Tuesday, November 3, 2009

Nijar: Tuduhan Pengguguran Liwat Anwar Didengar 23 November

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Nov ini untuk mendengar permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, pada Selasa turut menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan semula kes liwat itu.

Anwar, 62, yang hadir di mahkamah dengan diiringi isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminta mahkamah menetapkan tarikh bagi pendengaran permohonan itu.

Seorang daripada peguam Anwar, R.Sivarasa, mencadangkan mahkamah menetapkan permohonan bagi sebutan itu sementara menunggu keputusan rayuan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan pada Jumaat di Mahkamah Rayuan berhubung dokumen yang dipohon oleh Anwar.

Sivarasa berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu mungkin akan dirujuk ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan perlu menunggu keputusannya pula.

Hakim Mohamad Zabidin berkata apa juga keputusan Mahkamah Persekutuan kelak, pendengaran permohonan untuk menggugurkan pertuduhan liwat itu masih perlu diteruskan.

"Saya lebih berminat mengenai apa yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan mengenai rayuan itu Jumaat ini," katanya.

Prosiding mahkamah kemudian ditangguhkan 10 minit selepas peguam utama yang mewakili Anwar, Raja Aziz Addruse memaklumkan mahkamah yang beliau perlu berbincang dengan pasukan pembelaan dan juga Anwar.

Selepas prosiding mahkamah bersambung semula, Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah yang kedua-dua pihak bersetuju bagi pendengaran permohonan itu diteruskan.

Pada 16 Julai, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan kenyataan yang direkodkan daripada para saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, daripada tiga saksi lain dan dokumen-dokumen lain, kepadanya.

Pihak pendakwaan merayu terhadap perintah itu dan pada 24 Julai, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah itu sementara menunggu keputusan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan.

Anwar juga memfailkan rayuan balas terhadap perintah yang sama yang menolak permohonannya untuk mendapatkan sampel DNA Mohd Saiful.

Mahkamah Rayuan menetapkan Jumaat ini untuk memberikan keputusan terhadap kedua-dua rayuan itu.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Lau Bee Lan menetapkan 15 Dis bagi sebutan semula permohonan Anwar bagi semakan kehakiman untuk menggugurkan kenyataan bertulis oleh pihak pendakwaan, berkaitan kes liwatnya, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 24 Jun, Anwar menerima kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria yang menyatakan tiada fakta yang memihak kepada pihak pembelaan dalam kes liwat itu.

Pada 3 Ogos, Anwar memfailkan permohonan untuk menggugurkan kenyataan bertulis pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) dengan menamakan Mohamad Hanafiah dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Anwar juga memohon perintah mandamus untuk memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan fakta-fakta yang memihak kepada beliau mengikut Seksyen 51A (1)(c) Kanun Acara Jenayah.

Beliau turut memohon perintah untuk menghalang pihak pendakwaan daripada meneruskan kes liwat itu sehingga fakta berkenaan diberikan kepadanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP