DATUK Zaid Ibrahim mengadakan sidang akhbar di rumahnya semalam bagi menjelaskan mengenai tindakannya menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya dalam parti. Berikut adalah sedutan sidang akhbar itu:
ZAID: Soal pemilihan kita telah timbulkan, bukan baru. Jadi, tak betul Anwar kata saya timbulkan sebab kalah di Sabah. Saya timbulkan ini sebelum saya nak bertanding.
Saya telah tulis surat dan minta penjelasan tertentu. Kita memerlukan pemilihan yang bersih kerana bukan hanya saya sahaja bertanding, ratusan calon yang bertanding.
Ini bukan agenda peribadi, jadi saya timbulkan ini sebelum buat keputusan. Kemudian timbulkan lagi semasa hari pertama pemilihan, pada masa itu saya mendahului.
Saya cakap jangan salah guna sistem, jangan buat penipuan. Tentang bukti, kalau dia tidak dapat bukti itu dalam tempoh dua bulan ini.
Semua orang tahu, dia sudah hilang sentuhan dengan parti, jadi saya rasa, kita telah banyak kemukakan bukti ini.
Undi lebih daripada ahli yang hadir. Orang tak hadir pun tandatangan dia ada. Ada kenyataan, yang datang mengundi bukan ahli tapi guna kad orang lain. Ada video orang tawarkan duit di Alor Gajah.
Saya mahu katakan begini, masalah yang kita hadapi sekarang dalam pemilihan PKR adalah manifestasi kelemahan Anwar itu sendiri.
Kita perlu terima hakikat dan ini bukan masa untuk nafi dan berdolak-dalik.
Jika anda nak membetulkan negara ini kita mesti jujur. Saya minta maaf, masalah ini saya terpaksa dedahkan kepada masyarakat.
Semua ini mendedahkan kita lemah, hakikatnya ialah cuma 6,000 ahli sahaja yang keluar mengundi, kita gagal. Saya mahu ubah kerana saya fikir PKR mampu bertindak lebih baik.
Kita tidak boleh ada pemimpin yang lemah yang hanya sentiasa menyalahkan pihak lain. 16 September, kita salahkan BN (Barisan Nasional)... hilang negeri Perak, kita salahkan BN... MP (ahli Parlimen) tinggalkan parti, kita salahkan BN.
Sudah sampai masa kita akui yang kita ini lemah, kerana kita membawa beban yang besar iaitu kepercayaan rakyat. Untuk PKR menjadi lebih baik, perlu ada kepimpinan baru, itu tidak semestinya saya. Ia akan memberi kekuatan baru, fokus baru. Sekurang-kurangnya siapa yang sanggup terima kelemahan ini dan mengatasinya.
Bukan kita tidak hargai sumbangan Anwar, kita hargai semua, tapi masa sudah berubah dan masalah sekarang juga berbeza.
Saya cadang jika PKR mahu terus maju, Anwar dan Azmin (Ali) mesti keluar kerana mereka adalah punca kepada segala masalah.
Saya mungkin tidak mendapat sokongan. Mungkin juga saya akan mendapat sokongan dan mungkin juga akan ada dakwaan saya buat semua ini untuk kepentingan diri sendiri.
Tapi kita tengoklah. Tetapi saya juga telah ke bawah dan ingin melihat kejayaan parti pembangkang yang kuat, nak tengok pakatan pembangkang yang kuat dan kerajaan akan jadi lebih bertanggungjawab.
Itu polisi saya, saya tak buat ini untuk menunjuk. Ada orang kata, jika saya tak dapat jawatan ini saya tarik diri. Bukan, saya ada visi untuk politik negara ini menjadi lebih baik.
Saya lakukan ini semua dengan nilai kebertanggungjawaban dan kejujuran. Saya tidak kritik parti kerana tidak dapat apa yang dikejar. PKR perlukan penyelesaian radikal bagi mengatasi segala masalah yang timbul hari ini. Harap apa yang saya katakan ini dapat difahami.
SOALAN: Kalau parti tangguhkan pemilihan, nak berpatah balik?
ZAID: Tidak. Masalah parti lebih dalam daripada semua itu. Jadi, Azmin patut disingkirkan. Anda tidak boleh, kerana kantoi di cabang ini, buat pemilihan sekali lagi. Kantoi di Kubang Pasu, buat lagi. Kantoi di Libaran, buat pemilihan semula.
Saya tidak nampak pendekatan itu berkesan. Sesiapa yang menyalahgunakan sistem mesti disingkirkan.
Adakah Anwar sudah tidak relevan dengan PKR dan politik tanah air?
ZAID: Saya fikir Anwar terlalu banyak isu peribadi. Selesaikanlah isu peribadi dulu. Azmin banyak masalah juga, jadi kedua-duanya perlu berundur dan biarkan PKR dipimpin dengan cara yang berbeza.
Sedia untuk berjumpa dengan Anwar?
ZAID: Boleh. Tapi saya akan cakap benda yang sama seperti yang saya kata hari ini.
Masalah bukti yang Anwar minta, boleh tunjukkan kepada media?
ZAID: Saya tunjuk dekat media, buat apa? Saya tunjuk dekat Bersih lah. Saya yakin Anwar tahu semuanya. Tak perlu tunjuk bukti, ahli pun tahu, semua orang tahu, calon pun tahu. Apa nak buktikan? Tapi kalau nak buktikan, saya akan buktikan kepada pihak yang bebas. Nak buktikan dekat dia buat apa?
Selain video, apa bukti lain yang Datuk ada?
ZAID: Laporan-laporan yang kita terima itulah bukti. Kita bukan polis nak pergi siasat, cuma yang kita ada laporan daripada ahli. Serah kepada mereka. Kalau tak mencukupi terserahlah kepada ahli. Tapi yang tak puas hati bukan saya seorang, semua calon. Yang puas hati cuma Azmin seorang sahaja.
Takkan kita semua reka bukti-bukti. Anwar perlu terimalah banyak masalah dalam parti. Beliau kena berdepan dengan masalah itu.
Kalau Azmin disingkirkan, apa tindakan Datuk?
ZAID: Kita bergantung kepada ahli. Tindakan saya macam ini, kita perlu melakukan pembersihan dalam parti. Kita perlu orang yang baik dalam parti. Kita perlukan dasar yang kukuh.
Sejauh mana kesetiaan Datuk pada parti?
ZAID: Kesetiaan saya pada parti sentiasa ada, tidak tergugat. Cuma, ada beberapa pemimpin lemah, itu yang tidak suka pada saya. Itu sahaja.
Datuk menyesal masuk PKR dengan segala penyelewengan, duit pun sudah habis banyak?
ZAID: Tidak. Kalau saya tak masuk, mana saya tahu semua ini?
Anwar kempen untuk Azmin, macam mana?
ZAID: Itulah salah satu puncanya masalah ini. Apabila Ketua Umum sudah memihak... kempen, beritahu ketua cabang... rosaklah. Tetapi Azmin dan Anwar ini baik, terpaksalah kempen.
Ada kemungkinan Datuk akan bersama dengan Mustaffa selepas ini?
ZAID: Tidak tahu apa tindakan beliau selepas ini. Dia pun berlapik tadi.
P.S Janapala (bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR) dakwa secara terbuka Anwar bertanggungjawab atas segala penyelewengan?
ZAID: Saya tidak tahulah siapa di sebalik penipuan tetapi saya tahu ada penipuan. Mungkin Janapala ada bukti, tapi peliklah orang datang 50 orang undi 150 undi.
Datuk percaya Anwar terlibat?
ZAID: Saya tidak tahu. Saya peguam, saya perlu lihat pada bukti.
Ada kemungkinan calon lain akan mengikut jejak Datuk?
ZAID: Saya rasa begini. Mereka juga kecewa, semua calon yang bukan 'line up' Azmin kecewa. Tetapi apa yang mereka akan lakukan, saya tidak mahu buat spekulasi.
Notis rasmi?
ZAID: Tak apa, saya akan hantar surat kalau itu mereka mahu.
Isu di Libaran dan Sandakan?
ZAID: Benda-benda ajaib berlaku. Tong pengiraan undi berpindah randah, banyak yang tidak betul.