Friday, December 4, 2009

12 Tahun Untuk Pendera Nirmala Bonat

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman penjara 18 tahun kepada 12 tahun terhadap surirumah Yim Pek Ha yangdidapati bersalah mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia, Nirmala Bonat pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah juga membenarkan permohonan lisan peguam Yim, Datuk Jagjit Singh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman walaupun dibantah oleh timbalan pendakwa raya Rozela Raja Toran.

Yim, yang mempunyai empat orang anak berusia antara empat dan 11 tahun, kelihatan menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hakim.

Azman, dalam penghakimannya, berkata setelah meneliti fakta kes dan rayuan, beliau mengekalkan penyabitan Yim, 41, untuk pertuduhan pertama dan kedua.

Beliau berkata mahkamah telah mengambil kira hukuman maksimum 20 tahun bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan hakim Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sejumlah 18 tahun untuk setiap pertuduhan telah sampai kepada hukuman paling tinggi boleh dikenakan bawah seksyen tersebut.

"Setelah meneliti fakta kes dan kecederaan yang dialami oleh mangsa serta rayuan pihak pembelaan bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama serta mempunyai empat orang anak yang masih kecil, dengan ini saya mengurangkan hukuman penjara untuk kedua-dua pertuduhan ini daripada 18 tahun kepada lima tahun," kata Azman.

Bagaimanapun Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan, berbanding dengan perintah Mahkamah Sesyen yang merintahkan untuk berjalan secara serentak.

Azman berkata beliau akan memberikan alasan penghakimannya secara lebih terperinci kemudian.

Pada 27 Nov tahun lepas, Yim didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan satu lagi tuduhan menyimbah air panas terhadap mangsa di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Bagi pertuduhan ketiga, hakim membenarkan rayuan Yim untuk menggugurkan penyabitan dan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana kekeliruan dalam kertas pertuduhan.

Beliau berkata ini berdasarkan keterangan Nirmala di mahkamah yang menyatakan kejadian beliau diserang dengan seterika berlaku pada Mac dan bukan pada April.

Pihak pendakwaan seharusnya meminda kertas pertuduhan tetapi telah gagal berbuat demikian, kata hakim.

Sementara itu bagi pertuduhan keempat, Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan menyabitkan Yim atas pertuduhan mencederakan Nirmala dengan sebiji cawan besi di tempat yang sama pada 17 Mei 2004.

Untuk tuduhan ini Yim dipenjara dua tahun dan hukuman berjalan secara berasingan dengan hukuman sebelum ini. Sebelumnya beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Azman, dalam penghakimannya, turut menyatakan bahawa ketika Nirmala memberi keterangan beliau tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai penyakit sawan atau tidak siuman.

"Keterangan Nirmala mengenai kecederaan yang dialaminya adalah sejajar dengan laporan perubatan dan keterangan pakar serta beliau tidak mempunyai peluang untuk mengadu kepada sesiapa mengenai penderaan yang dilakukan kepadanya," kata beliau.

Azman juga berkata secara logiknya sebagai seorang ibu, Yim seharusnya menjaga pembantu rumahnya dengan baik.

"Berdasarkan gambar-gambar yang dikemukakan, kesakitan yang dialami oleh mangsa tidak boleh digambarkan langsung," kata hakim.

Azman mengingatkan Yim bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau adalah memberi ingatan dan pengajaran kepada orang lain untuk tidak melakukan perbuatan seperti itu terutamanya pada yang lemah.

"Apatah lagi terhadap isteri, kanak-kanak, orang gaji dan mahupun terhadap binatang," tegasnya.

Selepas keputusan itu, Raja Rozela berkata beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara tersebut. BERNAMA

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP