Monday, September 14, 2009

Isa Samad: Hampir Pasti Calon Umno Bagan Pinang 3-11 Oktober

Spr telah mengumumkan bahawa penamaan calon bagi PRK Bagan Pinang adalah 3 Oktober, dan jika ada pertandingan maka pembuangan undi akan berlangsung pada 11 oktober.

Namun bagi Umno pemilihan calon tidak begitu sukar, kerana Isa Samad mantan MB selama 22 tahun merupakan calon yang boleh mempertahankan DUN tersebut tetap dalam gengaman BN.

Penerimaan pengundi setempat wajib dijadikan kelayakan utama sewaktu memilih calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kriteria lain seperti jawatan dalam UMNO bahagian mahupun umur calon tidak wajar digunakan sama sekali.

Katanya, pandangan itu adalah berasaskan pengalaman dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan kekalahan BN.

"Kita telah banyak belajar dalam pilihan raya kecil sebelum ini, memegang jawatan ketua bahagian tidak menjamin kemenangan seperti yang berlaku di Kuala Terengganu atau kerana calon itu muda (di Permatang Pasir), ia tidak bermakna pembangkang tiada isu untuk dipermainkan.

"Pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan yang penting ialah calon yang diterima rakyat tanpa mengira jawatan, umur, jantina, pangkat dan darjat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) dan menyempurnakan majlis pelancaran Pakaian Seragam Baru Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini hari ini.

Beliau mengulas isu calon yang sesuai untuk mempertahankan DUN Bagan Pinang berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohd. Nor akibat jangkitan darah awal bulan ini.

Berikutan kekosongan itu, UMNO Bahagian Teluk Kemang telah mencadangkan nama ketuanya iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang juga merupakan bekas Menteri Besar selama 22 tahun.

Beliau dicadangkan kerana mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan berkenaan selain telah banyak berbakti kepada penduduk setempat.

Sementara itu, ditanya adakah kenyataan beliau memberi gambaran bahawa Mohd. Isa adalah calon yang paling sesuai, Hishammuddin berkata: "Tidak, saya tidak kata begitu, yang penting kalau seseorang calon itu tidak sesuai pada kita tetapi sesuai kepada pengundi di sana, maka bukan hak kita untuk menentukannya kerana ia adalah bidang kuasa pengundi di kawasan tersebut. "Kalau Mohd. Isa sesuai untuk kawasan itu, maka sesuailah dan kalau tidak sesuai maka tidak sesuailah."

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP