Sunday, March 7, 2010

Pakatan Masih Mahu Anwar Sebagai Ketua Pembangkang

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Umno/Barisan Nasional tidak perlu sibuk mempersoalkan kedudukan kerusi ahli parlimen Pakatan Rakyat ( PR) di Dewan Rakyat dan sokongan mereka terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, katanya, yang berhak menentukan siapa yang akan menjadi ketua pembangkang ialah seluruh Ahli Parlimen PR sendiri, bukan kerajaan ataupun Speaker.

"Dalam standing order parlimen itu sendiri, yang akan menentukan siapa ketua pembangkang ialah seluruh Ahli Parlimen (MP) pembangkang, bukan kerajaan, bukan Speaker.

"Kalau berlaku pengundian misalnya, jika majoriti MP PR mengundi seseorang itu, dia akan dipilih walaupun partinya hanya diwakili oleh dia seorang," jelasnya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Lut, dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas senario lompat parti di kalangan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadikan jumlah kerusi PKR kini tinggal 27 orang, iaitu kurang satu kerusi daripada DAP.

Berikutan itu, Umno/BN mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang kerana mendakwa dalam amalan parti, Ahli Parlimen dari parti yang mempunyai paling banyak kerusi akan menjadi ketua pembangkang.

Beliau turut menegaskan, tidak timbul langsung soal siapakah yang akan menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang sebaliknya PAS dan DAP akan terus memberikan sokongan terhadap Anwar sebagi ketua pembangkang.

"Dalam konteks yang ada sekarang, semua Ahli Parlimen daripada parti-parti Keadilan sendiri, PAS, DAP, dan pendirian PAS sendiri pun, kita sepakat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi ketua pembangkang. Tak ada masalah kerusi PKR kurang satu daripada DAP.

"DAP dan PAS terus memberi sokongan supaya beliau terus menjadi ketua pembangkang," tegasnya.

Beliau juga berkata, tindakan beberapa ahli PKR keluar parti itu tidak menjejaskan kedukan Pakatan Rakyat sebaliknya segala perancangan yang telah disusun akan berjalan seperti biasa.

"Apa yang berlaku ini tidak menjejaskan kestabilan PR malah kita akan mengadakan sambutan dua tahun PR secara besar-besaran di Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 10 Mac ini.

"Beberapa negeri lain juga mengadakan sambutan yang sama. Di Selangor akan diadakan konvensyen PR esok, dan di Negeri Sembilan juga akan diadakan sambutan pada 9 Mac ini," katanya.

Mengulas mengenai faktor ahli PKR bertindak keluar parti pula, di samping tiada kekuatan dan sifat istiqamah dalam menghadapi cabaran, beliau juga tidak menolak kemungkinan ada percubaan Umno/BN untuk menambah mejoriti mereka di Parlimen, dengan membeli Ahli Parlimen PR.

"Menjadi MP pembangkang bukan mudah. Tidak seperti MP kerajaan yang ada peruntukan yang banyak. Pembangkang kena usaha sendiri untuk bantu rakyat. Kalau nak jadi ahli politik di kalangan pembangkang kena bersedia sungguh-sungguh. Bukan main-main.

"Tapi saya juga tidak menolak kemungkinan ada percubaan di pihan BN untuk menambah majoriti mereka (di parlimen). Sebab walaupun yang keluar itu mengisytihar diri mereka sebagai wakil Bebas, tapi apabila berlaku pengundian, mereka boleh mengundi BN," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis tidak akan berlaku gejala lompat parti di kalangan wakil PAS.

"Saya tidak bimbang perkara ini berlaku kepada orang PAS sebab PAS memang istiqamah," katanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP