Nizar News: Najib Buat Kejutan Lagi: Kementerian Diberi Had Masa
PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, pada Jumaat mengagihkan tugas, tanggungjawab dan had masa kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan strategi dan langkah yang diumumkan dalam Bajet 2010 dilaksanakan mengikut jadual.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berbuat demikian pada mesyuarat dengan para menteri Kabinet dan ketua jabatan dan agensi kerajaan di Kementerian Kewangan petang Jumaat.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata langkah itu bagi memastikan semua langkah yang akan dilaksanakan akan memberi manfaat kepada rakyat.
"Pemantauan susulan akan dilakukan untuk memastikan objektif dan had masa yang disasarkan dicapai. Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan langkah-langkah dalam Bajet 2010 untuk memastikan pelaksanaan yang cepat dan efektif," menurut kenyataan itu.
Katanya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri dengan cawangannya di setiap negeri dan di peringkat divisyen dan daerah di negeri-negeri lebih besar, akan bertindak sebagai penyelesai masalah di lapangan bagi projek fizikal.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Teknikal sedia ada bagi Pakej Rangsangan Ekonomi di Kementerian Kewangan, yang bermesyuarat setiap minggu akan menyelia pemantauan menyeluruh dan menangani isu bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Bajet 2010.
"Perdana Menteri memberikan taklimat kepada semua menteri, Ketua Setiausaha, ketua-ketua jabatan dan agensi serta pemegang amanah lain mengenai apa yang perlu dilakukan.
"Mereka diingatkan bahawa kebajikan rakyat adalah paling utama dan menekankan bahawa setiap usaha perlu dilakukan bagi memastikan objektif Bajet 2010 direalisasikan sepenuhnya."
Najib membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada 23 Okt lepas bertema "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" yang dirumus untuk dijadikan asas bagi melonjakkan negara menjadi sebuah ekonomi pendapatan tinggi.
0 comments:
Post a Comment