Saturday, October 10, 2009

Nizar-Pas-Najib-Umno: Para Penyokong Bergaduh Kerana REBUT KERUSI SURAT KHABAR LAMA

Selepas dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin kanan Umno, PAS hari ini mendedahkan aduan polis oleh seorang penyokongnya yang mendakwa dipukul sekumpulan penyokong BN dalam insiden di markas Pemuda PAS di Bagan Pinang, awal pagi semalam.

Empat petugas PAS dihalang semasa menaiki kereta dan dipukul oleh sekumpulan penyokong BN, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dalam satu sidang media.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 2.30 pagi, berdasarkan maklumat aduan polis yang dibuat Abu Said Elias, insiden itu bermula apabila markas berkenaan diserang oleh penyokong parti lawan.

Beliau menuju ke markas di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson bersama tiga rakannya setelah menerima panggilan daripada seorang lagi rakannya yang mengatakan bilik gerakan tersebut diserang oleh penyokong BN, laporan polis itu dipetik.

"Saya bersama tiga orang kawan saya iaitu Mohammad Azwan, Mohd Aafiffuddin dan Ahmad Izzuddin menuju ke lokasi disebutkan menggunakan kereta," kata Abu Said dalam aduannya.

Tambahnya, berdasarkan aduan tersebut yang dibuat kira-kira setengah jam selepas kejadian, keempat-empat mereka telah dihalang oleh sekumpulan penyokong BN sebelum sampai ke lokasi berkenaan.

"Dalam keadaan tidak terkawal, saya dan rakan-rakan telah dipukul oleh kumpulan tersebut dan menyebabkan beberapa bahagian badan kami semua sakit," kata Abu Said.

Mengulas aduan berkenaan, Salahuddin berkata kejadian berkenaan benar-benar berlaku dan menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhenti mengeluarkan kenyataan yang dapat mempengaruhi siasatan polis.

"Selepas kejadian itu, terus kita buat laporan polis.

"Jadi janganlah menteri dalam negeri bersandiwara juga dan menganggap perkara itu tidak penting dan mempermain-mainkan seolah-olah tidak wujud kejadian itu," katanya dalam sidang media harian di markas induk jentera pilihan raya PAS DUN Bagan Pinang.

"Kita minta supaya pihak keselamatan mengambil tindakan sewajarnya."

Hishammuddin dilaporkan berkata beliau mengetahui pihak yang melakukan provokasi tersebut dan "mereka kemuudian menuduh pihak lain (BN) dan juga polis, sedangkan kejadian yang berlaku disebabkan tindakan mereka (PAS) sendiri."

Jelas Salahuddin lagi, mangsa-mangsa berkenaan membuat sekurang-kurangnya lima laporan polis selepas kejadian dan aduan-aduan polis itu akan didedahkan secara berperingkat-peringkat.

"Paling tidak, kita ada lima laporan polis yang dibuat. Maknanya polis mesti buat bertindak atas laporan itu," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Ditanya mengapa PAS tidak mendedahkan kesemua bukti berkenaan hari ini, Salahuddin berkata isu itu akan digunakan berterusan sepanjang tempoh kempen, yang hanya tinggal kira-kira 36 jam.

Beliau enggan mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa isu serangan oleh penyokong BN hanyalah propaganda PAS untuk meraih simpati dan menakut-nakutkan pengundi.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP