Friday, November 5, 2010

Jangan terima politik anti kemewahan: Taib Mahmud

MIRI, 5 Nov — Rakyat Sarawak perlu menolak ahli politik yang menyemai sentimen antiorang kaya kerana ia hanya akan menghalang usaha kerajaan negeri mencapai lebih banyak kemajuan, kata Ketua Menterinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata ketika ini, terdapat sebilangan ahli politik yang cuba menyuntik idea antikemewahan serta lantang mengkritik kejayaan perusahaan di Sarawak semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Tidak ada perkara seperti ekonomi yang berkembang pesat tanpa ahli perniagaan dan usahawan,” katanya sebelum menyempurnakan upacara pecah tanah projek jalan raya empat lorong yang menghubungkan kawasan kediaman Taman Tunku dan Taman Jelita, kira-kira 12 kilometer dari sini, hari ini.

Taib berkata pembangunan yang telah dinikmati hampir 30 tahun tidak akan berlaku tanpa sokongan pemimpin korporat yang bertanggungjawab serta sanggup melabur dalam projek yang membawa pulangan lewat.

“Malah ada sebahagian daripada mereka (ahli perniagaan dan usahawan) terpaksa membayar pinjaman bagi pelaburan yang belum mendapat sebarang pulangan,” katanya.

Taib berkata ahli perniagaan dan usahawan berkenaan telah Berjaya mempelbagaikan aktiviti ekonomi Sarawak, yang sebelum ini hanya bergantung kepada sumber asli seperti minyak, gas dan balak.

Beliau berkata perusahaan besar juga telah membabitkan diri dengan industry baru seperti perladangan berskala besar dan perkhidmatan, yang membantu meningkatkan peluang pekerjaan serta perniagaan sokongan lain.

Katanya dasar kerajaan negeri Sarawak yang memberi panduan serta galakan bagi keusahawanan dalam bidang perniagaan, adalah seiring dengan langkah kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Baru Ekonomi yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menekankan lebih banyak penglibatan sektor swasta dalam ekonomi negara.

“Hasrat kerajaan negeri yang saya pimpin, seperti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, ialah untuk membangunkan dan memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat,” katanya. — Bernama

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP