Friday, January 15, 2010

Khalid Samad Sembah Derhaka atau Perlekeh Dr Hassan Ali?

Oleh: ROSLAN BIAN (agendadaily.com)

Apa sebenarnya motif Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad terus mempertikai larangan penggunaan kalimah Allah terhadap penganut bukan Islan seperti diputuskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)?.

Dari satu sudut beliau seolah-olah mahu sembah derhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi perkenan kepada MAIS dan Majlis Fatwa negeri memutuskan larangan itu sebelum ini

Namun, dari sudut politik, apakah perbuatan Khalid yang juga Yang Di Pertua PAS Shah Alam hanya mahu melebarkan pertembungan beliau dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali?

Macam-macam andaian boleh dibuat berdasarkan apa yang beliau lakukan kebelakangan ini tambahan pula kedua-dua mereka sedang menunggu hasil siasatan dan keputusan Lembaga disiplin PAS berhubung dakwaan salah laku masing-masing.

Pengerusinyalembaga itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan, kelmarian berkata lembaga itu sudah selesai mendengar keterangan kedua-duanya dan kini sedang meneliti beberapa dokumen saksi sebelum membuat keputusan minggu depan.

Dr Hasan yang berseteru dengan Khalid sudah dipanggil oleh jawatankuasa disiplin parti susulan aduan yang diterima bersabit dakwaan tindak-tanduk yang boleh merugikan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Berbalik soal penggunaan Kalimah Allah, keceluparan Khalid mempertikai keputusan MAIS menerusi Majlis fatwa mengundang amarah Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang memberi amaran keras kepada Khalid.

Pemimpin PAS itu diminta berhenti mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan larangan pengunaan kalimah Allah terhadap penganut bukan Islam di negeri itu.

Mohammed Khusrin menjelaskan, keputusan larangan penggunaan kalimah Allah itu telah diputuskan oleh MAIS serta majlis fatwa negeri pada tahun lalu dan mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu tegas beliau, tindakan mempertikaikan keputusan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana menghina dan ingkar perintah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis fatwa negeri.

Menurut beliau, jika didapati bersalah mengikut enakmen itu boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Khusrin menjelaskankan keputusan melarang pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukannya soal politik tetapi ia melibatkan soal akidah dan kepentingan umat Islam.

Sebelum ini, Khalid turut membidas MAIS dan JAIS kerana menganjurkan protes Jumaat lalu, membantah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat teguran Khalid mengenai tindak tanduk kedua-dua pihak berkuasa agama itu merupakan satu lagi akses yang mahu mengeruhkan hubungannya dengan Dr Hasan, yang juga merupakan exco kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama Islam di Selangor.

Ibarat berpatah arang berkerat rotan, perang kedua-dua mereka dijangka berterusan bukan sahaja dalam, isu Kalimah Allah ini tetapi keputusan yang bakal diumumkan lembaga disiplin PAS.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh hukum menurut Fasal 75 Perlembagaan PAS - sama ada dipecat, diberikan amaran atau digantung keahlian.

Sungguhpun begitu, pemimpin-pemimpin PAS berpendapat, kedua-dua mereka tidak mungkin dipecat atau digantung keahlian.

Sebaliknya mereka bakal diberikan amaran keras oleh lembaga disiplin.

Memecat dan mengantung keahlian mereka hanya membawa kesan buruk kepada parti dan akan menjadi minyak yang menyiran tubuh Khalid dan Dr Hasan yang sudah dipenuhi apa kemarahan.

Justeru itu, ada berpendapat kedua-dua mereka sedang mencaturkan permainan masing-masing sebelum ‘check mate’…

Barangkali Khalid memilih menggunakan isu Kalimah Allah ini kerana mahu menunjukkan beliau sehaluan dan senada dengan keputusan Pakatan Rakyat mengenai isu itu.

Mempertikai keputusan MAIS dan JAIS menunjukkan Khalid memenuhi kriteria pimpinan serta kesepakatan pakatan rakyat yang sebelum ini menjerut leher Dr Hasan.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP