Thursday, March 4, 2010

Wakil Rakyat Muda Pakatan Tak Perlu Old Guard


Wakil rakyat muda Pakatan Rakyat percaya gabungan parti berkenaan kini bertambah kuat apabila elemen-elemen old guard atau pemimpin tua yang tidak diperlukan dalam parti itu kini telah menyingkirkan diri mereka.

Sebenarnya pemimpin PKR umpamanya Nurul Izzah Anwar tidak senang dengan kehadiran pemimpin tua apatah lagi yang berasal daripada umno atau PRM. Mereka mahukan pemimpin yang fresh bukan berasal daripada mana-mana parti. Namun dengan pendirian mereka ini, old guard Pas dan DAP terpaksa menyesuaikan diri dengan kehendak wakil rakyat muda ini.

Mereka juga akur dengan tugas berat yang kini dipikul dalam mentadbir negeri-negeri yang dikuasai Pakatan - Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan - serta cabaran untuk mengekalkan sokongan di negeri-negeri berkenaan.

Pandangan ini disuarakan dalam satu forum Wacana Generasi Perubahan dengan tajuk Dasar Bersama Pakatan dan masa depan politik Malaysia di Petaling Jaya malam tadi.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin muda ini turut mengakui terdapat isu-isu yang mampu menggugat pakatan tersebut, seperti isu penggunaan kalimah Allah yang didakwa telah dimanipulasikan oleh Umno.

Wakil Bukit Bendera Liew Chin Tong (DAP) berkata isu kalimah Allah telah diketahui oleh Umno sebagai satu senjata ampuh yang boleh digunakan bagi menyerang Pakatan.

Bercakap dalam forum itu malam tadi, beliau mendakwa, naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memberitahu satu mesyuarat biro politik Umno bahawa ia merupakan satu-satunya isu yang boleh memecahbelahkan Pakatan dengan mudah.

Menurut Liew, inilah yang menyebabkan Pakatan perlu menguatkan kesepakatan dalam mencari ruang bersama di antara anggota gabungan parti tersebut bagi menangkis serangan seperti itu.

Menyetujui pendapat itu ialah seorang lagi wakil rakyat PKR, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) yang mendakwa kesan daripada isu kalimah Allah itu sememangnya telah dirancang oleh Umno.

"Pada Februari 2009 ada undang-undang baru yang diluluskan oleh (Datuk Seri) Syed Hamid Albar di Parlimen, tapi tidak sampai setahun mereka sendiri melawan undang-undang yang mereka buat.

"Mereka jugalah yang memperkenalkan isu kalimah Allah. Tidakkah rakyat boleh melihat tangan-tangan ghaib mereka?"

Katanya, label 'ejen Yahudi' yang sering dilemparkan kepada PKR kini terkena kepada batang hidung Umno sendiri apabila presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak, menurutnya, diketahui mengupah sebuah firma strategik asing untuk membina imej beliau.

Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata parti-parti di bawah Pakatan kini mengambil juga pendekatan yang lebih pragmatik dalam menghadapi dasar-dasar yang diperkenalkan BN seperti cukai barang (GST).

"Kita mengambil pendirian pragmatik, kita tidak tolak sepenuhnya (GST) sebab kita berminat untuk jadi kerajaan," katanya ketika menjawab satu soalan dalam sesi seterusnya.

"Pendirian kita, GST itu tidak sepatutnya diperkenalkan sekarang sedangkan rakyat sudahpun terbeban dengan cukai yang sedia ada.

"Kerajaan perlu mengurangkan subsidi korporat kepada syarikat yang menerima konsesi besar daripada kerajaan seperti penjana tenaga bebas (IPP) dan Syabas," katanya.

Seorang ahli panel, Amiruddin Shari yang juga ADUN Batu Cave berkata, kesungguhan Pakatan dalam mengaplikasikan dasar Pakatan itu boleh dilihat dalam usaha kerajaan negeri Selangor menyeimbangkan bantuan kepada setiap golongan masyarakat.

"Contohnya kita beri bantuan sebanyak RM4 juta kepada kepada sekolah agama rakyat, RM4 juta untuk sekolah Cina dan RM4 juta kepada sekolah Tamil," katanya di forum itu yang dihadiri lebih 100 orang.

"Kita juga ada (konsep) CAT (Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti) di Pulau Pinang dan Selcat (jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan) di Selangor untuk pastikan setiap DUN berfungsi dengan aktif melalui kaedah semak dan imbang," katanya lagi.

Turut bercakap dalam forum berkenaan ialah wakil PAS Suhaizan Kaiat dan juga pegawai penyelidik menteri besar Selangor Tricia Yeoh.

Dasar bersama Pakatan Rakyat kali pertama dibentangkan pada 19 Disember lalu, yang menyaksikan dukungannya secara rasmi oleh kesemua pemimpin tertinggi PAS, DAP dan PKR dalam satu konvensyen yang julung kali diadakan.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP