Wednesday, October 20, 2010

Umno akan terus membela melayu dan bumiputera: Muhiyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan asas awal persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 malam tadi dengan sekali lagi mengalihkan ‘tembakannya’ terhadap Pakatan Rakyat di samping menegaskan asas perjuangan Umno akan terus membela orang Melayu dan Bumiputera.

Malah, Muhyiddin juga berulang kali menekankan Umno tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Seolah-olah menjawab kritikan pembangkang, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan pendirian dan komitmen beliau terhadap gagasan 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak hampir dua tahun lalu.

Mengambil kira amanat taklimat presiden semalam, Najib dijangka akan memperkukuhkan asas persiapan Umno dan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut dalam waktu terdekat.

Najib akan menyampaikan ucapan dasar Presiden esok.

Timbalan Presiden Umno memulakan ucapannya bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan” dengan berkata, “hari ini Umno telah mula berubah.”

“Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerak kerja.

“Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional,” kata beliau berucap merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Putera Umno secara serentak semalam.

“Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan,” kata beliau dilihat merujuk kepada Pakatan Rakyat, dianggotai PAS, PKR dan DAP.

Pakatan Rakyat dibentuk April 2008 sejurus selepas pilihan raya umum ke-12.

“Sebab itulah, kata beliau, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing,” kata Muhyididn.

Katanya, mereka caca marba seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

“Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa,” kata beliau tanpa menyebutkan nama mana-mana pemimpin pembangkang.

Tetapi baru-baru ini Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sasaran pemimpin Umno berhubung kenyataannya di Jakarta minggu lalu.

Muhyiddin seterusnya berkata, ada di kalangan mereka yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka.

“Takut kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru.

“Malah mereka sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain.

“Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja,” kata beliau sambil menambah, “malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan.”

Kritikan Muhyiddin itu menambah, “dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat”, yang jelas merujuk kepada PAS dan DAP.

Timbalan Pengerusi BN ini menekankan bahawa permainan politik ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan.

Muhyiddin juga mendakwa parti-parti pembangkang persekutuan ini tidak akan ke mana kerana “kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja.”

“Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain.

“Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka,” kata Muhyiddin yang juga memberitahu bahawa parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka.

“Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna.

“Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa,” kata beliau sambil mendakwa “Umno tidak begitu.”

“Umno tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. Umno tidak pernah tergelincir daripada landasannya.

“Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ia sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari Umno.

“Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari Umno dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi Umno, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni,” katanya.

Mengenai gagasan 1 Malaysia, Muhyiddin berkata, “kita menjunjung gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua wargenagara berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.”

“Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Dalam konteks ini, gagasan 1 Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan,” katanya.

Muhyiddin berkata, gagasan 1 Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni.

“Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh Presiden ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu,” katanya.

Di samping itu, Timbalan Presiden Umno ini berkata, parti dominan ini tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum menerima manfaat.

Katanya, Umno yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana Umno berlaku adil kepada semua.

“Ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah, dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang yang beriman,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Umno tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu,” katanya.

Muhyiddin berkata politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan Umno sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis,” katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain sebenarnya jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP