Friday, February 26, 2010

Anwar Gagal Lagi

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal segala usaha untuk mengakses semua dokumen penting pendakwaan dan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakannya.

Dengan keputusan itu, Ketua Pembangkang tersebut tidak berhak dibekalkan dokumen-dokumen dan spesimen yang pernah dipohonnya bagi menyediakan pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Anwar menggunakan permohonan semakan melalui Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebagai jalan terakhir bagi mendapatkan semua dokumen penting dan spesimen DNA Mohd. Saiful Bukhari, 25, setelah segala percubaan di peringkat rayuan gagal.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonannya setelah berpuas hati bahawa Kaedah 137 tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada mahkamah itu menyemak keputusannya sendiri.

Beliau menyatakan, walaupun diandaikan mahkamah mempunyai bidang kuasa yang cukup terhad untuk menyemaknya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal memenuhi kehendak yang diperlukan bagi membolehkan panel tersebut berbuat demikian.

Ketika menggariskan alasan ringkasnya, Hakim Zulkefli menjelaskan, isu yang dibangkitkan oleh Anwar sudah dipertimbangkan oleh panel terdahulu dengan teliti dan dimuktamadkan berlandaskan undang-undang.

Menurut beliau, walaupun sekiranya panel hari ini tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah terdahulu, ia tidak memberi mereka alasan bagi menyemaknya.

Ujarnya, ini kerana tindakan menyemak semula kes yang telah didengar dan diputuskan bukan salah satu keadaan seperti yang dinyatakan oleh Kaedah 137.

‘‘Perkara-perkara yang dinyatakan ini bukan satu keadaan yang sesuai bagi membolehkan mahkamah menyemak keputusan panel terdahulu. Ia mesti ada titik penyudah,’’ ujar Hakim Zulkefli ketika membacakan penghakiman lisannya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusof menyatakan, panel itu akan menyediakan penghakiman penuh keputusan tersebut.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Penasihat PKR itu setelah berpuas hati bahawa beliau tidak layak dibekalkan semua dokumen yang dipohon kerana perbicaraan belum bermula.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, sebarang percubaan untuk menyemak keputusan yang telah dimuktamadkan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau menyatakan, rayuan kedua terhadap merit yang telah diputuskan tidak perlu diberi perhatian kerana Kaedah 137 tidak memungkinkan satu keputusan baru dikeluarkan.

Mohd. Yusof berhujah, Anwar gagal membuktikan keadaan-keadaan berlakunya ketidakadilan dan penyalahgunaan proses mahkamah bagi membolehkan panel itu menyemak keputusan terdahulu.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, permohonan itu perlu dibenarkan kerana isu yang dibangkitkan telah melangkaui keadaan-keadaan yang membolehkan mahkamah menggunakan kuasa menyemak di bawah Kaedah 137.

Karpal menyatakan, keadaan itu antaranya berlaku ketidakadilan apabila anak guamnya dinafikan hak untuk mengakses dokumen-dokumen penting termasuk senarai saksi yang hingga kini masih belum diperoleh.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP