Monday, October 26, 2009

Nizar News: Ustaz Nasha Pelik: Nik Aziz Mudah Percaya Berita Palsu dan Bohong

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan hairan dan terkejut dengan alasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) iaitu bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan.

Ustaz Nasha bimbang jika cadangan diadakan EGM itu dilontarkan Nik Abdul Aziz berdasarkan andaian semata-mata tanpa bukti kukuh mengaitkan pemimpin tertentu sebagai prokerajaan perpaduan.

Sebenarnya, tiada keperluan mendesak bagi parti mengadakan EGM jika hanya sekadar mahu menyelesaikan 'perkara kecil' melibatkan satu atau dua pemimpin yang dikatakan prokerajaan perpaduan.

Sehubungan itu, Ustaz Nasha menyifatkan cadangan Nik Abdul Aziz itu boleh merunsingkan ahli-ahli peringkat akar umbi. "Saya tak nampak keperluan mengadakan EGM itu, itu pendapat peribadi saya.

Saya sendiri terkejut dengan cadangan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang mahu EGM diadakan. "Tiada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja suruh buat EGM. Sebelum ini saya tidak dengar ada masalah di kalangan pemimpin parti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin tidak menafikan kini wujud kebimbangan di kalangan ahli-ahli Pas terhadap perkembangan mutakhir parti tersebut. Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab para pemimpin Pas menyelesaikan sebarang masalah atau salah faham secara bijaksana.

Beliau menambah, Dewan Pemuda Pas sendiri akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti cadangan Nik Abdul Aziz itu di ibu negara Selasa ini. "Pemuda Pas akan menyatakan pendirian berkaitan EGM berkenaan selepas mengadakan mesyuarat. Pandangan ahli-ahli akan diambil kira," katanya.

Sementara itu, Nasrudin dalam entri blognya hari ini mengingatkan ahli-ahli Pas dan kepimpinan parti supaya mengelakkan fitnah terutama apabila berdepan dengan sahabat seperjuangan. Jelas beliau, fitnah yang dicetus samalah seperti menikam dan membunuh sahabat seperjuangan serta kesannya lebih kejam. "Menjadi tanggungjawab kita memastikan jangan bercakap dan mengulas perkara yang tidak diketahui hujung pangkal atau membentuk sikap semata-mata mendengar daripada satu-satu pihak," katanya.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP