Wednesday, July 29, 2009

Di mana hati kita

DI mana hati anda? Menonton rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada pagi Selasa lalu menyedarkan penulis bahawa bukan setiap seorang daripada kita mempunyai ilmu asas kesihatan diri. Rupanya masih ada yang terkeliru antara hati dan jantung, terutamanya kedudukan hati di dalam badan. Ini dapat difahami memandangkan perkembangan sosial yang banyak dipengaruhi dunia Barat.

Perkataan 'heart' seringkali diterjemahkan sebagai 'hati' dalam konteks sosial dan perasaan sedangkan dari sudut biologi pula maknanya salah sama sekali. Maka, masih menjadi kebiasaan seseorang itu tidak mengetahui kedudukan, fungsi mahupun masalah kesihatan berkaitan hati, dan mungkin juga beberapa struktur dan organ badan yang lain.

Hati Sakit dan rosak

Di mana hati anda? Hati atau hepar (dalam bahasa Greek), merupakan organ dan kelenjar terbesar di dalam badan dan berada di sebelah bawah tulang rusuk kanan, bukannya di sebelah kiri dada (kedudukan jantung).

Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan hati juga mempunyai dua bahagian utama, kiri dan kanan, beserta pundi hempedu di bawahnya.

"Hati adalah organ penting untuk menapis bahan berbahaya dari dalam darah dan membuangnya dari badan. Hati juga penting untuk penghadaman dan metabolisme protein serta karbohidrat."

Dr. Ahmad Shukri menegaskan sakit hati dan rosak hati berbeza. Sakit hati adalah istilah orang ramai yang biasanya merujuk kepada sakit di bahagian hati yang mana puncanya adalah berbagai seperti jangkitan virus hepatitis atau akibat minuman keras. Ianya juga boleh disebabkan oleh hati yang bernanah (abscess) atau masalah batu hempedu.

Kerosakan hati pula melibatkan radang atau kebengkakan pada hati disebabkan oleh penyakit kronik seperti virus hepatitis B atau C, dan juga minuman keras yang boleh membawa kepada sirosis hati dan kegagalannya untuk berfungsi. Perlu difahami bahawa kerosakan hati boleh berlaku tanpa pesakit merasai sebarang kesakitan.

"Hepatitis boleh membawa kepada sirosis (pengerasan hati) dan juga kanser hati!"
Gejala penyakit hati, termasuk hepatitis, termasuklah hilang selera makan, penurunan berat badan, pening, kencing kuning pekat dan tahi warna kelabu macam tanah liat. Gejala yang timbul juga bergantung kepada tahap kerosakan yang menjejaskan fungsi hati.

Radang

Kebanyakan masalah dan penyakit hati melibatkan penyakit kuning (jaundice) akibat peningkatan bilirubin, bahan sampingan hasil kematian sel darah merah. Kebiasaannya, hati yang sihat akan menapis bilirubin dari darah dan membuangnya melalui hempedu. Bagi hati yang rosak, termasuk akibat hepatitis, proses penapisan bahan sampingan ini mungkin terjejas. Ianya juga berlaku disebabkan gangguan pengaliran air hempedu di dalam hati disebabkan sel yang membengkak dan rosak.

Kebanyakan kes hepatitis (radang hati) berlaku akibat jangkitan virus, seperti mana Influenza H1N1 menyerang paru-paru. Namun, hepatitis juga boleh berlaku akibat racun tertentu, penyakit autoimun atau penyakit keturunan. Hepatitis boleh membentuk sirosis iaitu pembentukan tisu parut pada hati bagi menggantikan sel hati yang mati akibat jangkitan virus, ketagihan alkohol atau bahan kimia tertentu. Sirosis pula boleh membawa kepada kanser hati!
"Hepatitis sememangnya menggerunkan. Saya pernah berjumpa pesakit yang menangis tiba-tiba, ketakutan akibat terlalu banyak maklumat, dan mungkin telah salah faham mengenai situasi yang dihadapinya.

"Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan," kata Dr. Ahmad Shukri.

Menurutnya, sirosis terbentuk daripada hepatitis kronik setelah bertahun-tahun dijangkiti virus tersebut. Di bawah mikroskop elektron, virus hepatitis kelihatan seperti bunga bulat tetapi sangat bahaya.

"Malaysia dan rantau Asia mencatatkan paling banyak penyebaran virus hepatitis secara menegak (vertical), dari ibu kepada anak, dalam kandungan atau semasa dilahirkan. Dan, hanya HBV yang boleh dijangkiti secara menegak.

"Namun, ada juga pesakit yang dijangkiti HBV atau HCV ketika sudah dewasa, pada usia 30-an atau 40-an, melalui perkongsian jarum, pemindahan darah atau organ, dan juga jika mereka sering bertukar pasangan seks."

Oleh itu, perlu difahami bahawa untuk HBV dan HCV, darah menjadi punca penyebaran utama. Hepatitis bukannya satu penyakit keturunan atau genetik!

HCV tidak disebarkan secara menegak tetapi boleh berjangkit melalui kaedah lain yang disebutkan tadi. Di Malaysia, lebih banyak kes hepatitis B dilaporkan berbanding hepatitis C berikutan keupayaan HBV berpindah dari ibu kepada anak.

"Dianggarkan terdapat 1.1 juta rakyat Malaysia yang disyaki menghidap hepatitis B (belum termasuk hepatitis C).

"Pesakit yang memuntahkan darah akibat bengkak atau radang hati juga biasa disalah anggap sebagai telah disantau orang," jelas Dr. Ahmad Shukri.

Peluang pulih

Peluang seseorang yang dijangkiti HBV atau HCV pulih sepenuhnya, bergantung kepada jenis virus dan juga kekuatan sistem imuniti badan pesakit. Mereka yang masih muda, dengan sistem imuniti yang kuat, mempunyai peluang yang cerah untuk pulih.

"Peluang mereka yang dijangkiti HBV untuk pulih selepas enam bulan adalah lebih tinggi. Malangnya, 70 peratus pesakit yang dijangkiti HCV (hepatitis C) tidak akan pulih dan menjadi pembawa kronik virus tersebut.

"Cara jangkitan juga menjadi penentu perkembangan hepatitis. Mereka yang dijangkiti semasa dewasa mempunyai 85 peratus peluang untuk pulih sepenuhnya. Tetapi, sehingga 85 peratus pesakit yang dijangkiti ketika dilahirkan akan kekal dengan virus tersebut seumur hidup."

Dr. Ahmad Shukri bagaimanapun menegaskan masih banyak dapat dilakukan, bermacam rawatan boleh dicuba, tetapi hanya jika jangkitan dikesan dari peringkat awal. Jika ditunggu sehingga timbulnya gejala hepatitis, mungkin sudah terlewat!

Kemunculan Influenza A H1N1 mungkin telah menyedarkan kita betapa sukarnya merawat jangkitan virus berbanding jangkitan bakteria. Namun, masih ada ubat tertentu yang dapat mengekang dan menghalang penularan virus di dalam badan pesakit.

Untuk hepatitis, kini terdapat ubat dalam bentuk pil atau suntikan. Walaupun telah lebih 15 tahun dihasilkan, peringkat awal rawatan secara suntikan Interferon tidak memuaskan kerana kadar tindak balas yang rendah.

"Pada awalnya, keberkesanannya hanya sekitar 20 peratus. Kemudian, ia meningkat kepada 30 peratus, dan kini ubat tersebut yang terdiri dari Nucleoside Analog dan Pegylated Interferon telah mampu memberi kesan positif sehingga lebih dari 50 peratus.

"Walaupun sebilangan pesakit kekal mempunyai virus hepatitis di dalam badan mereka, ubat tersebut menyebabkan virus itu tidak aktif," tegasnya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, tujuan utama rawatan dimulakan secepat mungkin adalah untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk kepada hati. Sebelum memulakan rawatan, pesakit memerlukan pengesahan jenis virus dan tahap jangkitan melalui beberapa ujian.

Ini bagi menyesuaikan dengan kaedah rawatan yang paling berkesan. Berbanding 15 tahun lalu, pesakit kini mempunyai banyak pilihan rawatan, dengan kebanyakannya semakin berkembang dan semakin berkesan hasil penemuan-penemuan terbaru.

"Bagi pesakit yang dijangkiti ketika dewasa, 85 peratus daripada mereka akan pulih sepenuhnya, tanpa kesan virus dalam badan dan telah membentuk antibodi terhadap virus berkenaan!

"Perlu diingatkan bahawa pengambilan tonik hepar atau vitamin tidak merawat jangkitan virus hepatitis. Ia mungkin sekadar memberi suplemen tambahan kepada hati tanpa menyembuhkannya," tegasnya.

Pesakit dinasihatkan untuk mendapat pandangan pakar sebelum mengambil sebarang suplemen kerana dikhuatiri akan memberi kesan lain kepada hati yang telah dijangkiti virus sekiranya tidak dipantau dengan cara yang betul.

Saringan

Maklumat terkini mengenai virus, cara jangkitan, kesan dan cara mencegah, membolehkan kita merancang kaedah menentang penularan penyakit berjangkit seperti hepatitis dan juga influenza. Untuk hepatitis, hanya ujian darah memadai sebagai kaedah saringan mahupun pemantauan penyebaran HBV atau HCV.

"Mereka yang sering membuat ujian saringan untuk HBV, HCV ataupun HAV (virus hepatitis A) mudah mengetahui jika mereka diserang virus hepatitis.

"HAV yang disebarkan melalui makanan atau minuman tercemar, merupakan virus hepatitis yang tidak berbahaya dalam jangka panjang dan boleh dicegah dari awal melalui pengambilan vaksin," katanya.

Dr. Ahmad Shukri bagaimanapun berharap pihak hospital mahupun makmal meningkatkan skop saringan virus hepatitis dengan sekurang-kurangnya melibatkan saringan untuk kedua-dua HBV dan juga HCV.

"Pakej ujian darah sedia ada hanya melibatkan saringan untuk HBV sahaja. HCV juga sepatutnya disertakan!

"Kedua-dua virus hepatitis yang disebarkan melalui darah ini boleh dikesan melalui kehadiran antibodi terhadap virus terbabit. HBV juga boleh dikesan melalui kehadiran antigennya (struktur permukaan kapsul virus)."

Walaubagaimanapun, ujian saringan mungkin terlepas pesakit yang berada di dalam window period, di ketika virus sedang bersembunyi akibat jumlah antibodi atau antigen yang rendah. Bagi mengelakkan terus kebarangkalian jangkitan, pengambilan vaksin mungkin menjadi cara pencegahan terbaik.

Vaksin untuk HBV dan HAV sudah lama dikeluarkan. Terdapat dua jenis persediaan vaksin berkenaan, sama ada secara berasingan atau kombinasi kedua-dua vaksin dalam satu suntikan sahaja. Setiap individu memerlukan tiga dos vaksin hepatitis B dan dua dos untuk vaksin Hepatitis A. Malangnya, vaksin untuk HCV yang menjadi punca hepatitis lebih kronik belum dihasilkan.

"Namun, pesakit yang dijangkiti hepatitis sebelum sempat mengambil vaksin masih mempunyai peluang untuk pulih, dan juga mengawal penularan virus tersebut.

"Majoriti generasi muda kini telah di beri suntikan vaksin hepatitis B semasa lahir lagi sebagai salah satu suntikan wajib. Bagaimanapun, kita semua masih berisiko dijangkiti HCV sementara generasi terdahulu tidak terlindung daripada HBV," ujarnya.

Untuk itu, Dr. Ahmad Shukri menegaskan pesakit tidak melengah atau mengambil mudah ujian saringan mahupun rawatan, kerana virus hepatitis akan membawa kepada penyakit hati yang kronik.

"Sesetengah pesakit mungkin pulih, yang lain pula mungkin kekal dengan virus tersebut. Namun, perlu diingat bahawa hepatitis boleh dicegah, dikawal dan kini boleh dirawat, sebelum ia berkembang menjadi sirosis mahupun kanser hati!"

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP