Monday, May 24, 2010

Lim Soo Nee meminta Firaun-Firuan Kecil Pakatan: Hentikan Salahkan Orang Lain

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee meminta pemimpin pakatan pembangkang berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain dalam isu lompat parti yang berlaku dalam parti pembangkang.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, tentu ada alasan munasabah yang menjadi punca perbuatan tersebut berlaku tetapi ia tidak pernah diakui oleh pemimpin tertinggi pakatan pembangkang.

Malah katanya, dalam isu terbaru berhubung spekulasi beberapa ADUN pakatan pembangkang akan meninggalkan parti bagi menjatuhkan kerajaan negeri juga sebenarnya dilakukan 'orang dalam' pakatan pembangkang sendiri.

"Tidak mengapa jika hanya seorang yang keluar tetapi kita bercakap mengenai ramai yang keluar parti selepas pilihan raya 2008. Tentu ada alasan yang munasabah.

"Sehingga hari ini, tidak ada bedah siasat dilakukan sama ada dari parti atau kerajaan negeri mengenai punca masalah ini berlaku.

"Mengapa tidak duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah. Jangan hanya duduk saja dan menyalahkan sana sini. Kalau masalah ini berlaku kerana kesalahan sendiri, kita mesti lakukan perubahan," katanya ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan 20 ADUN pakatan pembangkang.

Majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu berikutan desas-desus yang bertiup kencang mengenai empat ADUN pakatan pembangkang negeri ini yang dikatakan akan keluar parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri.

Selain Soo Nee, tiga lagi ADUN yang dikaitkan dengan isu itu ialah Tan Show Kang (PKR-Sidam), S. Manikumar (PKR- Bukit Selambau) dan Lee Guan Aik (DAP- Kota Darul Aman).

Keempat-empat mereka hadir pada majlis tersebut dan menafikan dakwaan itu.

Soo Nee mengakui ada perkara yang beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri dan memilih untuk bercakap mengenainya secara terbuka daripada menyimpannya di dalam hati.

"Mungkin ADUN lain tidak berani bercakap mengenai ini tetapi kadangkala kita rasa macam tidak dihargai," katanya.

Pada masa itu, kira-kira 2,000 orang yang hadir seakan terdiam mendengar ucapan ADUN Kulim itu.

Soo Nee turut menceritakan bagaimana dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh seorang yang mendakwa wartawan pada jam 1 pagi hanya untuk mengesahkan sama ada dia telah meninggalkan PKR.

"Ini gila, saya telah berkali-kali menjelaskannya tetapi wartawan itu terus bertanya," katanya.

Berikutan itu, keempat-empat ADUN itu meminta media agar bukan saja tidak lagi menanyakan perkara itu kepada mereka malah dia menegaskan tidak akan menjawab sebarang panggilan mengenainya.

"Jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon," kata Show Kang yang menjadi orang pertama berucap pada majlis tersebut.

Pendapat Soo Nee turut disokong oleh Manikumar yang mengakui kadangkala terdapat perselisihan pendapat antara beliau dan kerajaan negeri.

"Bila saya ditanya sama ada saya akan lompat, saya kata jika ia berlaku, perkara berkenaan perlu dianalisis dengan teliti, ia mungkin masalah ADUN itu sendiri, masalah dengan pemimpin atau kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Guan Aik membidas media yang disifatkan sengaja mengembar-gemburkan isu lompat parti untuk dijadikan bahan berita.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP