Tuesday, July 6, 2010

Karpal Singh Tolak Negara Islam: Resahkan PAS

Dewan Pemuda PAS mengingatkan Pengerusi DAP Karpal Singh tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempersoalkan prinsip perjuangan parti itu, yang mahu melaksanakan konsep negara Islam kerana ia boleh menjejaskan hubungan kedua-dua komponen Pakatan Rakyat tersebut.

Ketua Dewan Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, walaupun PAS dan DAP mempunyai idealogi berbeza dalam memperjuangkan parti masing-masing tetapi Karpal tidak seharusnya mempersoalkan prinsip perjuangan PAS.

“Walaupun PAS dan DAP mempunyai ideologi berlainan tetapi sebagai parti komponen dalam Pakatan Rakyat, Karpal perlu menghormati dasar dan perjuangan parti lain.

“Jika Karpal terus-menerus mempersoalkan prinsip PAS, maka tidak ada makna hubungan yang terjalin antara PAS dan DAP selama ini.

“Selain itu, jika Karpal tidak bersetuju dengan dasar dan prinsip PAS itu adalah hak beliau, tetapi jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, Nasrudin meminta pemimpin DAP yang lain agar menasihati Karpal supaya menghentikan dari mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya percaya itu adalah pandangan peribadi beliau (Karpal) jadi pemimpin DAP yang lain harus menasihatinya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan, bukan mendiamkan diri.

“Kalau beliau adalah ahli biasa dalam DAP mungkin kenyataan itu tidak akan diambil peduli tetapi beliau adalah pengerusi DAP, jadi semua orang ingin tahu apa yang berlaku.

“Justeru, saya harap supaya Karpal tidak lagi mempertikaikan semangat dan dasar PAS untuk melaksanakan konsep Islam di negara ini,” katanya.

Karpal sebelum ini meminta PAS menerima hakikat bahawa Malaysia ketika ini adalah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam.

Menurut Karpal, perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan PAS seharusnya menerima kandungan tersebut.

“PAS harus terima apa yang saya katakan. Sudah kerap kali dan disokong apa yang saya katakan tadi.

“Ini bukan isu kompromi tetapi soalnya sekarang adalah... isu ini perlu diterima,” kata beliau.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Karpal yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Sehubungan itu beliau mahu Karpal supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Nasrudin berkata tindakan Karpal ini telah menimbulkan keresahan di kalangan ahli PAS dan akan merenggangkan hubungan antara kedua-dua parti itu jika beliau tetap mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sebelum menyertai Pakatan Rakyat, PAS bukan mudah untuk memahamkan ahli-ahli supaya menerima dan menyokong kerjasama dengan DAP.

“Namun kita berjaya meyakinkan ahli-ahli supaya menerima DAP dalam Pakatan Rakyat, jadi jika Karpal secara masih lagi berdegil dengan mengeluarkan kenyataan tersebut ia secara tidak langsung akan menjejaskan hubungan antara PAS dan DAP.

Saya juga meminta supaya pemimpin-pemimpin PAS dan DAP supaya saling hormat-menghormati jika mahu kerjasama yang terjalin selama ini berkekalan,” katanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP