Sahabat Kristian Saya Sedih Kerana Istilah "Allah" Gereja Jadi Sasaran
DAIMIN BIN SULUKAN sahabat saya bersuku dusun berasal dari kampung Nahaba Kota Belud Sabah merasa sedih kerana masalah istilah gereja jadi sasaran.
Saya kenali saudara Daimin sejak kami duduk se kelas pada tahun 70-an. Beliau adalah pengamal agama kristian yang taat, namun demikian persahabatan kami senantiasa berlanjutan hingga kini.
Bukan saya sahaja yang bersahabat dengannya malah ramai sahabat handai dan rakan-rakan saya yang beragama islam termasuk para imam bersahabat dan berkawan dengan sudara satu ini.
Semalam kata Daimin "Saya berasa teramat sedih apabila melihat isu penterjemahan nama 'Allah' dalam bahan-bahan bacaan agama Kristian dan juga dalam Al-Kitab bahasa Malaysia telah menjadi semakin tegang dan sampai suatu tahap yang genting".
"Saya juga rasa hampa apabila melihat kerajaan Malaysia menolak penggunaan nama 'Allah' dalam bahan-bahan bacaan itu tanpa berbincang atau berdialog dengan yang terlibat"
Segelintir masyarakat pula menyebarkan tanggapan palsu sebelum mengkaji fakta-fakta yang sebenarnya dalam isu ini.
Sebagai pengamal agama kristian saya sangat menghormati umat manusia apapun agama mereka, begitulah hujah sdr Daimin bin Sulukan. Bagi saya lanjut Daimin kitab injil itu sendiri bukan diasaskan kepada bahasa tertentu, tidak sama dengan Holy Qur'an yang menggunakan bahasa Arab, sebaliknya injil itu sendiri disesuaikan dengan bahasa-bahasa masyarakat tertentu umpamanya:-
Pertama, perlu dijelaskan bahawa, bahasa asal Al-Kitab bukanlah bahasa Inggeris atau Latin.
Bahasa asal dalam kitab-kitab Perjanjian Lama Al-Kitab (Torah yang diturun kepada Musa, dan kitab-kitab lain yang diturunkan kepada nabi-nabi lain, sebelum Masihi), ialah Ibrani atau Hebrew.
Sebahagian kecil penganut awal agama itu berbahasa Aramik (Aramaic). Bahasa ini seperti bahasa Arab, ialah suatu cabang bahasa semitik di Timur Tengah.
Nama yang utama dan lazim digunakan untuk menyebut Tuhan yang Esa, yang menjadikan alam semesta, adalah Elohim, Eloah, Elohei atau saja Eli - terbitan kata daripada sebutan asal Eloh (Alah atau aleph-lamedh-he).
Pada zaman Isa Al-Masih (Jesus), umat di Timur Tengah yang berbahasa Aramik biasanya hanya sebut Eloh. Sebutan ini telah dikenali umum sebagai Tuhan yang Esa yang disembah oleh umat Ibrani (daripada keturunan Ibrahim, termasuklah bani-bani Ishak dan Ismail).
Maka, tidaklah menghairankan apabila Yahudi dan Kristian yang berbahasa Arab, dan juga bahasa Aramik (termasuklah loghat-loghatnya), menggunakan sebutan Allah, Alah, Elah atau Eloh serta Eli (ejaan: aleph-lamedh-he).
Sebutan ini juga digunakan hingga ke zaman nabi Muhammad dan zaman kini.
Apabila kitab-kitab Injil atau Gospel diriwayatkan, dikitabkan oleh para pengikut Al-Masih, ia mengunakan bahasa lingua franca di Timur Tengah dan Mediterranean zaman itu iaitu bahasa Yunani (Greek) di bawah empayar Roman.
Maka, perkataan yang paling sesuai digunakan ialah Theos yang sedia difahami oleh orang-orang zaman itu.
Justeru itu, penterjemahan Al-Kitab mengambil kira kefahaman pembaca terhadap makna dan maksud asal yang hendak disampaikannya. Dengan ini aleph-lamedh-he diterjemah kepada Dues (dalam bahasa Latin), God (dalam bahasa Inggeris), Shàng dì (dalam bahasa China) dan sebagainya.
Maka, apabila Al-kitab dan ajaran Kristian dibawa ke rantau Nusantara yang bahasa pertuturan umumnya bahasa Melayu (pada masa itu masih dalam huruf jawi yang berasal daripada bahasa Arab), dan perlu memilih suatu nama yang paling tepat dan sedia difahami oleh pelbagai suku kaum di sini, apakah perkataan yang paling jitu?
Naskah terawal yang diterjemahkan oleh Leydekker pada tahun 1733, dan juga naskhah penterjemahan Munshi Abdullah & Keasberry, terbitan 1856 dalam tulisan Jawi, dan banyak lagi penterjermahan lain, semuanya menggunakan nama 'Allah' dalam Al-Kitab.
Isunya di sini, bukannya apakah tepat atau sesuai perkataan 'God' dalam Al-Kitab berbahasa Inggeris diterjemahkan kepada istilah 'Allah' dalam bahasa Melayu.
Isunya sekarang, apakah tepat dan sesuai nama Eloh atau Alah (ejaan: aleph-lamedh-he) dalam bahasa asal Al-Kitab yakni bahasa Ibrani dan Aramik diterjemahkan kepada nama 'Allah' dalam bahasa Melayu - nama itu sendiri berasal daripada bahasa Arab.
Bukankah Islam percaya bahawa Allah telah sekian lama disembah oleh nabi-nabi sebelum Muhammad?
Sebutan yang dilafazkan oleh nabi-nabi sebelum Muhammad dan umat-umatnya untuk merujuk Yang Maha Agung, Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Berkuasa seperti berikut:
- 'Eloh' dalam bahasa Ibrani, yang diguna pada zaman nabi Musa dan sebagainya.
- 'Alah' dalam bahasa Aramik, yang diguna pada zaman Jesus (Isa Al-Masih)
- 'Allah' dalam bahasa Arab, yang diguna oleh umat Yahudi dan Kristian Arab sebelum Muhammad, dan kemudian oleh baginda sendiri.
Bukankah perkataan-perkataan ini semua nama yang sama? Hanya berlainan bunyi sedikit kerana cabang-cabang bahasa dengan rumpun yang sama, yakni bahasa semitik.
Dengan latar belakang perkembangan bahasa seperti dipaparkan di atas, saya ingin bertanya secara jujur kepada orang Melayu yang beriman dan berilmu, bukankah sebutan 'Allah' (ejaan: alif-lam-ha) itu paling tepat kepada kata asal ejaan aleph-lamedh-he?
Apakah ada perkataan lain yang lebih tepat dalam makna dan maksudnya berbanding dengan nama 'Allah' dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?
Istilah 'Allah' jauh lebih tepat dan padan, dari segi sebutan dan ejaannya, daripada gelaran umum 'Tuhan'.
Saya menghormati bahawa islam adalah agama rasmi negara kerana itu saya bersahabat dengan semua termasuk penulis blog ini.. yang saya anggap lebih dari adik beradik seibu sebapa. DAIMIN BIN SULUKAN.
0 comments:
Post a Comment