Saturday, February 12, 2011

Selangor Salah Guna Wang Negeri - Tun M

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan Kerajaan Negeri Selangor menggunakan wang negeri itu bagi membiayai kos perundangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dihadapkan ke mahkamah kerana dakwaan menghasut adalah salah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, wang kerajaan negeri tidak boleh disalahgunakan kecuali mengikut kategori-kategori tertentu yang sudah diperuntukan.

"Kita tak boleh guna wang kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Wang kerajaan boleh diguna mengikut kategori-kategori tertentu yang sudahpun ditentukan.

"Kalau kita guna wang kerajaan dengan tidak mengambil kira kategori yang boleh kita belanja, itu adalah perbuatan yang salah dan tidak harus kita lakukan," katanya di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai bantahan banyak pihak termasuk rakyat negeri itu yang melahirkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan kerajaan negeri yang bertegas mahu membiayai kos perundangan Shuhaimi.

Mereka berpendapat, masalah Shuhaimi bersifat peribadi dan tidak mewakili suara dan pandangan rakyat yang menjunjung tinggi institusi raja-raja terutama Sultan Selangor, Sultan Sharaffudin Idris Shah.

Bagaimanapun bantahan berkenaan tidak dipedulikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malah menegaskan, pembiayaan itu akan diteruskan atas 'prinsip kebebasan bersuara' selain alasan bahawa Shuhaimi merupakan wakil rakyat di negeri itu.

Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dalam laman blognya, http://srimuda.blogspot.com pada 30 Disember tahun lalu.

Shuhaimi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar. My Star

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP