Monday, January 31, 2011

Tahniah Tentera Malaysia-Berjaya tangkap lanun Somalia

Tujuh rakyat Somalia yang diberkas oleh anggota tentera Malaysia semasa cuba merompak sebuah kapal Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, tiba di Pelabuhan Klang pagi ini untuk menghadapi kemungkinan didakwa di negara ini.

Mereka tiba dengan sebuah kapal sebelum dibawa dengan sebuah bas pada 9.15 pagi, diiringi beberapa kenderaan polis dari Terminal Cecair Pukal ke Pangkalan Polis Marin di Pelabuhan Klang dan kemudian ke pangkalan Polis Marin Pandamaran, sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan meneruskan siasatan dan mendapatkan keterangan sebelum mengemukakan laporan kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.

Dalam kejadian pada 11.40 malam 20 Jan itu, anggota tentera Malaysia yang ditugaskan memberi pelindungan kepada kapal-kapal minyak dan dagang negara ini yang melalui perairan Teluk Aden dekat Somalia, telah menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel yang ditawan oleh tujuh lanun dari Somalia itu yang bersenjatakan senapang dan pistol.

Kesemua 23 tiga anak kapal terselamat manakala tiga daripada lanun itu cedera dalam kejadian tembak menembak.--Bernama

Read more...

Friday, January 28, 2011

Azmin Ali dicabar bersumpah laknat!!!

Ummi Hafilda Ali, wanita yang menjadi salah seorang saksi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, semalam membuat laporan polis mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, di Bukit Aman.

Beliau juga mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Azmin yang juga abangnya melakukan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam kes salah laku seks yang didedahkannya.

Ummi Hafilda juga mengingatkan Anwar dirinya bukan nyamuk sebarangan, sebaliknya nyamuk yang mampu menyebabkan kematian kepada Ketua Pembangkang berkenaan.

“Dalam kisah sejarah Nabi Ibrahim, nyamuk kecil mampu beri kemudaratan dan kematian Raja Namrud yang angkuh dan menganggap dirinya sebagai tuhan. Maknanya Anwar jangan anggap saya nyamuk kecil kerana nyamuk inilah, dia (Anwar) boleh hilang segala kuasa, hilang kedudukan dan hilang integriti sebagai pemimpin dikenali seluruh dunia.

“Nyamuk ini yang akan membawa kepada kematian dia yang akan talkinkan dia dari segi karier politik,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Anwar menganggap cabaran Ummi Hafilda untuk berdebat dengannya berhubung kes salah laku seksnya sebelum mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai ‘Program 100 Hari Pakatan Pembangkang’ sebagai ‘soal nyamuk’.

Sementara itu, Ummi Hafilda menafikan beliau mengenali atau pernah berzina dengan Beginda Minda atau NurAzman Abdullah, individu yang pernah menjadi calon PKR pilihan raya umum di Kapit pada 1999 serta saksi kepada Anwar dalam kes liwat.

“Ia satu fitnah jenayah terhadap saya. Siapa Beginda, saya sendiri pun tak tahu nama penuhnya. Siapa yang jahat dengan memfitnah saya kononnya pernah berzina dengannya (Beginda) tanpa asas dan bukti,” katanya.

Beliau juga memberi amaran akan mengheret blogger dan individu ke mahkamah jika terus menyebarkan fitnah kononnya terbabit dalam salah laku seks dengan Beginda selain menuduhnya menerima wang jutaan ringgit dari UMNO bagi mendedahkan skandal seks dan salah guna kuasa Anwar serta Azmin.

Read more...

Thursday, January 27, 2011

Dua Daerah Di Johor Dilanda Banjir

JOHOR BARU: Hujan sejak semalam menyebabkan dua daerah iaitu Kluang dan Segamat dilanda banjir, menyebabkan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, Rabu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Johor, Mohamad Yusri Hashim berkata, sehingga lewat petang ini, 27 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Balai Raya Kampung Lembah Bakti, Labis, selepas kawasan perumahan mereka dinaiki air sehingga paras lutut dan pinggang.

"Daripada 27 keluarga, dua keluarga adalah dari Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Merah Lama (15), Kampung Kangkar Chaah (enam) dan Kampung Orang Asli Selai (empat)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad Yusri berkata, seramai 124 mangsa di kawasan Air Panas, Labis turut dipindahkan ke Sekolah Agama Air Panas apabila rumah mereka dinaiki air.

Banjir di Kampung Orang Asli Selai menyebabkan kawasan itu sehingga kini terputus hubungan manakala bah di Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Merah dan Kampung Kangkar Chaah dilaporkan semakin surut, katanya. Di Kluang, sebanyak 19 rumah melibatkan Kampung Muhibbah dan Kampung Chamek dekat Paloh, dinaiki air.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan di daerah itu dibuka setakat ini.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya. - BERNAMA

Read more...

Tuesday, January 25, 2011

Pembangkang Dicabar Turunkan Harga Barang Di Negeri Yang Diperintah

LABIS, 25 Jan (Bernama) -- Pembangkang yang memainkan isu kenaikan harga barangan bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dicabar supaya terlebih dahulu menurunkan harga barang di empat negeri yang mereka perintah.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kalau hebat sangat pembangkang, sila segera turunkan harga barangan seperti harga petrol di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

"Jangan tunggu selepas pilihan raya kerana mereka sudah dapat perintah empat negeri itu, saya cabar mereka cari duit dan beri subsidi agar harga barang di empat negeri itu turun," katanya kepada pemberita selepas bersarapan pagi bersama penduduk di warung Kampung Tenang di sini, pada Selasa.

Pilihan raya kecil itu pada 30 Jan ini, melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38. Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sebagai permulaan, beliau mencabar kerajaan di empat negeri tersebut menurunkan harga petrol di negeri masing-masing dengan cara memberi subsidi kepada pengusaha stesen minyak.

"Cari duit beri subsidi kepada pengusaha stesen minyak supaya RON95 dari RM1.90 mungkin diturunkan menjadi RM1.50 seliter. Saya cabar turunkan harga petrol satu dulu cukuplah, kalau banyak nanti mereka tidak mampu," katanya.

Beliau berkata sekiranya pembangkang yang terkenal dengan menabur pelbagai janji, tidak boleh berbuat demikian maka tidak usah memperdaya penduduk di DUN Tenang semata-mata untuk meraih undi daripada mereka.

Katanya kerajaan BN sentiasa prihatin dan berusaha mengurangkan bebanan rakyat termasuk memberi subsidi dan menetapkan harga barangan kawalan bagi barangan keperluan pada musim perayaan.

Beliau berkata kerajaan juga berusaha supaya harga komoditi terus naik dan rakyat mempunyai pekerjaan bagi menjana pendapatan mereka.

Mengenai janji pembangkang untuk membangunkan kawasan perindustrian di DUN Tenang bagi mengelakkan penduduk berhijrah mencari pekerjaan di negeri lain, Ahmad berkata pembangkang tidak berupaya menunaikan janji tersebut sebaliknya hanya khayalan.

Jika ditinjau di empat negeri yang diperintah pembangkang, kewujudan kawasan perindustrian besar dan sederhana adalah usaha kerajaan BN menarik pelaburan manakala tiada kawasan perindustrian baru diwujudkan pembangkang, katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin yang melabelkan wakil rakyat BN sebagai penderhaka kepada institusi raja-raja, Ahmad berkata itu adalah sandiwara politik pembangkang dan sebenarnya pembangkang yang menderhaka kepada Sultan.- BERNAMA

Read more...

Monday, January 24, 2011

Azmin serang Tun Dr Mahathir habis-habisan

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sudah gila kerana menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “penderhaka” dan Umno sebagai “pengkhianat” sehingga menyebabkan kuasa Sultan dimansuhkan menerusi pindaan awal 1990-an.

Azmin mendakwa bahwa “Berita Harian pada 19 Januari 1993 menyiarkan kenyataan seorang Ahli Parlimen Umno dari Perak yang mengingatkan Raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak Raja-raja tidak dapat kekal lama “malah takhta mereka mungkin akan beralih ke muzium . . .,” kata Azmin (gambar) lagi.

Justeru soal Azmin, siapa yang memansuhkan kuasa Sultan Selangor untuk melantik tiga pegawai selepas mempertimbangkan nasihat menteri besar.

“Pastinya, Umno telah menderhaka kepada Raja-raja Melayu. Sekali gus suara rakyat dinafikan kerana Menteri Besar adalah wakil suara rakyat majoriti yang membentuk kerajaan melalui proses demokrasi,” kata beliau.

Adun Bukit Antarabangsa ini berkata, jika direnung semula Penyata Rasmi Parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang ditaja oleh Dr Mahathir, ramai pemimpin Umno yang mengeluarkan kata-kata kesat dan celupar terhadap institusi Raja-raja Melayu.

“Antaranya, seorang Ahli Parlimen Umno berkata ‘adakah Yang Berhormat hendak menuduh akhbar yang putar belit. Saya tidak. Saya hendak mengatakan raja yang putar belit, sehari bersetuju, dua hari tidak bersetuju. Ini kenyataan yang tepat, yang jelas’,” katanya.

Azmin juga mendakwa krisis Perlembagaan Persekutuan tercetus ekoran tindakan pemimpin Umno yang rakus untuk memansuhkan kekebalan Raja-raja Melayu.

Katanya, ramai sarjana dan pengamal undang-undang mencabar keabsahan pindaan 1993 kerana ia melanggar Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, “tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-raja”.

“Sebenarnya Umno memindahkan kekebalan tersebut kepada Mamak Bendahara dan pihak Eksekutif. Saya tahu bahawa kebimbangan ini ditimbulkan oleh pihak Raja-raja dalam tahun 1993.

“Saya dapat menyelami perasaan Raja-raja Melayu yang luka. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, tetapi parutnya tetap ada,” katanya sambil menambah, keprihatinan Raja-raja Melayu disambut dengan rasa tanggungjawab oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu.

Azmin menambah, apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang pada 18 Januari 1993 adalah semakin jelas hari ini.

Ketika itu Lim dipetik berkata “semasa kita membahaskan soal kekebalan Raja-raja, tentang bagaimana mendemokratikkan sistem Raja Berperlembagaan, untuk memastikan Raja-raja bertanggungjawab dan Demokrasi Berparlimen, kita tidak boleh membenarkan pemimpin-pemimpin kerajaan menikmati kekebalan yang membebaskan mereka dari sebarang akauntabiliti awam sebagaimana yang dipamerkan oleh berbagai skandal yang tidak diselesaikan dalam negara ini.”

Kata Azmin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan prinsip yang sama dengan kekebalan tersirat daripada penyalahgunaan kuasa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Perkara 145(3) Perlembagaan kuasa yang diberi kepada Peguam Negara hendaklah dielakkan.

“Kekebalan yang dinikmati oleh pemimpin-pemimpin elit Umno menjadikan Malaysia diperintah oleh diktator selama 23 tahun dengan mengamalkan undang-undang rimba dan menolak negara hukum.

“Dr. Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan pihak Eksekutif terlalu kebal,” katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata Perdana Menteri semasa Datuk Seri Najib Razak hanya meneruskan sistem yang dibina oleh Dr. Mahathir.

“Justeru itu, rasuah dan salah guna kuasa semakin berleluasa dan menjadi budaya dalam pentadbiran Umno,” katanya lagi.

Usul pindaan dibentangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pagi tadi.

Read more...

Friday, January 21, 2011

Wang Anwar dari mana?

Walaupun Anwar tidak berjawatan sejak tahun 1998, namun Anwar tetap kaya raya. Agak-agaknya sumber pendapatan Anwar didapat daripada sumber mana?

Tun Mahathir pernah mengakui bahawa semasa Anwar dalam kerajaanpun, Anwar belum pernah mengistiharkan hartanya.

Sejak keluar daripada penjara pada tahun 2006, Anwar sering ke luar negara dan tinggal di hotel-hotel mewah. Bukti-bukti bahawa Anwar menyewa hotel-hotel mewah-apabila bekas pembantu khas Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan mendedahkan, bahawa semasa lawatan ke luar negara, termasuk ke Singapura dan Thailand, Saiful ditempatkan di hotel-hotel mewah-umpamanya Hotel Dossert Thani-Thailand.

Mantan setiausaha sulit Anwar- Anuar Shaari mencabar Anwar untuk mengistiharkan hartanya-malah Anuar juga meminta SPRM membuat siasatan tentang kekayaan Anwar.

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai-Anwar mendapat bantuan kewangan daripada pihak di luar negara untuk tujuan mengancurkan sistem dalam negara-di mana selama ini kekuatan negara ini adalah terletak kepada persefahaman antara kaum. Anwar diperalat untuk menghancurkan kekuatan negara ini agar supaya negara ini menjadi lemah-dan mudahlah ianya ditakluki.

Penaklukkan bukan sahaja melalui ketenteraan namun penaklukkan ekonomi juga merupakan satu penjajahan. Ini lah matalamat akhir negara-negara yang memperalat Anwar itu.

Read more...

Sunday, January 16, 2011

Calon Pas PRK tenang milik Normala Sudirman

Dua nama telah dikemukakan kepada PAS pusat untuk dipilih sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.Mereka ialah ketua Dewan Pemuda PAS Segamat, Firdaus Mas'ud danketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman.

Firdaus seorang peguam, juga merupakan exco Pemuda PAS Johor.Normala (gambar) pula merupaka exco Muslimat PAS pusat dan bekas seorang guru.

Sumber-sumber berkata kedua-dua calon mempunyai peluang yang seimbang untuk dipilih sebagai calon, tetapi PAS dijangka memilih Normala.

Sementara itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula dilaporkan berkata, PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Tenang malam ini.

Katanya, pengumuman tersebut akan dibuat oleh presiden parti DatukSeri Abdul Hadi Awang di pekan Labis yang akan disertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Setakat ini, terdapat dua calon yang dikemukakan kepada kita untuk diputuskan selewat-lewatnya petang ini dan calon tersebut akan diumumkan malam nanti pada jam 9 malam di pekan Labis, Johor," katanya.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian tidak menolak kesukaran menentukan siapa calon parti itu yang benar-benar layak dipilih mewakili PAS dalam pilihan raya kecil itu dan mengakui salah seorang calon tersebut ialah wanita.

"Bagaimanapun, pimpinan akan putuskan soal calon itu petang ini," katanya sambil menambah kedua-dua calon itu adalah anak tempatan Tenang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini dan hari pengundian pada 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnyaDatuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis di HospitalPakar Ampang Puteri.

Read more...

Friday, January 14, 2011

Anjing jinak jadi pembunuh

Teman Wanita Maurice-Izabela-28 dalam keadaan Trauma.
GEORGETOWN: Seorang pelancong warga Ireland terbunuh dalam keadaan mengerikan akibat cedera parah di lengan dan paha, dagu hampir tercabut manakala kedua-dua telinganya putus akibat digigit sepasang anjing peliharaan jenis Mongrel di sebuah ladang organik di Teluk Bahang, dekat sini, pagi 11 Januari lalu.

Pelancong berkenaan, Sullivan Maurice, 50, baru tiba di ladang organik berkenaan bersama teman wanitanya, warga Poland berusia 28 tahun, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, untuk menjadi sukarelawan serta merakam gambar pokok durian yang ditanam di ladang itu.

Pemilik ladang organik itu yang dikenali sebagai Teoh, 41, berkata mangsa bersama teman wanitanya sudah mesra bersama sepasang anjing peliharaannya sejak tiba di ladang terbabit dan mereka juga bermain-main dengan dua anjing hitam itu petang kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dua anjing jinak itu tidak diikat manakala dua warga asing yang dikenali melalui perbualan Internet itu baru saja turun dari rumahnya yang terletak di atas bukit iaitu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Ketika kejadian, isteri saya yang berada di dalam rumah terdengar bunyi anjing menyalak dengan tiba-tiba. Apabila hendak turun ke bawah bagi menolong Maurice, ia sudah terlambat.

“Kami tidak sangka anjing yang sudah mesra bersama Maurice sejak kelmarin, menggigit sehingga menyebabkan kematiannya dalam tempoh 24 jam berkenalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, dua anjingnya itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan tidak menyangka niat baik Maurice bersama teman wanitanya mengundang padah kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin, berkata pihaknya difahamkan mangsa bersama teman wanitanya datang ke ladang berkenaan untuk merakam gambar bagi disiarkan pada laman web pasangan itu.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di lengan dan paha, dagu hampir tercabut manakala kedua-dua telinga putus akibat gigitan anjing itu.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Teman wanita mangsa enggan ditemui wartawan dan dilihat menghubungi seseorang dipercayai memaklumkan berita malang itu.

Dalam pada itu, carian di Internet mendapati anjing Mongrel itu campuran banyak baka dan kerana itu ia mudah dipelihara, malah makanannya sayur, nasi serta sampah organik.

Anjing coklat muda dan hitam jenis itu boleh mencapai berat sehingga 18 kilogram serta berukuran antara 38 dan 57 sentimeter tinggi.

Read more...

Tuesday, January 11, 2011

PRU-13: DUN Kedah tidak ikut pusat: Azizan Razak

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pilihan raya umum peringkat pusat.

Menurut Azizan, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersepakat untuk memutuskan sendiri tarikh pilihan raya bagi negeri-negeri yang diterajui mereka.

Ketika ini, Pakatan memerintah di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," katanya.

Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh kerajaan pusat.

"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan Pakatan untuk memutuskan bila DUN akan dibubarkan," katanya yang juga adalah pesuruhjaya PAS Kedah.

Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak. Menteri besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan mendapat perkenan Sultan atau ketua negeri.

Sebelum ini, kerajaan Selangor turut menegaskan untuk tidak membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum tergempar atau dalam masa terdekat.

Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa terikat dengan rentak BN.

Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.

Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat, sebaliknya BN yang takut untuk mengumumkan tarikh berkenaan sekiranya mereka merasa sukar untuk mendapat kemenangan.

Read more...

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP