Friday, November 20, 2009

Nizar News: Kejutan Penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur

GM Tariq Khan (tengah) dan isterinya Khadijah atau Azroo telah menggemparkan kakitangan kabin pesawat MAS MH724 apabila mengumumkan bahawa mereka hendak melangsungkan perkahwinan secara unik iaitu dalam kapal terbang. -Foto THE STAR oleh SA’ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Pasangan dari Pakistan, GM Tariq Khan, 38, dan isterinya Khadijah atau Azroo, 26, telah menggemparkan kakitangan kabin pesawat MAS MH724 yang dalam perjalanan dari Jakarta ke KLIA apabila mengumumkan bahawa mereka hendak melangsungkan perkahwinan secara unik iaitu dalam kapal terbang - tanpa terlebih dahulu memberitahu pihak pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS).

Namun mereka bernasib baik apabila permintaan mereka dikabulkan kapten pesawat itu asalkan ia tidak diadakan di dalam kokpit. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Jakarta Soekarno Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Kedua-dua mempelai yang dihiasi dengan pakaian perkahwianan diijabkabulkan oleh ayah pengantin perempuan, Lia Quat Khan sejurus selepas pesawat berlepas. Manakala dua orang imam dari Masjid Jamek Kebun Jeruk, Jakarta menjadi saksi untuk perkahwinan ini dan turut membacakan doa.

Sebelum upacara akad nikah, kesemua ‘tetamu’ dihidangkan dengan nasi putih berserta kari ayam atau ikan yang dimasak bersama cili, kueh nagasari, coklat bersama kacang hazel. Wain merah dan putih juga turut dihidangkan kepada tetamu bukan Islam. Enam orang ahli keluarga pasangan berkenaan datang bersedia untuk perkahwinan itu.

Pengantin lelaki, Tariq memakai tunik panjang berwarna krim, seluar panjang dan serban yang bersesuaian. Dan pasangannya, Azroo pula memakai gaun merah labuh yang berlabuci berserta skirt dengan tudung.

Mereka juga membawa hadiah-hadiah untuk diberikan kepada para tetamu. Selepas sesi foto dan video, pasangan pengantin itu dibantu oleh pramugara dan pramugari, menyampaikan cenderamata kenang-kenangan berupa kipas kecil untuk perempuan dan pen untuk lelaki kepada semua penumpang dalam pesawat tersebut.

Hadiah-hadiah tersebut tertera nama, tarikh perkahwinan dan nombor penerbangan. Tariq telah merancang perkahwinan ini untuk beberapa ketika. "Saya ialah ejen pelancongan. Berada di dalam kapal terbang ialah kehidupan saya.

Tambahan pula, saya ingin perkahwinan saya menjadi satu memori yang indah," kata Tariq yang berasal dari Karachi kepada wartawan The Star yang kebetulan berada dalam penerbangan yang sama.

Sementara itu, ketua pramugara yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmood berkata, kapten dan staf kabin (anak-anak kapal) terkejut apabila Tariq meluahkan hasratnya untuk berkahwin di atas kapal ketika mereka sudah pun berlepas ke udara.

"Saya memaklumkan kapten Kamarul Anwar dan dia membenarkannya. Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan perkahwinan ini berlangsung di dalam kokpit. “Ini pengalaman baru untuk saya dan saya rasa ini adalah hari bertuah saya," kata Mahmood.

Tariq dan Azroo akan berbulan madu di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Karachi. Selepas pulang, pasangan ini bercadang untuk mengadakan resepsi untuk ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP