Wednesday, January 20, 2010

Kalimah Allah: Dua Kenyataan Nazri Aziz Bercanggah: lU fIKIR lAH SENDIRI

Selain Sabah dan Sarawak, perkataan Allah juga boleh digunakan oleh bukan Islam di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, kata  menteri di Jabatan Perdana Menteri.Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata, di negeri-negeri lain yang mempunyai enakmen agama Islam, bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah, lapor The Sun.

Jumaat lalu, beliau dipetik berkata penganut Kristian di Malaysia Timur boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan 'God' dalam bahasa cetakan bahasa Malaysia, kerana mereka telah menggunakannya sejak 300 tahun yang lalu.

Pengumuman itu dibuat olehnya dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily.Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ia sudah menjadi tradisi mereka di sana.


#########################################################
(Petikan kenyataan pimpinan Dato' Seri Nazri yang disiarkan dihalaman depan Utusan Malaysia Rabu 29 Rejab 1427/23 Ogos 2006)

Empat negeri setuju -- Gubal perundangan sekat penyebaran agama lain di kalangan umat Islam

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Kesemua negeri itu sedang berusaha untuk mempercepatkan pewartaan undang-undang itu. Pulau Pinang akan membentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini, Sarawak pula akan membincangkan mengenai perkara itu di Kabinet negeri secepat mungkin.

Sabah pula akan merujuk kepada Peguam Negeri untuk digubal undang-undang itu. Sementara Wilayah Persekutuan pula, yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sedang menggubal draf undang- undang itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, beliau akan merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi menggubal undang-undang tersebut.

‘‘Kita akui di Sabah masih belum wujud undang-undang itu bagaimanapun ia perlu dirujuk kepada Peguam Negara,’’ katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang berkenaan.

Abdullah berkata, empat negeri yang masih belum mempunyai undang-undang seperti di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itu ialah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Bagi Sarawak, undang-undang tersebut akan dibentangkan ke Kabinet negeri secepat mungkin.

Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, setakat ini Sarawak memang tidak mempunyai undang-undang sedemikian kerana tidak banyak kontroversi berkaitan agama berlaku di negeri itu.

“Perkara ini (menggubal undang-undang) akan dibawa ke Kabinet negeri untuk dibincangkan dan akan dilaksanakan secepat mungkin,’’ katanya.

Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, penggubalan undang-undang tersebut akan dirujuk terlebih dahulu kepada Peguam Negeri sebelum ia dibentangkan di Kabinet negeri.

‘‘Peguam Negeri akan meneliti prosedur pelaksanaan undang-undang itu yang diamalkan di negeri lain sebagai panduan untuk dipraktikkan di negeri ini,’’ katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, arahan Perdana Menteri semalam akan diambil tindakan segera kerana bimbang kemungkinan berlaku pertelingkahan atau kontroversi agama pada masa akan datang.

‘‘Sudah sampai masanya undang-undang sedemikian diperlukan sebagai persediaan awal berlaku kontroversi berkaitan agama di negeri ini,’’ katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya menjelaskan, draf undang-undang itu bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama lain di kalangan orang Islam bagi negeri itu sedang dalam proses akhir disiapkan.

Ia dijangka dibentangkan untuk diluluskan pada persidangan DUN, November ini.

Katanya, draf itu akan diperakukan dalam mesyuarat MAIPP September ini terlebih dahulu sebelum dibentangkan pada persidangan tersebut.

‘‘Kerajaan negeri sebelum ini telah memberi jaminan bahawa tiada halangan dalam menggubal atau mewujudkan peruntukan itu seperti yang termaktub di bawah Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,’’ katanya.

Shabudin memberitahu, dalam usaha menyiapkan draf berkenaan, pihaknya akan merujuk kepada undang-undang yang diguna pakai di negeri lain untuk keselarasan.

‘‘Draf ini apabila diluluskan akan menyelaraskan undang-undang Pulau Pinang dengan negeri lain bagi memastikan orang Islam tidak dihasut atau dipengaruhi untuk cenderung kepada agama lain, menjadi pengikut, ahli agama bukan Islam atau meninggalkan dan membelakangkan agama Islam,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri supaya mempercepatkan kajian dan penelitian undang-undang itu sebagaimana yang diarahkan oleh Perdana Menteri semalam.

Katanya, Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan keempat-empat negeri terbabit bagi menggubal undang-undang yang sama supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan dan masalah pada masa hadapan.

‘‘Perkara tersebut sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia diberi perlindungan dan perlembagaan mengatasi semua perkara.

‘‘Kerajaan negeri juga akan mengambil inisiatif untuk memberi penjelasan kepada semua penduduk agar ia tidak menimbulkan sebarang keraguan di masa hadapan,’’ katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau akan merujuk kepada Peguam Negara esok mengenai kedudukan draf undang-undang itu untuk Wilayah Persekutuan.

Sambil menyokong arahan Perdana Menteri itu, beliau berkata, kerajaan negeri kemungkinan boleh dianggap melanggar undang-undang Malaysia sekiranya tidak mengambil inisiatif untuk berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Kita perlu ingat di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh mengembang agama lain di kalangan orang Melayu atau Islam.

‘‘Saya berharap semua kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap perkara ini demi melindungi orang Melayu atau Islam daripada dipengaruhi oleh agama atau kepercayaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu disegerakan kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam di negara ini.

LU FIKIR LAH SENDIRI

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP