Thursday, October 29, 2009

Nizar- Zambry: Sidang Haram Untuk Diri Sendiri

Seperti dijangka, kehadiran seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak semalam sekali lagi mencetuskan kontroversi.


Kali ini mereka memasuki dewan selepas Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan mengumumkan sidang dewan berehat selama sejam bermula pukul 10.20 pagi.

Mereka masuk ke dewan itu untuk bersidang sesama sendiri. Wakil rakyat pembangkang terbabit yang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) hanya memasuki dewan tiga minit selepas sidang dewan berehat.

Sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ganesan, ADUN pembangkang kemudian terus menuju ke galeri di sebelah kiri Speaker namun tidak duduk di tempat masing-masing.

Bekas Speaker yang juga ADUN Tronoh, V. Sivakumar tiba-tiba mengambil alih tugas Speaker dan bertukar kerusi dengan seorang lagi wakil rakyat, Yee Seu Kai (DAP-Pokok Asam) dan memulakan 'persidangan'.

'Persidangan' bermula dengan bacaan doa dan bertafakur sebelum diteruskan dengan ucapan A. Siva Subramanian (DAP-Buntong) yang menggesa Ganesan meninggalkan dewan atas alasan hilang kelayakan kerana masih menjadi peguam selepas tempoh tiga bulan dilantik sebagai Speaker.

Apa pun, gelagat wakil rakyat pembangkang berkenaan langsung tidak dipedulikan Ganesan. Malah ketika 'sidang' tersebut berlangsung, semua ADUN Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak memberi sebarang respons terhadap tindak-tanduk yang ditunjukkan wakil rakyat pembangkang.

Apabila persidangan diteruskan semula oleh Ganesan, wakil rakyat pembangkang mula mengganggu perjalanan mesyuarat terutama ketika Zambry mencadangkan Enakmen Perbekalan 2010 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2010.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP