Thursday, November 19, 2009

Nizar News: Apapun Orang Kata: Najib Tak Campur Urusan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menerima sebarang panggilan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung siasatan kes rasuah yang dijalankan oleh suruhanjaya itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed berkata sejak penubuhannya Januari lepas, SPRM bebas untuk menjalankan fungsinya tanpa ada sebarang campur tangan. "Alhamdulillah saya tidak pernah mengalami masalah seperti itu sejak penubuhan SPRM.

Setahu saya tidak ada langsung sebarang panggilan untuk menyatakan siasat si polan, ini penting dengan ketiadaan perkara sebegini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk "Peranan dan Tanggungjawab Sektor Perniagaan Dalam Memerangi Rasuah" pada Seminar Pencegahan Rasuah Dalam pengurusan Sektor Korporat anjuran bersama SPRM, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM dan Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM).

Mengenai seminar, Abu Kassim berkata ia bertujuan menyedarkan sektor swasta tentang kepentingan mengawal rasuah yang melibatkan dua pihak iaitu antara pihak swasta dan kerajaan dan rasuah antara pihak swasta dan swasta.

"Pada masa sama kita juga meminta mereka (sektor swasta) supaya mempunyai dasar yang jelas iaitu dasar tidak akan terlibat dengan mana-mana pihak atau agensi yang cuba mendapatkan rasuah dalam sebarang urusan.

"Jika mereka tidak terlibat dengan rasuah, hampir setengah masalah ini dapat diselesaikan kerana mengikut kajian kita, lebih kurang 50 peratus masalah rasuah yang berlaku dalam negara kita ini bermula dengan mereka yang memberi rasuah," katanya.

Semasa ditanya mengenai persepsi masyarakat yang mengaitkan SPRM sebagai suruhanjaya yang prokerajaan, Abu Kassim berkata berdasarkan kepada fakta dan data ia menunjukkan perkara yang amat berbeza.

Katanya SPRM perlu lebih dekat dengan masyarakat dan memberi penerangan bahawa SPRM membuat siasatan berdasarkan kepada laporan orang awam yang mesti mempunyai asas yang kukuh.

"Siasatan itu bukan beradasarkan kepada kita tidak menyukai seseorang itu, SPRM tidak menentukan siapa yang hendak kita siasat, kita mesti mendapat laporan atau aduan untuk memulakan siasatan tersebut. Jadi bagaimana hendak dikatakan yang kita bias (berat sebelah) dalam siasatan kita," katanya.

Abu Kassim berkata masyarakat perlu memahami jika ada sebarang laporan yang tidak diambil tindakan oleh SPRM, ia perlu dibentangkan kepada panel penilaian operasi yang terdiri daripada mereka yang mewakili masyarakat.

"Jika panel ini merasakan tidak berpuas hati, mereka akan bertanya kenapa ia tidak disiasat...jadi masyarakat perlu faham ini bahawa kita adalah berbeza dengan Badan Pencegah Rasuah...kita punya transparency (ketelusan) yang jauh lebih tinggi," katanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP