Monday, April 5, 2010

1Malaysia Difitnah Kerana Pembangkang Sedar Kebaikannya: PM

KUALA LUMPUR 4 April - Gagasan 1Malaysia tidak sama sekali diciplak daripada konsep One Israel seperti digembar-gemburkan oleh pembangkang, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat.

"Mereka (pembangkang) tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar.

"Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.

Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temu bual Khas Bersama Perdana Menteri dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, idea gagasan 1Malaysia itu adalah cetusan percambahan fikiran beliau bersama beberapa kumpulan pemikir yang bertujuan mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

"Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat suatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan.

"Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan brainstorming, percambahan fikiran, timbullah idea gagasan 1Malaysia ini," katanya.

Jelas Perdana Menteri, kemuncak kepada penghayatan gagasan 1Malaysia adalah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.

Najib berkata, kefahaman rakyat terhadap gagasan 1Malaysia semakin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.

"Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan.

"Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya.

"Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia," katanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP