Monday, June 28, 2010

Khalid Ibrahim Tidak Selamat, Malah Kerajaan Pakatan Selangor Kemungkinan Tumbang

Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid (gambar) sebagai menteri besar.

Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan.

SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.”

Diakhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar.

Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP