Tuesday, July 12, 2011

Demonstrasi jalanan salah satu ciri demokarsi PBB: Frank La Rue

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan walaupun bercorak ganas, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Frank La Rue (gambar), Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi.

Meskipun polis telah mengatakan bahawa pihaknya sudah membebskan kesemua 1,700 tahanan pada hari yang sama Sabtu lalu, PBB berkata tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj belum lagi dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat.

La Rue berkata tindakan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai gerakan haram tanpa bukti kukuh juga satu lagi halangan tidak munasabah ke atas hak sivil dan politik.

Bersih mendakwa telah dapat menghimpunkan kira-kira 50,000 orang di ibu negara tetapi dinafikan oleh pihak polis.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP