Sunday, May 23, 2010

Sabah dan Sarawak Perlu Inovasi Politik Lawan Pembangkang

Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak perlu melakukan inovasi politik untuk terus kekal sebagai "simpanan tetap" bagi parti gabungan itu, kata timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata seperti dalam bidang teknologi, pola respons terhadap keperluan rakyat juga perlu dibuat pengubahsuaian.

"Memanglah sokongan akar umbi terhadap BN, terutama di Sabah, masih kuat, tapi masih ada kelemahan yang perlu diperbetulkan.

"Rakyat mahukan perubahan daripada segi pembangunan atau dalam pentadbiran negeri itu sendiri dan kita perlu mendengarnya. Kalau kita sedia mendengar perubahan yang mereka mahukan dan mempunyai keazaman politik untuk melakukan perubahan sejajar dengan apa yang disuarakan oleh rakyat, maka BN tidak akan menghadapi masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi kenderaan yang memasang logo "Malaysia Innovating 2010" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata label yang diberi kepada dua negeri berkenaan sebagai deposit tetap BN boleh berubah mengikut masa, bergantung pada senario politik semasa.

"Sebab itulah para pemimpin BN (negeri) perlu membuat penyesuaian atau mencontohi transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat persekutuan bagi memastikan rakyat terus memberi sokongan," katanya.

Diminta mengulas tentang gesaan timbalan presiden parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Chin Su Phin baru-baru ini agar pemimpin BN persekutuan tidak lagi menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai "simpanan tetap" BN dan dakwaan beliau bahawa BN Sabah juga dilanda masalah kepimpinan, Ongkili berkata Chin tidak sepatutnya membuat kenyataan itu dan keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu baru-baru ini tidak mencerminkan keseluruhan corak sokongan rakyat.

"Bagaimanapun, BN tetap perlu membuat penilaian dan penelitian terhadap keputusan pilihan raya kecil Sibu," katanya.

LDP adalah komponen BN Sabah. -- BERNAMA

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP