Monday, March 15, 2010

Di Sebalik Desakan Kepada Ong Ka Ting Bertanding Jawatan Presiden MCA

Desakan supaya bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan parti 28 Mac ini diperdebatkan dengan meluas dalam kalangan anggota parti.

Ramai yang tertanya-tanya mengenai motif di sebalik gesaan agar Ka Ting kembali aktif ke dalam politik, yang dibuat oleh penyokong tegar beliau dan beberapa pemimpin yang diketahui sebelum ini sebagai sekutu beliau.

Ada yang mengatakan ia berikutan kebimbangan sebenar mereka bahawa pemilihan itu mungkin terkeluar daripada kawalan dan pemilihan itu mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah semasa parti.

Maka, pilihan terbaik ialah untuk membawa kembali seorang pemimpin yang sebelum ini berjaya menyadupadukan parti sehingga ke suatu tahap tertentu.

Bagaimanapun, sesetengah anggota parti percaya bahawa gesaan itu disebabkan oleh permainan kuasa di sebalik tabir, termasuk komen yang datang dari luar parti selain keperluan untuk mengetengahkan seorang calon yang kuat bagi berdepan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Mereka percaya langkah sebenar penyokong Ka Ting, yang sebahagian besarnya kini berdiri teguh di belakang Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, adalah untuk menampilkan seorang calon yang kuat.

Sumber yang rapat kepada kumpulan Liow bertegas bahawa Liow tidak boleh dikorbankan untuk jawatan nombor satu manakala bekas Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dianggap sebagai "calon lebih lemah" untuk bertanding jawatan nombor satu kerana beliau pernah kalah dalam pemilihan jawatan nombor dua.

Liow dan Ka Chuan akan dilihat sebagai calon yang lebih lemah ketika berdepan Tee Keat, yang telah pun mengumumkan akan mempertahankan jawatan Presiden, selain Soi Lek, sekiranya beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden.

Daripada segi calon yang akan diketengahkan, kumpulan Liow dan Ka Chuan dikatakan kekurangan "kuasa pemusnah" untuk bertanding jawatan nombor satu. Oleh itu, pilihan terbaik yang ada ialah dengan meminta Ka Ting, adik lelaki Ka Chuan, supaya kembali aktif dan mengetuai kumpulan berkenaan.

Faktor lain ialah beberapa penyokong Liow, iaitu bekas anggota Jawatankuasa Pusat (CC) Datuk Wee Jeck Seng, Dr Hou Kok Chung, Wong Nai Chee dan Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun, dikenali sebagai penyokong kuat Ka Ting, dan mungkin tidak selesa bekerja dengan Soi Lek atau Tee Keat buat masa ini.

Begitu juga dengan beberapa penyokong bekas Timbalan Presiden Tan Sri Chan Kong Choy yang kini berdiri teguh di belakang Liow, dan juga dikatakan tidak selesa bekerja dengan Soi Lek berikutan kontroversi DVD seks serta isu berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Penyokong Soi Lek mengesyaki bahawa isu DVD seks itu sebagai usaha untuk membunuh kerjaya politik pemimpin mereka sungguhpun perkara itu telah pun dinafikan oleh pihak lain, manakala penyokong Kong Choy pula dikatakan tidak gembira dengan cara Tee Keat menangani siasatan berhubung PKFZ.

"Oleh itu, mereka tiada pilihan melainkan menggesa Ka Ting supaya kembali aktif dan memimpin mereka dalam perjuangan ini kerana mereka tidak berhasrat untuk berganding bahu bersama Soi Lek atau Tee Keat," kata bekas anggota CC yang enggan dikenali.

Sama ada keperluan sebenar bagi "menyelamatkan parti" atau menampilkan calon yang kuat, adalah terbuka untuk interpretasi.

Bagi penganalisis politik, sekiranya Ka Ting memutuskan untuk menyertai pemilihan itu, ia akan membawa satu dimensi baru kepada pemilihan MCA.

Bagaimanapun, penyokong Soi Lek dan Tee Keat masih tidak percaya bahawa Ka Ting akan kembali aktif semula memandangkan mereka berpendapat beliau tidak akan mempertaruhkan imej politik beliau yang sentiasa bersih.

"Sekiranya beliau kalah, apa yang akan terjadi? Lebih banyak aib untuk beliau. Anda juga perlu ingat bahawa jika beliau memutuskan untuk kembali aktif, susunan kumpulan dalam politik akan berubah lagi sepenuhnya," kata seorang penyokong Tee Keat.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP