tanggungjawab," kata pemimpin tersebut.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut maksud 'keletihan' tersebut, beliau berkata: "Bukan letih lawan dengan Umno. Lawan dengan Umno tidak ada masalah. Yang letih ni sok-sek (bisik-membisik - merujuk kepada politik dalaman) sesama sendiri.".Tambahnya, Husam menjadi sasaran kerana bekas naib presiden PAS itu agak menonjol di Kelantan berbanding pemimpin lain PAS di negeri itu.

Sementara itu, setiausaha PAS Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim pula ketika dihubungi berpendapat, serangan terhadap Husam didalangi musuh politiknya, Umno."Biasalah, mereka hendak serang Tok Guru tidak dapat. Jadi, mereka seranglah orang yang dilihat rapat dengannya," katanya yang juga ADUN Kelaboran.

"Datuk Husam ni kalau kita lihat macam perisai (kepada Nik Aziz dan PAS Kelantan)," tambahnya.Bagaimanapun, Mohamad Zaki menolak terdapat sabotaj dalaman yang mahu menghancurkan karier politik Husam.

Read more...

Monday, November 23, 2009

Hussam Musa Tidak Terfikir Tinggalkan Kelantan

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan, malah akan meneruskan perjuangannya terhadap parti dan negeri.

Beliau menafikan laporan akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dalam parti dan sebagai exco kanan kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, beliau menyifatkan laporan media itu telah disalaherti kerana beliau sedang menjalani rawatan sakit pinggangnya di sebuah hospital di Kota Bharu serta terpaksa mengambil cuti dan tidak hadir pada programnya.

"Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.

"Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu? Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?

"Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?" katanya menerusi laman blognya di cetusan-hati.blogspot.com.

Husam berkata laporan Utusan Malaysia tidak akan melemahkan beliau kerana sebelum ini telah banyak serangan telah dibuat terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS.

"Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

"Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba mengagendakan kami?" katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan Husam dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz. BERNAMA

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP